Halaman

07 November 2013

Seramai 42,887 kanak-kanak berjaya khatam sejak 2006

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin



 Majlis Khatam al-Quran yang diperkenalkan kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Terengganu (YIT) berjaya mengkhatamkan 42,887 kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun di seluruh Terengganu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu.



 Hampir setiap tahun jumlah itu sentiasa meningkatkan di mana, seramai 937 kanak-kanak berjaya khatam pada 2006, diikuti 2,010 kanak-kanak (2007); 2,660 kanak-kanak (2008); 2,660 kanak-kanak (2009); 6,246 kanak-kanak (2010); 7,930 kanak-kanak (2011); 9,639 kanak-kanak 2012 dan 10,805 kanak-kanak pula berjaya khatam pada tahun ini.

 Bilangan itu melibatkan kanak –kanak daripada empat tadika iaitu YIT, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan perkembangan positif itu sekaligus dapat membuktikan Terengganu memiliki ramai kanak-kanak berilmu dan celik al-Quran.
Katanya, kanak-kanak tadika bukan saja berjaya khatam al-Quran pada usia 5 dan 6 tahun, bahkan juga telah berjaya menghafaz surah Yasin dan terjemahan sepenuhnya dengan begitu baik.

 “Jika kanak-kanak ini diasuh dan dibimbing secara berterusan, maka akan lahirlah suatu masa nanti generasi Ulul Albab yang diimpikan selama ini.

 “Usaha berterusan hendaklah terus dilakukan dengan mengadakan perubahan dan penambahbaikan dari masa ke semasa demi memartabatkan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu,” katanya.

 Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Haji Mohd Zubir Embong pada Majlis Perasmian Khatam al-Quran, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

 Pada majlis itu, seramai 10,805 kanak-kanak dari seluruh negeri berjaya khatam secara beramai-ramai. .

 Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kejayaan program itu membuktikan sokongan semua pihak ke arah usaha murni kerajaan dalam melaksanakan Program Pintar Al-Quran di seluruh negeri Terengganu.

 “Kesedaran manarik minat kanak-kanak supaya mencintai al-Quran semenjak dari kecil lagi dan pembelajaran melalui sistem pendidikan secara berterusan akan dapat melahirkan generasi cintakan al-Quran di negeri ini.



 “Tradisi membaca al-Quran perlu dipertingkatkan lagi kepada kebolehan penghafaz di samping bimbingan ke arah mendalami isi kandungan al-Quran,” katanya.