BANDAR PERMAISURI: Sejumlah RM1,692,900.00 diperuntukan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) Permaisuri oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk penerima wang ehsan pada tahun ini.
Jurucakap Pejabat Dun itu berkata, seramai 3,785 penduduk layak menerima wang ehsan itu termasuklah golongan berpendapatan rendah dan golongan OKU iaitu sebanyak RM300 setiap seorang.
Menurutnya, pengagihan wang ehsan itu akan dilakukan di empat tempat iaitu zon 1 pada 18hb November 2013 bertempat di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri.
"Zon 2 pula akan menerima pada 14hb November juga bertempat di Dewan Sungai Tarom manakala Zon 3 ialah di Pusat Pemunggahan Ikan (LKIM) di Kampung Penarik pada 10hb November dan zon 4 pula akan menerima wang ehsan itu di Dewan SK Guntung luar pada 17hb November 2013" katanya.
Menurutnya, kesemua majlis bermula jam 8 pagi dan penerima diminta datang mengikut waktu bagi membolehkan pengagihan dapat dilaksana dengan lancar dan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.