JABI: Sebanyak 19 pusat pemindahan banjir disediakan untuk orang ramai yang berpindah di Dun Jabi pada musim banjir yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa mulai sekarang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berkata semua pihak sudahpun bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku pada tahun ini.
"Kita sudah mengadakan dua kali mesyuarat banjir pada tahun ini iaitu pertama mesyuarat dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Dan kedua mensyuarat dengan pemimpin-pemimpin tempatan seperti Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Petugas Banjir Peringkat Dun.
"Dan kita sudah bersedia pada bila-bila masa dengan petugas dan juga peralatan untuk tugas-tugas musim banjir ini. Di Dun Jabi ini kita kenal pasti beberapa tempat yang menjadi mangsa kepada banjir seperti Kampung Rambutan, Kampung Tok Dor, Kampung Pondok Paku,Kampung Bahagia dan beberapa kampung lagi.
"Kepada penduduk di kawasan ini mereka sudah biasa dengan banjir dan saya mengharapkan mereka membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini," katanya.
Katanya, bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa banjir ada dua bentuk iaitu makan minum dan bantuan segera lain di pusat pemindahan dan bantuan berbentuk pampasan kemusnahan harta benda dan haiwan ternakan yang akan dibayar selepas musim banjir.