Halaman

07 November 2013

T-Team kini diurus PBSNT

Pasukan negeri berstatus kelab, T- Team kini diletakkan di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), sama dengan pasukan Terengganu.

Sebelum ini, kelab T-Team berada di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT).

 Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata selepas musim Liga Malaysia tahun ini, pengurusan kedua-dua pasukan Terengganu itu diuruskan oleh PBSNT di bawah kepimpinan Datuk Wan Ahmad Wan Abdul Hamid.

 Selaku penaja utama kedua-dua pasukan berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan jurulatih dan pemain dalam persediaan menghadapi kempen Liga Super musim depan.

"Kerajaan negeri telah memberi mandat kepada kedua-dua pasukan itu memilih pemain dan jurulatih terbaik bagi mengembalikan semula kehebatan Terengganu dalam sukan bola sepak," katanya.

YB Rozi berkata kerajaan negeri menyerah tanggungjawab sepenuhnya kepada PBSNT untuk memilih pemain dan jurulatih bagi kedua-dua pasukan itu.

 "Kita tidak mahu masih ada suara sumbang selepas ini," katanya. Kerajaan negeri memberi peruntukan RM5 juta masing-masing kepada skuad Terengganu dan T-Team sebagai perbelanjaan pengurusan musim ini.

Rozi berkata kerajaan negeri masih belum membuat keputusan mengenai peruntukan untuk musim baharu tetapi menjelaskan bahawa jumlah tersebut tidak kurang daripada apa yang diberikan untuk musim ini.

Dalam kempen Liga Super musim ini, pasukan Terengganu menduduki tangga kesembilan manakala T-Team di tangga ke-10.

Waris pelumba basikal terima sumbangan RM20,000

Oleh: Aida Abd Rahman

Tragedi malang yang menimpa dua atlet muda lumba basikal Terengganu yang maut dalam nahas jalan raya ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini, terus mendapat perhatian kerajaan negeri apabila memperuntukkan sumbangan RM20,000 kepada keluarga mangsa, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sumbangan bernilai RM10,000 setiap keluarga Muhammad Syafiq Imran Syahril dan Mohd Asmui Ali sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada dua atlet yang memberi sumbangan kepada sukan lumba basikal di negeri ini.

Selain sumbangan itu, keluarga kedua-dua allahyarham bakal menerima insurans berjumlah RM15,000 setiap seorang.

“Saya harap selepas ini atlet-atlet lumba basikal kita dapat mengikuti arahan-arahan yang telah ditetapkan oleh pihak persatuan seterusnya lebih berhati-hati ketika menjalani sesi latihan.

“Pada masa yang sama, untuk tindakan awal kita juga akan menambah bilangan kenderaan pengiring termasuk van dan motosikal dalam usaha memastikan keselamatan pelumba-pelumba kita terjamin ketika menjalani sesi latihan,” katanya. Selepas Penyerahan Cek Sumbangan kepada kedua-dua keluarga mangsa di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail. Dalam pada itu,

Dato’ Seri Haji Ahmad turut meminta pihak persatuan dapat mengkaji dan memperkemaskan lagi prosedur operasi standard dalam sesi latihan supaya perkara yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang. 

Katanya, beliau tidak mahu Terengganu terus kehilangan bakat-bakat muda yang mampu menjadi pelapis skuad lumba basikal negeri dan kebangsaan akibat jalan raya  terutama ketika menjalani latihan.

 

Terengganu dijangka berdepan lima gelombang banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu dijangka akan berdepan lima gelombang banjir berikutan ramalan hujan lebat dan air pasang besar yang berlaku pada musim tengkujuh kali ini.

Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Encik Mohd Sarif Hassan berkata, mengikut ramalan, fenomena gelombang pertama dijangka berlaku pada 4 hingga 10 November manakala gelombang kedua pula pada 17 hingga 24 November ini .

“Gelombang ketiga pula dijangka berlaku pada 2 hingga 9 Disember ini dan diikuti gelombang keempat pada 15 hingga 21 Disember ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Encik Mohd Sarif berkata, gelombang kelima pula dijangka berlaku tahun hadapan namun tarikhnya belum dapat dipastikan lagi.

“Ketika ini kita dalam tempoh jangkaan gelombang pertama namun setakat ini masih tidak berlaku banjir lagi.

“Smalam (kelmarin) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air sungai di Stesen Sekolah Menengah Sultan Badrul Alam Shah, Kemaman sudah melebihi paras bahaya dan di stesen JPS Kuala Terengganu sudah berada di paras amaran,” katanya.

Menurutnya, MKN sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang lebih besar kali berbanding hanya tiga gelombang pada musim tengkujuh yang lalu.

Dalam pada itu, sebanyak 198 kawasan di negeri yang sering dilanda banjir dijangka menghadapi bencana sama kali ini iaitu 30 kawasan di Besut, Setiu (21), Kuala Terengganu (17), Marang (27), Hulu Terengganu (29), Dungun (32) dan di Kemaman 42 kawasan.

Beliau berkata, ketika banjir berlaku, pihaknya akan membuka bilik gerakan 24 jam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi hotline MKN di talian 09-6316021 atau 09-6222231.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari http://etindakan.terengganu.gov.my ataupun http://portalbanjir.mkn.gov.my untuk maklumat terkini mengenai keadaan banjir.


Wang Ehsan Dun Permaisuri bermula 10hb ini.

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Sejumlah RM1,692,900.00 diperuntukan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) Permaisuri oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk penerima wang ehsan pada tahun ini.

Jurucakap Pejabat Dun itu berkata, seramai 3,785 penduduk layak menerima wang ehsan itu termasuklah golongan berpendapatan rendah dan golongan OKU iaitu sebanyak RM300 setiap seorang.

Menurutnya, pengagihan wang ehsan itu akan dilakukan di empat tempat iaitu zon 1 pada 18hb November 2013 bertempat di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri.

"Zon 2 pula akan menerima pada 14hb November juga bertempat di Dewan Sungai Tarom manakala Zon 3 ialah di Pusat Pemunggahan Ikan (LKIM) di Kampung Penarik pada 10hb November dan zon 4 pula akan menerima wang ehsan itu di Dewan SK Guntung luar pada 17hb November 2013" katanya. 

Menurutnya, kesemua majlis bermula jam 8 pagi dan penerima diminta datang mengikut waktu bagi membolehkan pengagihan dapat dilaksana dengan lancar dan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

 

06 November 2013

Kerajaan negeri sedia bantu Pusat Hippoterapi dan RDA Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan yang diperlukan Pusat Hippoterapi dan ‘Riding For Disable Association’ (RDA) cawangan Terengganu bagi meringankan beban pusat berkenaan dalam menyediakan rawatan terapi berkuda (Hippoterapi) untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata, kerajaan negeri sedia memberi bantuan kepada RDA berdasarkan keperluan yang diperlukan pusat terbabit dan akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita akui kos untuk pusat ini memberikan khidmat terapi berkuda secara percuma kepada golongan OKU agak tinggi, justeru kerajaan negeri akan sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan samada dalam bentuk kewangan atau bantuan lain secara berperingkat.



 “Pusat Hippoterapi ini merupakan salah satu rawatan alternatif kepada mereka yang memerlukan. Terdapat golongan OKU yang hanya mengalami kecacatan yang masih boleh diubati, tetapi kerana dibiarkan masalah kecacatan yang mereka alami semakin merosot.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan mereka kepada rawatan fisioterapi, latihan serta memberi semangat dan motivasi kepada golongan ini,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Seminar Keberkesanan Hippoterapi dan Perasmian RDA cawangan Terengganu, di TER, hari ini.

Katanya, beliau berharap terapi berkuda menjadi suatu pendekatan baru dalam memberikan rawatan kepada OKU dan diterima khalayak ramai walaupun ia merupakan suatu perkara baru dalam masyarakat Malaysia.

 “Bagi memastikan program ini berjalan secara berterusan selain bantuan yang dihulurkan kerajaan, peranan dan sokongan ibu bapa juga penting dalam memastikan anak-anak OKU ini mendapat hak yang sewajarnya sekali gus dapat membantu memulihkan kecacatan yang mereka alami.

 





Sekitar pemberian wang ehsan Dun Jabi.

Tulis..orang ramai megisi borang baucer.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

JABI: Seramai 1,500 penduduk Dun Jabi menerima wang ehsan berjumlah RM300 tiap seorang dalam satu majlis di Dewan Sivik Jabi, bermula jam 10 pagi tadi.(6.11.13)

Sebanyak 12 buah kampung terbabit dengan pemberian wang ehsan itu manakala selebihnya akan menerima wang ehsan itu pada esok dan 10hb ini.

Tinjauan Teganukita mendapati, walaupun hujan tetapi orang ramai mula datang ke dewan sivik itu bermula sejak 8.30 pagi untuk memeriksaan status penerimaan mereka dan pendaftaran mula dibuka pada kira-kira jam 9.30 pagi sebelum acara pemberian wang ehsan itu dilakukan.

Iskandar...bersyukurlah.
Ahli Dewan Undangan (Adun) Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, dalam ucapannya sebelum acara pemberian wang ehsan itu dilaksanakan, meminta penerima sumbangan wang ehsan itu bersyukur kepada Tuhan atas pemberian itu.

“Mari lah kita pakat bersyukur kepada Allah Taala kerana Allah berfirman maksudnya, sesungguhnya jika kamu bersyukur, aku akan tambah nikmat ke atas kamu…”

“Dan marilah kita sama-sama berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional atas sumbangan ini dengan terus memberi sokongan supaya pemberian ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Berikut ialah gambar-gambar sekitar di tempat pemberian wang ehsan itu:-
Dengar..penerima mendengar ucapan Iskandar.
Tunggu..sebahagian penerima tunggu di luar.
Mesra..Iskandar bersama dua penduduk.
Niaga..orang ramai turut berniaga.
Mohd Yunus, 72..bersyukur.
Ibrahim Malik...terima kasih.
Teliti..petugas sedang menyemak nama penerima.

 

Kumpulan Muzik di Terengganu Dihargai.


Zahari (dua dari kiri) menyampaikan sumbangann kepada Mohamad Rizal

Oleh: Mohammad Ishak 

Penggiat seni dan budaya di Terengganu beruntung kerana nasib mereka sentiasa mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pihak yang mahu golongan berkenaan terus aktif dalam menyumbang aktiviti kesenian.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,Terengganu, adalah antara jabatan yang sentiasa peka dengan penggiat seni dan budaya negeri ini yang sentiasa membantu mereka dalam usaha memartabatkan seni dan budaya.

Timbalan Pengarahnya, Zahari Mat berkata, terbaru pihaknya menerima kunjungan hormat ahli Kumpulan Muzik D Payong, Hulu Besut di pejabatnya hari ini.

Katanya, pada perjumpaan itu kumpulan terbabit membangkit pelbagai isu berhubung usaha kerajaan mambantu kumpulan muzik dan penggiat seni negeri ini.

Menurutnya, sempena perjumpaan itu pihaj jabatan turut menyerahkan bantuan untuk membaiki alat muzik kumpulan berkenaan yang rosak.

Beliau berharap dengan sedikit bantuan yang dihulurkan itu dapat menaik semangat ahli kumpulan berkenaan bergiat aktif dalam bidang muzik.

Kumpulan D Payong adalah daripada Hulu Besut yang membawa lagu sendiri seperti lagu ku bermohon. 

Sementara itu,pengurus kumpulan D Payong.Mohamad Rizal bersyukur kerana hasrat ahli kumpulannya untuk memartabatkan seni muzik mendapat perhatian jabatan berkenaan yang turut memberi bantuan bagi menggalakkan kumpulan meneruskan aktiviti seni.

Bersikap terbuka terima maklum balas rakyat : Dato' Haji Mazlan

Dato' Haji Mazlan Ngah (kiri) bersama pegawai kanan kerajaan selepas Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar WDI, pagi ini.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Setiausaha Kerajaan Negeri menyeru semua penjawat awam supaya bersikap terbuka ketika menerima maklum balas rakyat sebagai usaha memperbaiki dan menambah baik kualiti sektor berkenaan selaras dengan transformasi perkhidmatan awam.

Warga kerja Wisma Darul Iman mendengar amanat yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, inisiatif yang harus dilaksanakan di semua jabatan kerajaan itu juga memerlukan semua kakitangan turun padang bagi mendekati rakyat, mendengar suara dan permasalahan secara langsung sebelum mengambil langkah proaktif serta penyelesaian yang terbaik.

Dato'Tuan Mamat Tuan Ngah menyampaikan sijil kepada penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan.
“Selain turun padang, semua pegawai dan kaiitangan awam juga harus mengamalkan budaya musyawarah bersama pelanggan, fokus dan responsif dalam usaha mencapai sesuatu yang lebih baik.

 “Pada masa yang sama, kita perlu mengukuhkan aspek insaniah dan kekitaan supaya kerjasama yang terjalin mampu mengukuhkan silaturahim dan ukhwah bagi melancarkan lagi tugas dan tanggungjawab,” kata beliau ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu pagi ini.

Hadir sama, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan Negeri, Dato Haji Abdul Razak Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah.

Dato’ Haji Mazlan berkata, prinsip merakyatkan perkhidmatan awam sebagaimana saranan Ketua Setiausaha Negara, Dato’ Sri Dr Ali Hamsa itu juga menyarankan kerjasama strategik antara semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan bagi mengukuhkan sistem dan kecekapan perkhidmatan awam.

Beliau juga yakin penjawat awam di negeri ini akan menikmati faedah daripada penyusunan semula dan menaik taraf 81 Skim Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak pada pembentangan Bajet 2014, baru-baru ini.

 “Pekeliling mengenainya dijangka akan dikeluarkan pada bulan ini dan sama-sama kita semua menunggu skim yang mana akan terlibat,” katanya.

Di majlis itu, seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah cemerlang bulanan bermula Julai hingga September tahun ini, yang disampaikan Dato’ Tuan Mamat.


Dun Jabi dapat wang ehsan hari ini.

Oleh: Aminudin Ismail. 

Iskandar...ringan beban.
JABI: Seramai 4,468 penduduk DUN Jabi menerima sumbangan Wang Ehsan sebanyak RM300 setiap seorang pada pada hari ini, (6hb), esok (7hb) dan 10hb November ini.

Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar berkata, pemberian wang ehsan itu diberi kepada mereka yang layak menerimanya antaranya ialah golongan berpendapatan rendah dan orang kurang upaya (OKU) bagi meringankan bebanan mereka.

“Pada tahun ini, seramai 4,468 layak menerima wang ehsan yang akan di adakan di Dewan Sivik Jabi selama tiga hari iaitu esok, lusa dan disambung 10hb ini,” katanya.

Iskandar berkata, pemberian wang ehsan itu membuktikan kerajaan BN Terengganu tetap perihatin terhadap penduduk negeri ini yang berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik supaya boleh meringankan bebanan mereka.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan penduduk di Dun Jabi ini terus memberi sokongan pada kepada kerajaan BN supaya segala bentuk bantuan dan sumbangan dapat dihulurkan dengan berterusan kepada mereka,” katanya.

 

05 November 2013

Puteri UMNO Setiu adakan program untuk ahli.

Oleh Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Puteri UMNO Setiu akan mengerakan ahlinya termasuklah menarik lebih ramai ahli baru selepas mesyuarat AJK yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketuanya, Norfuzilawati Yusof berkata, beberapa program dan aktiviti Puteri UMNO Setiu akan dikemukan pada mesyuarat itu nanti supaya Puteri UMNO Setiu akan sentiasa aktif bagi memperkukuhkan Barisan Nasional Setiu.

“Kita ada banyak program yang akan dilaksanakan tetapi buat masa ini belum dapat dilaksanakan kerana AJK belum lagi bermesyuarat dan Insya Allah mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi selepas AJK Bahagian bermesyuarat.

“Antara beberapa program yang kita akan adakan ialah kursus jahitan dan mamasak jangka pendek serta beberapa aktiviti fizikal dan kerohanian . Program ini diharapkan akan menarik minat lebih ramai remaja wanita menyertai Puteri UMNO,” katanya.

Norfuzilawati berkata, pihaknya juga akan mengunakan laman sosial seperti facebook dan twitter untuk meramaikan ahli Puteri UMNO Setiu dengan memberi dan melaporkan maklumat yang betul tentang UMNO.

“Setiap aktiviti puteri akan kita ‘update’ kan dalam laman sosial ini supaya Puteri UMNO ini akan dilihat sebagai satu pertubuhan yang aktif dan menyampaikan maklumat yang betul dan tepat tentang UMNO dan Barisan Nasional.

“Saya mengharapkan beberapa pendekatan baru dan lama ini akan memberi manfaat kepada seluruh ahli Puteri dan bakal ahli yang menyertai UMNO melalui usaha yang kita akan lakukan. Saya juga mengharapkan Puteri UMNO mampu memberi peranan penting dalam memantapkan UMNO Setiu,” katanya.