Halaman

10 November 2013

Penubuhan ECER mampu tarik pelaburan RM20.4 bilion

Oleh: Suriati Ali 

Terengganu melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pantai Timur (ECERDC) kini mengalami transformasi yang amat membanggakan di mana berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM20.4 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata pelaburan ini sekaligus memberi 10,850 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu serta memberi manfaat kepada 800 usahawan baru.

 Katanya, dalam hal itu, Projek Taman Biopolimer Kertih yang terletak di Zon Ekonomi Khas ECER berjaya melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab bagi sektor bioteknologi di rantau ini dengan kehadiran penggerak indutri bioteknologi bertaraf dunia.

 “Hal ini sememangnya merupakan satu perkembangan positif bersifat saling melengkapi dengan aktiviti-aktiviti di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih yang juga terletak dalam Zon Ekonomi Khas ECER.


 “Satu lagi projek yang diterajui ECERDC berkaitan Pembangunan Taman Perindustrian Berat (TPB) Telok Kalong, Kemaman di mana berjaya menarik pelaburan Eastern Steel iaitu syarikat usahasama Hiap Teck Venture Berhad serta Shougang Corporation, yang juga salah sebuah syarikat bersepadu terbesar di China”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Terbuka ECEDC Bersama Rakyat di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

 Turut hadir Timbalan Setiusaha Kerajaan, Dato’ Haji Mat Razali Kasim ;Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dan Pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, TPB akan memfokuskan sektor fabrikasi besi dan keluli, manakala pusat membina dan membaiki bot akan diwujudkan di Pulau Kucing, Kemaman di mana sektor-sektor ini bakal menyokong industri minyak dan gas negara.

 “Kemasukan pelaburan ke negeri ini akan menjana lebih banyak peluang perniagaan dan keusahawanan sampingan untukusahawan tempatan, dalam bidang seperti pembinaan hartanah, logistik, latihan dan pelbagai perkhidmatan professional yang lain.

“Pihak kami juga bersedia untuk menyokong , untuk menyokong industri ternakan negara melaui Pusat Penyelidikan dan Inovasi Ternakan Kambing, di Kuala Berang yang dijadualkan mula beroperasi, pada awal 2014 ,” katanya.

 Menurutnya, projek itu akan membuka peluang kepada petani generasi baru melalui penggunaan teknologi terkini untuk menikmati hasil yang lebih tinggi.

“Taman Bio Herba Pasir Raja antara projek pertanian terpenting di Terengganu khusus untuk penanaman 10 jenis herba bernilai tinggi antaranya mengkudu, hempudu bumi, tongkat ali dan kacip Fatimah.

 “ Usaha ini adalah untuk menyokong industri hiliran yang melibatkan makanan dan minuman halal serta produk farmasiutikal dan nutrasiukal.,” katanya.

 




Sekitar Pembahagian Wang Ehsan Dun Permaisuri.

Meriah...orang ramai menunggu dapatkan wang ehsan.
Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 1,500 penduduk dari 16 buah kampung di zon pantai Dun Permaisuri menerima wang ehsan sebanyak RM300 tiap seorang di Dewan Serbaguna MDS, Sungai Tarom, di sini, pagi tadi.

Tinjauan Teganukita di pusat pembahagian wang ehsan itu mendapati orang ramai mula datang ke dewan itu sejak jam 8.30 pagi lagi dan jumlah itu bertambah sehingalah jam 10 pagi majlis dimulakan selepas kehadiran Ahli Dewan Undangan (Adun) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee.

Majlis yang sepatutnya diadakan di Pusat Pemunggahan Ikan LKIM, Kampung Penarik itu terpaksa dipindah ke Dewan Serbaguna, Sungai Tarom berikutan keadaan cuaca yang kurang baik kerana hujan sejak semalam.

Mohd Jidin,.terus sokong BN
Dalam ucapannya , Mohd Jidin mahu penduduk Daerah Setiu terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN)supaya segala bentuk bantuan akan dapat diteruskan kerana kerajaan sememangnya sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang layak menerimanya.

“Sekarang kita dapat dana raya, lepas ini bantuan untuk anak-anak sekolah pula. Kemudian kita pula akan dapat BR1M. Semua ini menunjukan kerajaan BN sentiasa membantu rakyat yang memerlukan bantuan bagi meringankan bebanan mereka .” katanya.

Barikut ialah gambar-gambar sekitar Majlis Pembahagian Wang Ehsan Dun Permaisuri:
Dengar..sebahagian penerima mendengar ucapan Mohd Jidin.
Bersedia...petugas bersedia untuk menjalankan tugas.
Semak...petugas sedang menyemak nama penerima.
Teliti...Mohd Jidin sedang melihat maklumat penerima.
Gembira..seorang penerima (kanan) gembira terima wang ehsan.
Zahari Mat Husin...terima kasih kerajaan BN.
Wan Fadli Azizi...bersyukur.

Tiba...Mohd Jidin disambut Penghulu Mukim Tasik, Johari Mohd.



Keputusan UPSR diumum Khamis ini

Keputusan UPSR diumum Khamis ini Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan diumumkan Khamis ini, 14 November.

Berdasarkan pekeliling kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri, calon-calon UPSR boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi.

 Seramai 478,848 calon menduduki peperiksaan tersebut di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan UPSR 2013 secara sistem pesanan ringkas (SMS).

LMNT pamer haiwan berbisa

Oleh: Suriati Ali dan Syazni Zainudin (pelatih)

 Lebih 100,000 masyarakat tempatan dan luar Terengganu dijangka mengunjungi Pameran Haiwan Berbisa 2013 bertempat di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, Losong, Kuala Terengganu.

 Pameran anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), berlangsung selama 3 bulan dan berakhir 31 Disember itu mempamerkan pelbagai aktiviti sampingan.

 Antaranya, termasuk pertunjukan ular berbisa, laman bersama ular dan tayangan video berkaitan habitat spesies itu.

Penolong Kurator Perhubungan & Pemasaran LMNT, Encik Mohd Saberi Muda, berkata pihaknya yakin, sasaran lebih 100,000 pengunjung dapat dicapai berikutan penganjuran pertama kali pada 2010 mampu menerima hampir 100,000 pengunjung.

Katanya, pameran itu sejajar dengan kehendak kerajaan yang mahukan seramai yang mungkin pelancong datang ke negeri sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 “Pameran ular yang  dipaparkan itu tidak membosankan pengunjung kerana pelbagai jenis ular berbisa dan jarang dilihat dari luar negara akan dipertontonkan.

“Orang ramai pasti belum pernah melihat ular orok-orok , cameroon pit viper, equatorial spitting cobra, suphan spitting cobra, big eye viper dan sebagainya. Semua itu akan dipertontonkan,” katanya.

Katanya, tidak ketinggalan juga, spesies ular tempatan, termasuk ular sawa, ular tedung selar dan ular kapak api.

 “Terdapat juga bahan pameran berkaitan pelbagai jenis kehidupan laut, kala jengking, labah-labah dan serangga berbisa, “ katanya.

 

Kes demam denggi di Terengganu menurun

Kes demam denggi bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini di Terengganu mencatat penurunan sebanyak 34.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2012.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Kesihatan Awam, Dr Mohd Jusoh berkata hanya 439 kes direkod setakat ini berbanding 671 pada tahun lepas.

 "Daripada jumlah itu 397 kes adalah demam denggi dan 42 kes demam denggi berdarah.

"Secara keseluruhannya semua daerah menunjukkan penurunan kes demam denggi kecuali di Setiu yang menunjukkan peningkatan 110 peratus," katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi penguatkuasaan Ops Gempur Aedes Peringkat Negeri Terengganu di sekitar Kuala Ibai, semalam.

Kira-kira 200 sukarelawan dan anggota penguatkuasa kesihatan melakukan pemeriksaan di tujuh kampung sekitar Kuala Ibai bagi menangani masalah kes demam denggi yang berlaku di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

Antara agensi yang turut terlibat ialah Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Kolej Jururawat, Kolej Kesihatan Awam Batu Rakit dan penduduk Kuala Ibai.

Beliau berkata, penurunan kes demam denggi itu adalah kejayaan besar hasil keprihatinan masyarakat yang memberi kerjasama baik terhadap semua aktiviti yang dianjur jabatan.

"Ia juga membuktikan keberkesanan 110 program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) dalam mencegah dan mengawal kes denggi di seluruh Terengganu," katanya.

Katanya, masyarakat bagaimanapun dinasihatkan tidak leka dengan kadar penurunan itu kerana kes demam denggi boleh berlaku di mana-mana, pada bila-bila sahaja jika kebersihan persekitaran diabaikan.

 

09 November 2013

Bazlan lawat calon SPM.

Hormat..calon SPM SMPK bersalaman dengan Bazlan.
Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar Ehsan: Mazlan Mustaffa. (Pejabat Dun Batu Rakit).

KESIBUKAN tugas tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman untuk hadir ke beberapa buah sekolah sekitar Dun itu bagi memberi semangat kepada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara sekolah yang dikunjungi beliau ialah SMK Batu Rakit, Sekolah Menengah Tengku Mizan dan SMK Padang Kemunting (SMPK) iaitu seramai 501 pelajar kesemuanya.

Dalam lawatan itu, Bazlan sempat memberi ucapan semangat kepada pelajar sebelum memasuki dewan peperiksaan dan beliau mengharapkan setiap pelajar supaya menjawab soalan peperiksaan dengan cermat dan tepat.

“Saya mengharapkan semua pelajar akan memberi tumpuan kepada setiap soalan supaya dapat menjawabnya dengan baik dan semoga lebih ramai pelajar di Dun ini akan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun ini,” katanya.

Bazlan juga sempat meluangkan masa bertemu mata dan berbual bersama-sama guru dan pentadbir sekolah sebelum bersama-sama calon SPM.
Motivasi...Bazlan memberi semangat kepada calon SPM SMPK.
Dengar..Bazlan bersama guru sebuah sekolah.


Imej Terengganu bakal berubah melalui perancangan KTCC

Oleh: Suriati Ali 



Projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan Terengganu.

 Pada masa sama, projek itu bakal menjadi penanda aras baru kepada pembangunan hartanah di Terengganu dan meletakkan negeri ini sebagai pusat pelancongan moden bertaraf dunia.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di negeri ini apabila melihat kemajuan dan perubahan bandar raya ini.

Katanya, bagi melengkapkan KTCC sebagai gerbang pelancongan baru, jambatan angkat bernilai hampir RM40 juta bakal dibina menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara.

 “Projek lain, termasuk sebuah apartment 30 tingkat bernilai RM150 juta yang mengandungi 292 unit rumah dan 90 unit ruang komersil dibangunkan melalui peruntukan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT)



 “Kemudahan lain, menara 30 tingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dibina dan sebuah lagi menara dengan ketinggian sama dibangunkan untuk menempatkan pejabat semua yayasan-yayasan milik kerajaan negeri,” katanya.



 Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas merasmikan Program Hari Terbuka ECER) Bersama Rakyat di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kasim; Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dan Pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Program sehari itu memaparkan pameran berkaitan projek dan program yang dilaksanakan ECER di Terengganu, di mana mampu memberi impak kepada rakyat tempatan sejak wilayah itu dilancarkan lima tahun lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, Terengganu juga bersedia menyokong industri ternakan negera melalui pembangunan Pusat Penyelidikan & Inovasi Ternakan Kambing di Kuala Berang yang dijadualkan mula beroperasi pada awal tahun depan.

 “Projek itu akan membuka pelbagai peluang kepada petani generasi baru di Terengganu yang akan menikmati hasil dan produktiviti yang lebih tinggi melalui penggunaan teknologi canggih dan terkini dalam sektor penternakan kambing, “ katanya.

 








UMT anjur Larian Hijrah sempena awal Muharam

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan tradisi menganjurkan Larian Hijrah yang masuk tahun ke-4 diadakan bersempena sambutan awal Muharam 1435H.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMT, Prof. Dr. Anuar Hasan berkata, program anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi UMT itu jelas menunjukkan kredibiliti dan keprihatianan pihak universiti dalam usaha menyemarakkan syiar Islam.

“Larian ini adalah simbolik kepada penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah. Peserta boleh menghayati sendiri perit jerih Rasulullah daripada perjalanan larian ini.

“Malah, ada sebilangan peserta yang tidak mampu menamatkan larian kerana pelbagai cabaran dan dugaan di sepanjang perjalanan. Jelas sekali, hijrah memerlukan satu tekad yang kuat dan pengorbanan yang besar,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Larian Hijrah 1435H di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail UMT, hari ini.

Katanya, Larian Hijrah ini bukan sahaja menyuntik semangat tahun baru hijrah di kalangan peserta malah telah megubah tradisi sambutan hari kebesaran Islam dengan program berbentuk larian yang berteraskan syarak.

Difahamkan, sebanyak empat kategori dipertandingkan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada 779 peserta.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah UMT Challenge sejauh 12 kilometer (km), Student Challenge dan Team Challenge (8km) serta Kids For Run (400 meter) yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM5000.

Lebih menarik, larian ini lebih berbentuk aktiviti amal kerana bayaran yuran oleh para peserta akan disumbangkan kepada komuniti perkampungan golongan cacat penglihatan Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang.

Seramai 100 sukarelawan Muslim Youth Volunteer (MYV) turut terlibat bagi menjayakan Larian Hijrah tahun ini.

 

Ismail, Pengerusi JKKK berjiwa rakyat.

Oleh: Aminudin Ismail.

Ismail..suka membantu.
SIKAPNYA yang gemar bergaul rapat dengan penduduk kampung menjadikan Ismail Omar, 56 mudah untuk menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tasik Nibong, Dun Jabi yang disandangnya sejak lebih tiga penggal lalu.

Lebih memudahkan lagi kerjanya ialah apabila hampir keseluruhan penduduk kampung adalah daripada penyokong Barisan Nasional malah segelintir dari penyokong parti pembangkang turut bekerjasama dengannya apabila mengadakan sesuatu majlis.

“Saya memang rapat dengan semua penduduk malah boleh dikatakan kesemua penduduk saya kenal kerana jumlah penduduk di cawangan saya ini tidak ramai iaitu sekitar 200 orang. Saya mudah mengendalikan sesuatu perkara terutamanya dalam menyalurkan bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Ismail berkata, sepanjang tugasnya sebagai wakil kepada wakil rakyat di kampungnya, dia sudah berjaya mambantu mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk penduduk dan membaikpulih rumah yang uzur.

“Setakat ini saya berjaya membantu kira-kira 10 penduduk kampung untuk mendapatkan rumah PPRT dan lebih 20 buah rumah sudah dibaikpulih.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah orang kampung , saya akan pastikan mereka yang layak akan berjaya mendapat apa yang dipohonnya,” katanya.

Bincang..sedang berbincang sesuatu dengan rakannya.
Menurutnya, beliau juga akan mempastikan penduduk berjaya menerima pelbagai bantuan lain seperti bantuan bulanan dari JKM dan bantuan wang ehsan serta beberapa bantuan lain daripada kerajaan negeri dan pusat.

“Saya akan membantu penduduk yang benar-benar layak untuk memohon bantuan ini dan akan sentiasa berusaha supaya permohonan itu akan diluluskan dan Alhamdulillah kebanyakan yang layak berjaya dalam permohonan mereka itu,” katanya.

Ismail berkata, antara usahanya yang paling mengembirakanya ialah apabila sebuah Madrasah Kelas Al-Quran berjaya dibuka di kampungnya bagi membolehkan penduduk di kampung itu mendalami ilmu Al Quran.

Dalam pada itu, Ismail mengharapakan penduduk di kampungnya akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional supaya beliau dapat terus menabur khidmat untuk kemajuan kampungnya sekiranya beliau masih diberi kepercayaan oleh Wakil Rakyat dan penduduk pada penggal akan datang.



08 November 2013

19 Pusat Pemindahan Banjir Dun Jabi

Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Sebanyak 19 pusat pemindahan banjir disediakan untuk orang ramai yang berpindah di Dun Jabi pada musim banjir yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa mulai sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berkata semua pihak sudahpun bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku pada tahun ini.

"Kita sudah mengadakan dua kali mesyuarat banjir pada tahun ini iaitu pertama mesyuarat dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dan kedua mensyuarat dengan pemimpin-pemimpin tempatan seperti Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Petugas Banjir Peringkat Dun.

"Dan kita sudah bersedia pada bila-bila masa dengan petugas dan juga peralatan untuk tugas-tugas musim banjir ini. Di Dun Jabi ini kita kenal pasti beberapa tempat yang menjadi mangsa kepada banjir seperti Kampung Rambutan, Kampung Tok Dor, Kampung Pondok Paku,Kampung Bahagia dan beberapa kampung lagi.

"Kepada penduduk di kawasan ini mereka sudah biasa dengan banjir dan saya mengharapkan mereka membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini," katanya. 

Katanya, bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa banjir ada dua bentuk iaitu makan minum dan bantuan segera lain di pusat pemindahan dan bantuan berbentuk pampasan kemusnahan harta benda dan haiwan ternakan yang akan dibayar selepas musim banjir.