Halaman

28 November 2013

UMT komited jalan penyelidikan berimpak

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan terus komited dalam menjalankan penyelidikan berimpak, selain memindahkan nilai ilmu serta menawarkan khidmat akademik kepada masyarakat dan pemegangtara di Tanah Bencah Setiu.

 Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komo berkata, komitmen universiti itu diperkukuhkan lagi dalam usaha memperkasakan penyelidik melalui pengukuhan sistem sokongan penyelidikan yang telah bermula tahun lepas.

 Katanya, pengukuhan itu melibatkan pengurusan penyelidikan yang lebih fokus kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Pemerkasaan Sistem Penyelidikan Tanah Bencah Setiu di bawah PPP.

 "Sebagai contoh, ini melibatkan secara langsung dalam usaha pewartaan Tanah Bencah Setiu dalam menjadikannya sebagai Taman Negeri melalui peningkatan jaringan kerjasama dan sokongan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Bengkel Pewartaan Tanah Bencah Setiu Sebagai Taman Negeri Terengganu di sini baru-baru ini.

 Bengkel sehari dengan kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang menghimpunkan kira-kira 250 penyelidik, pegawai kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan itu bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menaikkan taraf ekonomi penduduk dan negeri.

 Sehubungan itu, Ibrahim berharap para peserta bengkel mencari dan mengenal pasti keistimewaan yang ada di Setiu sebagai satu tarikan unik apabila lokasi itu dijadikan taman negeri kelak.

 Beliau berkata, UMT telah menjalankan penyelidikan di Tanah Bencah Setiu seawal penubuhan universiti berkenaan pada tahun 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera.

 Menurutnya, UMT terus berkembang selaras dengan proses pembangunan di Tanah Bencah Setiu dari satu daerah yang agak kurang dikenali sehingga menjadi 'hab' kepada industri perikanan, akuakultur, pertanian, selain sebagai pusat tarikan baharu dalam sektor eko-pelancongan.

 Sebanyak sembilan pembentangan oleh pelbagai agensi yang berkaitan dibincangkan dalam bengkel tersebut.

 

UMNO Besut Sokong Perlantikan Dato' JJ.

Nawi..satu keputusan yang baik.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Perlantikan Dato' Jailani Johari sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, baru-baru ini dilihat boleh 'menyegarkan' lagi UMNO di Terengganu, kata Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohammad.

Nawi yang juga Exco kerajaan negeri itu, berkata perlantikan itu adalah satu keputusan yang baik daripada pucuk pimpinan parti, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak kerana ada muka baru dalam kepimpinan UMNO di Terengganu.

"Bagi saya ia adalah satu keputusan baik dari Presiden parti untuk UMNO, keduanya dengan perlantikan ini saya nampak semacam tidak ada masalah dan tidak wujud lagi kem itu kem ini, sekarang sudah tak ada dan masing-masing akan memberi tumpuan untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 nanti yang dijangka mungkin lebih mencabar dari PRU 13 lalu.

"Kita tengok ahli-ahli UMNO telah semacam menukar dia punya jurulatih ataupun ketua pasukan mereka daripada lapan ketua pasukan kepada enam yang baru iaitu kekalkan dua yang lama.

"Ini adalah sebagai satu 'signal' daripada ahli (UMNO) bahawa pasukan baru ini mesti bekerja keras untuk menghadapi PRU nanti supaya mencapai kemenangan yang lebih baik daripada PRU 13 baru ini," katanya kepada Teganukita, di sini, kelmarin.

Nawi berkata, Pertukaran dilakukan supaya jentera baru itu lebih bertenaga dan bersedia menghadapi PRU akan datang dan tidak menimbulkan isu kerana menurutnya, sebagai ahli UMNO mereka hendaklah berpegang kepada prinsip.

"Walaupun tidak memegang apa-apa jawatan, kita mesti terus berkhidmat kepada parti kalau kita yakin ini boleh memberi manfaat dan dapat membela bangsa Melayu. Tak kiralah seseorang itu ada jawatan atau tidak yang penting parti akan terus berjalan untuk mempastikan perjuangan orang Melayu dapat kita tunaikan.

"Saya percaya UMNO Terengganu pada masa depan akan lebih baik lagi dan kita mesti memberi kepercayaan kepada ahli UMNO yang telah membuat perubahan ke atas pucuk pimpinan di peringkat bahagian untuk mereka menilai semula pada pemilihan akan datang.

"Jika keputusan PRU ke 14 nanti sama dengan PRU ke 13 maka pasukan ini akan diganti semula oleh ahli-ahli UMNO. Oleh itu kita selaku pemimpin di peringkat bahagian dan negeri mesti bekerja keras untuk memberi kepercayaan kepada ahli bahawa kepimpinan baru yang dipilih ini berbaloi," katanya.

Dalam pada itu, Nawi berkata, beliau yakin Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baru itu, Dato' Jailani Johari boleh membantu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri untuk terus memantapkan lagi UMNO di Terengganu dan seterusnya mencapai kemenangan besar dalam memenangi PRU ke 14 nanti.

 

27 November 2013

Kerajaan negeri kesal jika hak penganjuran piala monsun ditamatkan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri kesal sekiranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menarik balik hak penganjuran sukan berprestij, kejohanan Piala Monsun, di Terengganu pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ditemani Dato' Haji Mazlan Ngah ketika mengadakan sidang media selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan tidak meneruskan penganjuran sukan yang dijalankan sejak 2005 itu seakan tidak menghargai peranan dan sumbangan Terengganu terhadap kemajuan dan pembangunan sukan negara khususnya dalam melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.

“Setelah perjanjian awal (penganjuran) tamat pada tahun ini, terpulang kepada penganjur untuk mengadakannya di negeri mana dan sebagainya itu hak dia. Tapi soal sekarang kita melihat bahawa Terengganu sudah mempunyai kemudahan mencukupi untuk penganjuran Piala Monsun.

“Ini bermakna jika kejohanan itu diadakan di tempat lain, pihak berkenaan perlu menyediakan kemudahan yang baharulah. Itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. 

Menteri Besar turut meminta KBS dan pihak terlibat dengan penganjuran kejohanan itu supaya tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan mengkaji secara keseluruhan memandangkan Terengganu merupakan negeri yang paling ramai melahirkan atlet negara.

“Kilang pengeluar atlet negara adalah Terengganu, seperti pelumba basikal di peringkat Olimpik pun wakil anak Terengganu, acara lebuh raya juga diwakili anak Terengganu, kanu dan juga sukan lain ramai membabitkan anak Terengganu, sepatutnya pihak kementerian mempertimbangkan dengan pengalaman, kemudahan yang kita ada serta sumbangan kita,” katanya.

Malah, seramai 65 anak Terengganu turut mewakili negara dalam pelbagai acara pada Sukan Sea Myanmar tahun ini.

Katanya, sebelum ini juga Terengganu sentiasa bersedia menjadi tuan rumah dan lokasi pilihan ramai penganjur sukan, malah turut menyediakan bantuan kewangan sebagai sokongan kepada penganjuran sebarang aktiviti sukan negara ini.

Sehubungan itu juga, pihaknya juga berhasrat untuk menarik balik penajaan RM2 juta bagi  penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) yang sudah beberapa tahun Terengganu menjadi tuan rumah peringkat akhir acara itu.

 “Saya melihat apabila tiada timbal balas ini, saya rasa kecewa dan kita beritahu kita akan tarik diri pada tahun ini untuk menjadi tuan rumah LTdL dan tidak akan menyediakan penajaan. Saya mudah sahaja,” katanya.

 Terdahulu, kontrak penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang akan tamat pada tahun ini, masih belum diperbaharui dan menimbulkan tanda-tanya.

Mengulas perkara itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pihaknya akan membuat kajian terlebih dahulu sama ada mengekalkan kejohanan itu di Terengganu atau sebaliknya.


JO DILANTIK KETUA PEMUDA UMNO NEGERI TERENGGANU


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Johari Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, demikian disahkan sendiri oleh beliau sewaktu dihubungi oleh Teganukita sebentar tadi dan sehingga berita ini ditulis perbincangan sedang berlangsung di antara pihaknya dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Kharil Jamaluddin di Kuala Lumpur.
  Turut dilantik ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dr. Najmi Faiz sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Negeri. Perlantikan ini berkuatkuasa sertamerta hari ini.
 Sebelum ini Teganukita difahamkan Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Hulu Terengganu, Puan Rozita Ismail juga telah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri-

Bantuan RM1.4j untuk persatuan dan NGO yang aktif

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meneruskan tradisi memperuntukkan sumbangan kewangan RM1.4 juta kepada setiap persatuan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, berkata bantuan pentadbiran tahunan itu disediakan kepada semua persatuan dan NGO yang berdaftar dengan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan bergerak aktif  sahaja.

“Dalam mesyuarat Exco hari ini juga bersetuju memberikan bantuan kepada persatuan dan NGO negeri sebagaimana tahun-tahun lepas, dengan jumlah kira-kira RM1, 412,000.

“Bantuan ini adalah untuk tahun kedua, dengan jumlah lebih kurang sama sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Beliau berkata, bantuan itu disediakan dalam kadar berbeza yang bergantung kepada saiz dan keperluan setiap pertubuhan berkenaan.

 

YB Pehimi ganti portfolio Allahyarham Dr A Rahman

YB Haji Mohammad Pehimi
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) YB Haji Muhammad Pehimi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, berkuatkuasa serta-merta.

Pelantikan beliau sebagai mengisi kekosongan portfolio tersebut berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, pada 23 Jun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mesyuarat Exco memutuskan melantik Adun Jertih itu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Allahyarham Dr A Rahman.

“Tiada timbalan pengerusi (portfolio itu) buat masa ini kerana kita merasakan bahawa tiada keperluan, kecuali kita menukarkan timbalan pengerusi yang dahulu, YB Mohd Mahdi Musa (Adun Kota Putera).

“Oleh itu, YB Mohd Mahdi akan mengambil tempat YB Muhammad Pehimi (sebelum ini) sebagai Timbalan Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

YB Muhammad Pehimi dilantik sebagai Exco yang baru, di Majlis Pelantikan dan Melafaz Sumpah Jawatan Exco, di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, Khamis lalu.


RM200 ribu untuk 27 NGO Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) menyumbangkan RM200 ribu kepada 27 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuang kebajikan masyarakat Islam terutama saudara baru dan golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri diamanahkan untuk mengenalpasti NGO yang bergiat aktif bagi melayakkan persatuan berkenaan menerima peruntukan yang kebiasaannya disalurkan YPIIM menjelang sambutan Aidilfitri setiap tahun .

"Walaupun tahun ini majlis penyampaian sumbangan agak lewat tetapi ia tetap diadakan dan setiap NGO yang memenuhi syarat menerima sumbangan antara RM5 ribu sehingga RM20 ribu bergantung kepada keperluan persatuan masing-masing.

"Sebahagian yang layak termasuk Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Rumah Anak Yatim Darul Falah serta PERKIM Bahagian Negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Majlis Perjumpaan dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM) di Dewan Teater Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, sumbangan yang diterima oleh setiap persatuan diharap dapat digunakan sebaik mungkin untuk tujuan yang boleh menguntungkan ahli-ahlinya.

"Saya berharap sumbangan ini dapat digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan dan pemantauan teliti dalam usaha mengenalpasti golongan sasaran yang benar-benar layak dibantu perlu dilakukan sebaik mungkin oleh setiap ketua persatuan.

"Malah, ia juga boleh digunakan untuk mengembangkan persatuan supaya menjadi persatuan yang lebih disegani,” ujarnya.

 

Terengganu jadi lokasi pilihan peserta Rainforest Challenge

Oleh” Suriati Ali dan Mohd Syani Zainudin (pelatih)



Terengganu terus menjadi lokasi pilihan utama di negara ini bagi penganjuran sukan lasak `Terengganu International Rainforest Challenge’ melibatkan kenderaan pacuan empat roda

Penganjuran kali ke lima itu akan dianjurkan selama 10 hari, bermula 30 November membabitkan lokasi di  Gong Chempedak, Hutan Rezab Merchang,  Marang; Hutan Rezab Besul, Besut dan laluan terakhir Hutan Rezab Sungai Nibong, Hulu Kemaman;      .

Sebanyak 25 negara bakal menyertai, termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Fliphina, Poland, United Kingdom, Vietnam, China, Australia dan Colombia.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafie, berkata Terengganu sekali lagi menjadi lokasi pilihan kerana peserta tertarik dengan bentuk geografi di negeri ini, selain mahu merasai laluan pada musim tengkujuh.

Katanya, masyarakat setempat tidak perlu bimbang dengan penganjuran sukan lasak itu kerana kenderaan 4 x4 peserta akan melalui laluan khas atau laluan lori balak.

“Peserta sememangnya mempunyai tahap kesedaran tinggi terhadap pemuliharaan hutan dan alam sekitar, selain komited memastikan tiada kerosakan serta pencemaran alam ,” katanya dalam satu kenyataan.

Dato’ Mohd Jidin, berkata penganjuran `rainforest challenge’ mampu menjana ekonomi dan meraih keuntungan dalam pelbagai sektor melalui pendedahan media tempatan dan antarabangsa.

 “Langkah itu, sudah tentu dapat meningkatkan jumlah pelancong ke Terengganu, selain menimbulkan minat golongan belia terhadap sukan lasak pacuan empat roda .

“Dapat mejenamakan Terengganu sebagai destinasi sesuai untuk penganjuran sukan lasak bertaraf dunia melalui cabaran hutan hujan tropika, bentuk muka bumi yang pelbagai di samping ketidaktentuan cuaca pada musim tengkujuh,” katanya.

 

Pusat Akuatik MBKT dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali
Harga masuk ke Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Burok, yang ditawarkan serendah RM2 bagi setiap kanak-kanak dan RM4 untuk dewasa membuatkan lokasi itu terus mendapat sambutan mengalakkan.

Pusat akuatik bernilai RM18 juta itu bukan saja dibuka kepada orang ramai untuk mandi atau belajar berenang malah menjadi lokasi bagi pihak berkaitan mencari bakat-bakat baru atau pelapis atlet renang Terengganu.

Datuk Bandar, MBKT, Dato’ Adzlan Dagang, berkata Pusat Akuatik MBKT yang dibuka secara rasminya selepas dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2008 di mana Terengganu menjadi tuan rumah ketika itu terus mendapat sambutan daripada pengunjung dan pelbagai pihak.



Katanya, Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Renang Negeri Terengganu antara pihak yang setia menjadikan pusat akuatik itu sebagai tempat menjayakan Program Pengenalpastian Bakat Akuatik yang mula diperkenalkan awal tahun lepas.

“Usaha-usaha seumpama ini secara tidak langsung mampu mempromosi dan membaik pulih imej pusat itu di mana sebelum ini pernah menjadi isu kerana mengalami kebocoran di beberapa bahagian,” katanya.

Seorang pengunjung, Puan Latifah Umar, 35, dari Wakaf Mempelam, berkata harga tiket serendah RM2 bagi kanak-kanak sangat berbaloi jika dibandingkan kolam renang di tempat lain.

Katanya, anak-anaknya seronok datang ke sini, kerana bukan saja dapat mandi dalam tempoh lama iaitu 2 jam malah kawasannya pun selamat kerana terdapat pengawal keselamatan kolam.

“Hampir setiap minggu atau cuti sekolah, pasti saya dan suami tidak ketinggalan membawa anak-anak datang ke pusat akuatik ini untuk mandi,” katanya.

Encik Tajudin Samat, 30, berkata dia berharap pihak berkenaan dapat mengekalkan harga tiket kerana percaya lebih ramai lagi pengunjung akan datang ke tempat ini, sekiranya kena cara promosi atau kaedahnya.




Jabatan Veterinar nafi Lembah Kaprima gagal.

Dr.Marzuki bersama Nawi makan daging kambing.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Jabatan Veterinar negeri ini menafikan bahawa Projek Lembah Kaprima yang dirancang kerajaan negeri gagal tetapi sebaliknya ia masih berjalan dan akan diteruskan, kata Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Terengganu, Dr. Marzuki Zakaria. 

"Projek ini tidak boleh dikatakan gagal kerana dia masih berjalan malah Projek Lembah Kaprima Hulu Seladang ini boleh dikatakan berjaya kerana dia sudah menghasilkan dividen kepada peserta PPRT.

"Sebenarnya, daripada tujuh projek ada lima lagi projek yang sudah ada pegendali tetapi belum mencapai ke tahap yang sepatutnya. Manakala dua lagi belum ada pengendali untuk dilaksanakan.

"Dua lagi itu, prasarananya tidak lengkap dan kambingpun tak ada sebab itu mungkin pengendali kurang berminat," katanya ketika mengiringi lawatan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Nawi Mohammad ke tapak Projek Lembah Kaprima Hulu Seladang, semalam.

Katanya, Dua projek Kaprima yang belum diusahakan itu ialah di Durian Mentangau, Dungun dan di Telaga Papan, Setiu.

Dr.Marzuki menyusu anak kambing.
"Kita akan sentiasa buka tawaran kepada usahawan yang berminat tetapi dengan apa yang sedia ada dan pengusaha terbabit akan berusaha sendiri untuk mendapatkan kambing tetapi pihak Jabatan Veterinar akan sentiasa membantu untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri

"Pihak jabatan memang menaruh harapan yang tinggi agar projek ini berjaya. Saya mengucapkan terima kasihlah kepada kerajaan negeri melalui Exconya, YB Nawi yang akan memperkasakan semula tujuh lagi Lembah Kaprima itu supaya ia akan mencapai kejayaan sebagaimana Lembah Kaprima Hulu Seladang ini," katanya.