Halaman

05 February 2014

Terengganu bantu jayakan TMM 2014

Suriati Ali
Datuk Mohd Jidin
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sebagai langkah membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, Kerajaan Terengganu tidak ketinggalan untuk bersama-sama menjayakan program itu dengan menganjurkan Festival Kenyir 2014.

Program mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dijangka berlangsung selama selama sebulan, bermula 29 April hingga 29 Mei, di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

 Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, berkata, penganjuran itu amat bertetapan seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan tasik tersohor sebagai pulau bebas cukai 2015, selain menjadikannya sebagai destinasi pelancongan utama pada masa akan datang.

“Kami juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi memperoleh kebenaran berlesen daripada pengusaha besar untuk menjalankan perniagaan di tasik itu.

 “Selain penguasaha kedai bebas cukai, pelbagai acara akan diadakan termasuk persembahan muzik keislaman, persembahan kebudayaan, pameran jabatan, peluang menaiki helikopter dan menyaksikan 'power boat' dan pentunjukan udara,”katanya.

 Katanya, beberapa penambahbaikan dilakukan terutama membabitkan aspek pengangkutan awam dan kemudahan laia di tasik dan pulau peranginan berkenaan.

 “Kami juga akan mengambil kira runggutan terutama membabitkan penginapan, sistem pembentungan, elektrik, air dan bahan kumbahan yang boleh mencemarkan alam sekitar di tasik itu,” katanya.

 

PELAJAR TERENGGANU KE ANTARTIKA

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membayangkan kemungkinan kerajaan negeri akan membiayai pelajar-pelajar sains Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anak Terengganu terpilih yang hendak menjalankan kajian di Antartika.

Katanya, kerajaan negeri Terengganu melihat bahawa kajian itu amat perlu memandangkan Antartika adalah milik semua dan wajar sekali penglibatan saintis dan pelajar-pelajar dari negara kita.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas, sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) petang semalam.


(laporan penuh sidang akhbar akan menyusul).



YAYASAN PENYELIDIKAN ANTARTIKA SULTAN MIZAN (YPASM) AKAN TERUSKAN PERANAN DI ANTARTIKA

Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) akan terus memainkan peranan yang berterusan bagi tujuan penyelidikan di kutub selatan itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif YPASM, Mohd.Nasaruddin Abdul Rahman.



“Ia adalah suatu langkah yang baik bagi saintis Malaysia ke arah meningkatkan penyelidikan di Antartika,” katanya ketika sidang akhbar bersama-sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Kuala Lumpur Interinational Airport (KLIA), sebaik sahaja tiba dari Antartika semalam 4 Februari.

Beliau bersama-sama Menteri Besar Terengganu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), National Antartic Research Center (NARC) ke lawatan kerja Antartika selama hampir dua minggu.

Negeri Terengganu telah memberi sokongan padu kepada Program Penyelidikan Antartika Malaysia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin merupakan penaung kepada YPASM yang telah ditubuhkan melalui MOSTI  pada tahun 2012 untuk menyokong langkah-langkah penyelidikan Antartika oleh negara Malaysia.






AHMAD SAID AKAN PULIHKAN SEMANGAT T TEAM

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 


“Saya serahkan kepada FAM untuk menjalankan siasatan dan membuat apa-apa keputusan. Saya juga serahkan kepada polis kerana difahamkan laporan polis telah dibuat.

Saya akan mendapatkan juga maklumat dari kedua-dua pihak,” kata Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said bila ditanya wartawan mengenai insiden pasukan bolasepak T-Team di Johor baru lalu.

Beliau menambah, walau apapun selaku Menteri Besar beliau akan memberi suntikan semangat kepada para pemain supaya tidak berputus asa, tetapi bersemangat. Insiden berlaku ke atas pemain T-Team, Evaldo Rodrigues yang didakwa ditumbuk manakala jurulatih kecergasannya Stefano Impagiazzo ditendang di kemaluannya dan T-Team tidak turun padang untuk separuh masa kedua berikutan kejadian itu.

Dato’ Seri Ahmad ditanya oleh wartawan dalam satu sidang akhbar khas di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) sepulangnya dari Antartika kira-kira jam 4.00 petang semalam (4 Februari 2013).

Walaupun sidang akhbar itu bagi tujuan menjelaskan tentang lawatan beliau ke Antartika, tetapi pihak wartawan mengambil kesempatan untuk bertanyakan perkara tersebut.

Pengerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam yang juga selaku Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Terengganu bersama-sama dalam sidang media tersebut.


Dato'Sabri bersama rakyat di pejabat Dun setiap Selasa.

Mesra...Sabri dan Zulkarnain(kanan) bersama seorang penduduk.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI kira-kira 50 hingga 80 penduduk di kawasan Langkap berkunjung ke Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Setiu pada setiap Selasa untuk bertemu dengan wakil rakyat kawasan itu, Dato’ Sabri Mohd Nor.

Pegawai khasnya, Zulkarnain Ariffin berkata, pada setiap Selasa iaitu antara jam 2.30 hingga jam enam petang Dato’ Sabri akan meluangkan masa untuk bersama penduduk kawasan itu.

“Sejak memegang jawatan sebagai Wakil Rakyat, Dato’ akan bersama-sama penduduk pada setiap petang selasa sekiranya beliau tidak ada urusan penting yang lain.
Sabri...dekat dengan rakyat.

“Pelbagai masalah rakyat akan cuba diselesaikan oleh Dato’ dan kebanyakan yang datang ialah untuk menyelesaikan masalah tanah, mendapatkan bantuan bagi golongan OKU serta yang penduduk berpendapatan rendah.

“Ada juga hal-hal lain termasuklah untuk mendapatkan surat sokongan YB bagi mendapatkan pekerjaan dan kemudahan infrastruktur di kampung masing-masing,” katanya yang lebih dikenali sebagai 'Pak Busu' itu.

Sementara itu, Dato’ Sabri berkata, beliau akan cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduknya yang membabitkan kebajikan mereka yang memerlukan bantuan dan kemudahan infrastruktur.

Tinjauan Teganukita petang semalam, mendapati kebanyakan yang datang ialah untuk menyelesaikan masalah tanah bersama keluarga masing-masing dan ada beberapa penduduk datang mendapat mendapatkan sokongan Sabri untuk mendapat bantuan.
Beberapa penduduk sedang berada di luar pejabat Dun langkap.
Sabri bersama seorang staf pejabat Dun.

Sedang mendengar masalah seorang penduduk.

Antara yang datang bertemu Sabri.

Udim Salam..selesai masalah tariqah.

Penyelaras Putri UMNO Langkap sedang meneliti sesuatu.
Dua staf penjabat Dun sedang bertugas.

 

04 February 2014

Pasta terima geran tahunan RM30,000

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menyerahkan geran tahunan pengurusan RM30,000 kepada Projek Akademik Sepak Takraw Terengganu (Pasta) bagi memastikannya kekal sebagai platform utama melahirkan pemain sepak takraw berwibawa di peringkat negeri dan juga negara sejak 25 tahun lalu.

YB Rozi Mamat menyerahkan geran tahunan RM30,000 kepada Pasta yang diwakili Dr.  Mohamad Omar disaksikan Ibni Amin Busu.
Sumbangan disampaikan Pengerusi jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat, di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis penyerahan penajaan pakaian kepada Pasta.

Hadir sama, Timbalan pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu; Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara, Encik Jeffri Ngadirin dan Pengetua SMK Padang Midin, Puan Zah Mohamad.

Terdahulu, YB Rozi berharap dengan geran yang meningkat sebanyak RM5,000 kepada RM30,000 berbanding tahun lalu akan melancarkan lagi pengurusan Pasta serta melahirkan lebih ramai atlet yang berkaliber di arena sepak takraw negeri dan juga kebangsaan.

“Kita berharap Pasta dapat melakukan perubahan dari segi taktikal dan kaedah baharu supaya dapt mengatasi skuad sepak takraw dari negara lain. Jika terus dengan teknik lama, saya lihat kita akan kekal di tahap ini sahaja.

“Bukan sahaja dengan Korea, Indonesia dan Myanmar kita dilihat setaraf dan mereka juga lebih melonjak dalam sukan itu. Kita bukan tidak bagus, tetapi kita berada di tahap yang sama, tetapi mereka yang lebih melonjak dengan cepat dan kita harus pertingkatkan lagi,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan atlet pelapis negeri dan negara termasuk menyediakan gelanggang yang lebih baik di masa depan.

Katanya, perkara susulan akan dilaksanakan selepas mendapat laporan penuh dari MSNT mengenai keperluan yang sepatutnya disediakan kepada Pasta, tidak lama lagi.

Pasta ditubuhkan pada Mei 1999 yang hanya disertai 12 pelajar sebelum berkembang kepada 34 pelajar pada masa kini.

Kesemua pelajar Tingkatan Satu hingga Lima berkenaan ditempatkan di SMK Padang Midin sebagai pusat latihan dan penempatan, turut menjadi duta kecil negara mempromosikan sukan itu di sekolah, kolej dan universiti di Darwin, Australia menerusi program Cross Culture pada 12 hingga 18 Februari 2010.

 

Karnival Kenyir perkenal pulau bebas cukai

Oleh; Esah AbdullahGambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan mengadakan Karnival Kenyir selama sebulan untuk perkenalkan pulau bebas cukai itu kepada orang ramai bermula 29 April hingga 29 Mei depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Haji Mohd Jidin Shafee berkata, karnival ini diadakan sebagai promosi percubaan ke arah menjadikan Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai pada 2015.

"Kita sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kebenaran berlesen kepada pengusaha-pengusaha besar datang menjalankan perniagaan di sini," katanya kepada pemberita di Pejabat Majlis Kebudayaan dan Kesenian Negara Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini.

Di samping pengusaha kedai bebas cukai pelbagai acara akan diadakan seperti persembahan muzik keislaman, kebudayaan, nyanyian, pertunjukan udara, darat dan air serta lebih 20 outlet menyertainya.

Katannya, sebagai persiapan beberapa penambahbaikan dilakukan terutama pengangkutan awam serta kemudahan lain di tasik dan pulau yang dijangka akan menerima 500,000 pengunjung sepanjang promosi berkenaan.

 "Kita akan mengambil kira rungutan yang diterima terutama dari segi penginapan, sistem pembentungan, elektrik, air serta bahan kubahan yang boleh mencemarkan persekitaran tasik dan pulau," katanya.

Menurutnya, pengindahan di kawasan tumpuan menjadi agenda utama termasuk di pintu masuk ke tasik dan pulau serta mendalamkan muka kuala bagi memberi keselesaan kepada pelancong ke negeri ini.
 

Tubuh SRS tangani jenayah

Oleh: Suriati Ali 

Penduduk setempat perlu berganding bahu dalam memerangi kegiatan jenayah di kawasan masing-masing dengan turut menyertai aktiviti kemasyarakatan sama ada peringkat kampung atau Dewan Undangan Negeru (DUN) .

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Bazlan Abd Rahman berkata, kerjasama dan sumbangan masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha memerangi jenayah yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat sekeliling.


Menurutnya, melalui pelbagai penubuhan unit yang diwujudkan secara sukarelawan antaranya Skim Rondaan Sukarela (SRS), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sewajarnya ia menarik penglibatan semua pihak.

 “Nilai kesedaran tinggi masyarakat terhadap usaha untuk memerangi jenayah bukan sahaja melancarkan lagi usaha pihak berkuasa, sebaliknya turut memastikan keaadan sekeliling lebih selamat dan harmoni.

“Saya berharap agar semua pihak terutamanya penduduk kampung perlu aktif melibatkan diri serta menjadi ahli SRS yang akan membuat rondaan pada waktu malam,” katanya ketika melawat pos kawalan SRS Bukit Chempaka , Batu Rakit, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

 Katanya, penubuhan SRS dilihat telah banyak memberi kesan terhadap keamanan bagi ketenteraman masyarakat awam khususnya bagi membendung gejala pecah rumah.

 “Pihak kami berharap, pemimpin peringkat kampung yang belum menubuhkan pasukan SRS diharap prihatin mengenainya , dan mengambil contoh kaedah dan bagaimana ia berfungsi, supaya turut bersama-sama menubuhkannya,” katanya.

 

Karnival ICT di PSKT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 5,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan belia dijangka hadir memeriahkan Karnival Teknologi Maklumat (ICT ) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu(PSKT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

 Karnival tahunan anjuran PSKT dengan kerjasama Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN) itu berlangsung selama enam hari dan berakhir 18 Februari itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Encik Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, pihak kami mengatur pelbagai acara menarik, termasuk seminar, pameran dan jualan produk ICT semata-mata mahu mearik minat pengunjung.

Menurutnya, selain itu, acara sampingan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan dan permainan interaktif turut diadakan bagi memenuhi kehendak pengunjung tetap karnival..

“Penganjuran karnival ini, adalah untuk memperkasakan pendidikan ICT dan multimedia kepada orang ramai.” Katanya.

Karnival itu dijangka dirasmikan Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

 

i-BR1M beri manfaat kepada golongan kurang berkemampuan

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 7 juta penerima bakal mendapat manfaat melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijangka akan bermula pertengahan April ini.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat baru-baru ini mengumumkan buat pertama kalinya BR1M akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, disamping pemberian BR1M, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberikan kepada semua penerima BR1M.

Katanya, ia bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

“Kita sedia maklum penerima BR1M terutama mereka yang kurang berkemampuan tidak banyak pengetahuan dan pendedahan mengenai insurans.

“Malah, ada sesetengah ketua isi rumah berpendapat mengambil insurans itu satu pembaziran. Sedangkan sebenarnya insurans amat penting untuk masa depan keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meyempurnakan Perasmian Perpustakaan Desa Kampung Kesom, Kuala Terengganu, semalam.

“Melalui i-BR1M, banyak manfaat yang bakal diperoleh ahli keluarga sekiranya ketua keluarga meninggal atau hilang keupayaan untuk bekerja,” katanya.