Halaman

04 February 2014

Karnival Kenyir perkenal pulau bebas cukai

Oleh; Esah AbdullahGambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan mengadakan Karnival Kenyir selama sebulan untuk perkenalkan pulau bebas cukai itu kepada orang ramai bermula 29 April hingga 29 Mei depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato' Haji Mohd Jidin Shafee berkata, karnival ini diadakan sebagai promosi percubaan ke arah menjadikan Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai pada 2015.

"Kita sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan kebenaran berlesen kepada pengusaha-pengusaha besar datang menjalankan perniagaan di sini," katanya kepada pemberita di Pejabat Majlis Kebudayaan dan Kesenian Negara Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini.

Di samping pengusaha kedai bebas cukai pelbagai acara akan diadakan seperti persembahan muzik keislaman, kebudayaan, nyanyian, pertunjukan udara, darat dan air serta lebih 20 outlet menyertainya.

Katannya, sebagai persiapan beberapa penambahbaikan dilakukan terutama pengangkutan awam serta kemudahan lain di tasik dan pulau yang dijangka akan menerima 500,000 pengunjung sepanjang promosi berkenaan.

 "Kita akan mengambil kira rungutan yang diterima terutama dari segi penginapan, sistem pembentungan, elektrik, air serta bahan kubahan yang boleh mencemarkan persekitaran tasik dan pulau," katanya.

Menurutnya, pengindahan di kawasan tumpuan menjadi agenda utama termasuk di pintu masuk ke tasik dan pulau serta mendalamkan muka kuala bagi memberi keselesaan kepada pelancong ke negeri ini.