Halaman
05 February 2014
Pembinaan Ampangan Paya Peda dijangka dapat mengatasi masalah banjir di Hulu Besut
Ampangan Paya Peda,Hulu Besut dalam pembinaan.
Oleh: Mohammad Ishak
Masaalah kekerapan berlakunya banjir pada setiap hujung tahun di kawasan Hulu Besut, dijangka dapat diatasi apabila siapnya pembinaan Ampangan Paya Peda tidak lama lagi.
Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad berkata, ketika ini penduduk di kawasan berkenaan kerap ditimpa bencana banjir apabila tiba musim tengkujuh pada akhir tahun kerana pelbagai faktor geologi dan alam persekitaran.
Bagaimanapun, pembinaan ampangan berkenaan diharap akan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk selain ia bertujuan untuk membekalkan sumber air air bagi projek pertanian.
Projek pembinaan ampangan yang membabitkan kos sekitar RM333 juta yang dimulakan pembinaannya pada 2011 dan dijangka siap akhir tahun ini bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut.
Ampangan itu yang mampu menakung 168 juta meter padu air merupakan takungan air yang terbesar di daerah ini bagi dimanfaatkan bukan sahaja untuk tanaman padi tetapi sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, kegiatan industri pelancongan di samping mengatasi masalah banjir.
Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut berkata, kerja-kerja pembinaan ampangan itu kini giat dijalankan oleh kontraktor dan berada pada tahap 70 peratus.
Katanya, ampangan itu juga mungkin akan menjadi salah satu daya tarikan pelancongan negara berikutan penemuan fosil tumbuhan kuno luar biasa berusia lebih 350 juta tahun oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) baru-baru ini.