Halaman

07 February 2014

Terengganu peruntuk RM26 juta untuk kecemerlangan sukan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM26 juta untuk pembangunan sukan dan merealisasikan hasrat muncul sebagai pusat melahirkan atlet cemerlang di pentas negara dan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat berkata peruntukan terbesar pada tahun ini berbanding negeri-negeri lain membuktikan Terengganu terus komited untuk mengungguli bidang sukan.

“Perbelanjaan besar ini bukan sahaja untuk melaksanakan program pembangunan sukan, tetapi juga bagi menyaksikan pelbagai kejayaan Terengganu khususnya melahirkan atlet-atlet yang cemerlang di peringkat negara dan juga dunia.

"Jumlah peruntukan tahun ini akan diagihkan untuk keseluruhan pembangunan sukan di negeri ini termasuklah untuk akademi, atlet, prasarana, kejurulatihan dan pertandingan,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu; Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara, Encik Jeffri Ngadirin dan Pengetua SMK Padang Midin, Puan Zah Mohamad.
Terdahulu, beliau menyampaikan geran tahunan pengurusan RM30,000 kepada Projek Akademik Sepak Takraw Terengganu (Pasta).

YB Rozi berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan dan persiapan rapi menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Perlis pada 24 Mei ini.

"Kita telah mengadakan pelbagai persiapan rapi sejak tahun lalu, termasuklah latihan, pelbagai kem dan juga Mini Kem Sukma telah kita adakan bagi memastikan kejuaraan milik kita," katanya.

Terengganu menjuarai temasya Sukma sebanyak empat kali iaitu pada 2008, 2010, 2011 dan 2012. Manakala pada edisi ke-16 di Kuala Lumpur, tahun lepas, Terengganu dipintas Selangor untuk menjadi naib juara dengan pungutan 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa.