Halaman

03 February 2014

Berkat jadikan al-Quran teman karib

Oleh: Aida Abd Rahman

Berkat asuhan ibu bapanya supaya menjadikan al-Quran sebagai `teman karib' dalam susah mahu pun senang, memberi kelebihan kepada seorang anak muda, Amjad Fakhri At Tamimi Ismail, 20, untuk melakar keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), baru-baru ini.

Bekas pelajar Institut Al-Quran Terengganu (IQT), Padang Midin, Kuala Terengganu memperolehi 10 Mumtaz, mengekalkan keputusan cemerlang yang direkodkan ketika peperiksaan percubaan sebelum itu.

“Kedua orang tua saya merupakan ustaz dan ustazah yang kini berkhidmat di Pahang, mendidik saya mencintai al-Quran sejak usia lima tahun lagi. Alhamdulillah, selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pahang, dengan memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia , 7A 1B dan 1C, saya meneruskan pengajian di IQT pula.

“Kejayaan ini bukan sahaja berkat dorongan ibu bapa, guru dan juga rakan-rakan, malah hasil tumpuan kepada al-Quran dua hingga tiga jam setiap hari selepas sesi pembelajaran di kelas menjadi formula utama yang mencetus kepada kejayaan ini,” katanya yang ditemui sejurus mengambil keputusan STAM di IQT.

Anak kedua daripada tujuh beradik kepada pasangan pendidik,Ismail Ali, 48, dengan Sharifah Maznah Tuan Dalam, 46, yang bercita-cita bergelar hakim syarie suatu masa nanti, juga yakin kurangnya pengaruh media sosial seperti Facebook dan twitter dalam aktiviti sehariannya juga banyak mengehadkan waktu kepada perkara yang melalaikan.

Katanya, tumpuan ketika di kelas dan menghormati kesemua guru menjadi amalan sejak dulu, malah yakin tindakan itu turut memberi keberkatan dalam setiap gerak langkah sekali gus merealisasikan hasratnya untuk bergelar pelajar cemerlang.

Selain mengamalkan bacaan dan hafazan al-Quran setiap masa, Amjad yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran setahun lalu, juga percaya didikan ibu bapanya yang sentiasa mengingatkannya supaya mencari keredhaan Allah s.w.t, banyak mempengaruhi gaya hidupnya kini.

Dia yang berasal dari Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu berhasrat melanjutkan pengajian di Mesir tidak lama lagi kini menjadi guru sementara mengajar tasmi’ di Rusila, Marang.

“Saya kira waktu terluang dan peluang yang ada saya perlu terus mengasah ilmu dengan mengajar kaedah hafazan dan membaca al-Quran sementara saya meneruskan impian menyambung pengajian di bidang syariah tidak lama lagi.

Amjad yang amat meminati subjek Fiqh turut aktif di bidang kurikulum selain dilantik sebagai bendahari bagi Majlis Perwakilan Pelajar IQT sesi 2013-2014, bagaimanapun tetap berjaya dalam akademik sehingga muncul satu-satunya dari 124 calon STAM 2013 seluruh Terengganu yang mendapat keputusan 10 mumtaz..