Halaman

07 February 2014

Pembesaran Masjid Nasiruddin Shah, Kota Putra beri manfaat.

Masjid Kampung Raja, Besut.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

BAGI menampung jumlah jemaah semakin meningkat terutamanya untuk solat Jumaat dan solat sunat dua hari raya, pembesaran Masjid Nasiruddin Shah Kampung Raja, di Kota Putra, Besut pada tahun 2000 ternyata tidak sia-sia kerana ianya kini boleh menampung kira-kira 3,000 jemaah dari sekitar pekan itu.

Pertambahan beberapa buah sekolah dan pusat pengajian menjadikan masjid itu menjadi tumpuan ramai untuk menunaikan kedua-dua solat itu dan lima solat fardu serta mendengar ceramah agama yang diadakan hampir setiap hari.

Haji Ibrahim..Iman II.
Iman masjid itu, Ibrahim Latif berkata, masjid yang pada asalnya dibina sekitar tahun 1970-an itu pada mula dibaikpulih untuk membaiki beberapa kebocoran atap dan menukar siling tetapi peruntukan itu ditambah untuk pembesaran masjid.

“Memandangkan jumlah jemaah yang semakin bertambah adalah wajar masjid itu diperbesarkan dan kerajaan menambah peruntukan daripada membaikpulih kepada pembesaran masjid yang boleh menambah jumlah jemaah pada tahun 2000.

“Ketika ini pelajar dari beberapa buah sekolah dan pusat mengajian tinggi datang bersolat Jumaat di masjid ini, antaranya ialah MRSM, SM Teknik, SMA Maarif dan Maktab Perguruan Sultan Mizan,” katanya yang mula bertugas sebagai iman di masjid itu pada tahun 2000.

Ibrahim berkata antara aktiviti agama yang diadakan di masjid yang terletak di atas tanah seluas dua ekar itu ialah kuliah magrib, bacaan yasin, solat hajat, pengajian Al Quran, Tazkirah dan beberapa sambutan keagamaan.

“Malam Ahad, Ustaz Mohd Yusri mengajar Tasuf dan Tauhid, malam Isnin pula Ustaz Zawawi Ibrahim mengajar tafsir, seorang ustaz dari Maktab Perguruan mengajar fekah pada malam selasa manakala pada malam Khamis, Ustaz Wan Mahyuddin mengajar syariat dan faraid.

“Sebagaimana masjid lain pada setiap malam Jumaat kita mengadakan bacaan yasin, tahlil dan solat hajat. Setiap kali subuh selepas solat jemaah membaca yasin dan belajar taranum dan tajwid sehingga jam 7 pagi,” katanya.

Luas..pemandangan dalam masjid.
Masjid yang dihadiri kira-kira 200 jemaaah solat fardu dan kira-kira 2000 jemaah solat Jumaat itu juga mengadakan tazkirah selepas solat asar dan pada setiap Selasa dan Rabu selepas solat Isyak, setiap dua minggu sekali, Ustaz Abdul Rahim mengajar Taranum .

Ibrahim berkata, pihak pentadbiran sentiasa mengambil berat soal kebersihan kawasan masjid, dalaman masjid dan tandas.

“Kita mengaji seorang tukang kebun untuk membersih kawasan masjid dan dua pekerja untuk menjaga kebersihan tandas manakala bahagian dalaman masjid dijaga oleh iman dan bilal secara bergilir,” katanya.

Ibrahim mengharapkan semua pihak sentiasa mengimarah masjid dengan datang menunaikan solat Fardu berjemaah dan ibadat lain dan sentiasa menjaga kebersihan sekitar masjid serta mempastikan tandas sentiasa bersih.

Iman besar masjid itu ialah ustaz  Mohd Ridwan Fauzi manakala bilalnya ialah Zulkifli Salleh dan Razali Othman manakala pengerusi Masjid Kampung Raja ialah Tuan Pegawai Daerah Besut.
Menara masjid.

Kolah panjang di sediakan untuk berwuduk.



Hijau..tamanan menghiasi kawasan masjid.

Wakaf yang indah untuk pengujung berehat.

Tandas yang sentiasa bersih dan terjaga.