Halaman

03 February 2014

Seramai 35,935 sudah terima Dana Bakti Remaja

 Oleh: Suriati Ali 

SERAMAI 35, 935 remaja di seluruh Terengganu sudah pun menerima sumbangan Dana Bakti Remaja yang membabitkan peruntukan sebanyak RM7,187,000.

 Setiap remaja berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun yang belum berkahwin mula menerima dana berjumlah RM200 bagi setiap individu itu, Oktober tahun lalu.

 Jumlah itu diagihkan secara berperingkat-peringkat di mana Parlimen Setiu (Kesemua DUN) mencatatkan jumlah paling ramai penerima iaitu seramai 10,269 membabitkan kos RM2 juta, diikuti Kemaman ( DUN, Kemasik, Kijal dan Air Putih) 9,508 penerima (RM1.9 Juta).

Parlimen Hulu Terengganu (DUN Telemung, Kuala Berang dan Ajil) pula mencatatkan seramai 8,686 membabitkan peruntukan RM1.7 juta dan Marang (DUN Pengkalan Berangan) 3,315 penerima (RM663 ribu).

 Parlimen lain iaitu Dungun (DUN Bukit Besi) 2,113 penerima (RM442 ribu) dan Kuala Nerus (DUN Seberang Takir) 2,044 penerima membabitkan kos RM408 ribu.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat berkata, pihak kami mendahului agihan dana itu kepada mereka yang tinggal di kawasan yang dimenangi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai tanda terima kasih dan sokongan.

 “Kemudian diikuti dengan DUN yang kalah, bagaimanapun jumlah yang bakal diagihkan itu bergantung kepada keperluan dan kos semasa,” katanya .

 Katanya, Kerajaan BN yang ada pada hari ini cakna belia, cakna orang muda. Sebab itu kita sediakan pelbagai kemudahan untuk mereka, termasuk lebih RM20 juta setahun untuk Dana Bakti Remaja.

 “Mulai tahun ini kerajaan akan memberi beberapa pendekatan baru terutama modul kursus program khas berkaitan dana ini di samping mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan.

 “Ini termasuk Biro Tata Negara (BTN), Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan negeri Terengganu (MBNT),” katanya.