Halaman

07 February 2014

YIT teliti rayuan guru Kafa

Yayasan Islam Terengganu (YIT) telah meneliti rayuan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang telah tamat tempoh kontrak untuk diberi tempoh kontrak baru.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, YIT akan menghantar surat tawaran kepada guru Kafa yang berjaya dalam rayuan dalam tempoh terdekat.

 “Tawaran diberi tidak terikat dengan sokongan dan desakan mana-mana pihak kerana YIT mempunyai cara tersendiri dalam menilai calon terbaik untuk berkhidmat dengan mereka.

 “YIT akan meneliti setiap rayuan berdasarkan prestasi kerja, kebolehan dalam mengajar, kerjasama dengan sekolah tempat bertugas, hubungan baik dengan masyarakat setempat, berdisiplin dan mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, YIT akan memilih guru yang benar-benar berminat dan berkebolehan serta guru yang didapati memenuhi syarat yang ditetapkan akan disambung kontrak.

 Katanya, telah menjadi amalan YIT, semua guru Kafa akan dilantik secara kontrak daripada masa ke masa dan apabila tamat tempoh, mereka perlu memohon semula atau membuat rayuan untuk dibuat kontrak baharu.

 “YIT juga akan menemu duga calon baharu yang muda dan berkelulusan agama lebih baik untuk mengisi kekosongan guru berusia dan guru tidak berupaya memberi perkhidmatan terbaik.

 “Ada juga sesetengah guru tidak lagi berminat untuk berkhidmat kerana faktor kesihatan,” katanya.