Halaman

08 February 2014

PRK Kajang: UMNO Setiu akur keputusan Najib.

Mohd Jidin...perkukuh jentera parti.
Oleh: Aminudin Ismail.

UMNO Setiu akur dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mengenai calon pilihanraya kecil (PRK) Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac depan.

Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata, setakat ini ahli UMNO masih lagi menunggu keputusan presiden UMNO itu dan menghormati sebarang keputusan dibuat.

"Dan jika Barisan Nasional (BN) meletakan calon, kita diperingkat negeri dan bahagian akan turut membantu jentera pilihanraya itu nanti," katanya yang juga Adun Permaisuri dan Exco kerajaan negeri itu.

Mohd Jidin berkata, walaupun pelbagai andaian dikeluarkan mengenai PRK itu tetapi BN perlu memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihanraya itu.

"Ini adalah soal parti dan kepentingan negara, kita akan menghadapinya dengan baik dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN samada mahu letakan calon atau tidak.

"Dan kita diperingkat sokongan, sentiasa berdiri teguh untuk sebarang arahan yang akan diberikan nanti," katanya kepada Teganukita.

Dalam pada itu, Mohd Jidin berkata, secara peribadi, beliau menyokong sepenuhnya sekiranya BN meletakan calon pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Dari segi perlawanan, kita memang menyokong (pencalonan), kita tidak boleh biarkan sesuatu yang kita tetapkan dalam sebuah negara dipermainkan. Dan kalau berhadapan dengan peraturan-peraturan, saya sangat penyokong kita meletakan calon (di PRK itu)," katanya.

Mohd Jidin berkata, Barisan Nasional akan meneruskan agenda bagi membangunkan negara dan membantu rakyat tanpa memikirkan sangat soal-soal yang tidak memberi faedah kepada rakyat dan beliau mengharapkan pengundi Dun Kajang akan memilih BN sekiranya ada pertandingan dalam PRK itu.

Kerusi Dun Kajang kosong berikutan penyandangnya Lee Chin Chen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 27 Januari lalu.

Lee memenangi kerusi Dun itu dengan majoroti 6,824 undi dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 Mei tahun lalu.

Hari ini (8 Feb 2014), SPR melalui Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumunkan bahawa tarikh penamaan calon PRK itu ialah pada 11 Mac manakala tarikh pengundian ialah pada 23 Mac ini.