Halaman

04 February 2014

Tunggu YAB MB beri nasihat atau kata dua : Wan Ahmad Nizam

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Datuk Wan Ahmad Nizam
Semua pemain T-Team dan Terengganu diminta meneruskan fokus, bersemangat dan berusaha mencari kemenangan dalam semua baki perlawanan musim ini, sementara penyokong pula dinasihatkan bersabar dan terus setia menyokong kedua-dua pasukan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

 “Dua pasukan ini dinaungi sepenuhnya oleh YAB Menteri Besar, Dato' Sri Haji Ahmad Said. Saya sudah bercakap mengenai perkara itu (insiden di Larkin) dengan beliau petang tadi dan saya akan membuat keputusan atau mungkin Menteri Besar sendiri akan memberi nasihat atau kata dua dalam hal ini.

"Harapan saya peminat serta pemain sendiri bersabar serta meneruskan perjuangan dengan memberi fokus terhadap kesemua baki perlawanan yang masih banyak. Bermain bersungguh-sungguh dan lupakan seketika cerita-cerita lama ini,” katanya ketika bersiaran di radio Manis FM, malam tadi.

Wan Ahmad Nizam berkata demikian sebagai mengulas kemelut membabitkan pasukan kelab, T-Team dengan Johor Darul Takzim ketika aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu.

Menurut beliau, pada era bola sepak profesional kini, sepatutnya insiden sebegitu tidak lagi berlaku apatah lagi kes ini bukan seperti kelaziman, iaitu melibatkan penyokong dan pemain, tetapi kali ini membabitkan pengurusan tertinggi pasukan.

Beliau yang sangat kecewa dengan isu itu, juga berharap kejadian sebegini tidak merencatkan prestasi dan mengganggu emosi pemain apatah lagi T-Team, pasukan kelab yang masih baru dibentuk dari Terengganu untuk menambahkan kerancakan persaingan Liga Malaysia.

“Saya minta pemain bersabar kerana perkara luar jangka boleh berlaku dalam setiap perlawanan bola sepak, tetapi lazimnya pergaduhan berlaku antara pemain dan juga penyokong. Tetapi ini pergaduhan berbeza sedikit. Saya mahu pemain bersabar dan meneruskan persaingan serta menanamkan semangat untuk menang sekali gus pastikan Terengganu mahu pun T-Team dapat menduduki tempat lima terbaik dalam liga,” katanya.

Tambah beliau, sebagai individu yang memegang mandat menjaga pengurusan bola sepak negeri, beliau mengarahkan untuk membuat laporan polis selain menghantar laporan penuh mengenai kejadian itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya badan itu mengambil tindakan  menyeluruh dan adil agar memberi impak yang baik kepada sukan itu di musim ini.

Selain itu, Wan Ahmad Nizam juga meminta FAM supaya mengambil inisiatif untuk memastikan mutu pengadilan terus dipertingkatkan berikutan masalah itu turut menjadi punca kepada tercetusnya insiden provokasi yang berlanjutan kepada pergaduhan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

 “Pengadil-pengadil kita perlu terus mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa supaya pengalaman dan ilmu yang diperolehi itu mampu dipraktikan dalam mengadili perlawanan di peringkat negara, sekali gus mengelak berlaku pelbagai kejadian tidak diingini," katanya.