Halaman

07 February 2014

Delegasi Nazir Brunei puji Insentif Bai'ah diperkenal Kementerian Pendidikan

Oleh: Noraini Jusoh

Delegasi Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei memuji pelaksanaan program Tawaran Baru atau Bai'ah oleh Kementerian Pendidikan bagi memberi penghargaan kepada guru dan sekolah yang berjaya menaikkan prestasi kecemerlangan akademik.

Program Bai'ah merupakan program insentif diberikan kepada guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan akademik sekolah dengan guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain RM900 seorang.

Pemangku Pengarah Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei Tan Lian Lian berkata, pihaknya berpendapat program itu merupakan amalan terbaik untuk dicontohi dan diaplikasikan di negaranya.

 "Untuk mendapat gelaran sekolah berprestasi tinggi bukan senang dan untuk mempertahankannya juga bukan mudah. Ini boleh diamalkan untuk menjamin kualiti pendidikan di sesebuah negara dan lawatan ini memberikan kami gambaran untuk berbincang dengan pihak atasan (untuk dilaksanakan di negara kami)," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jalinan Silaturahim bersama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Terengganu dan Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Nazir dan Jaminan Kualiti Terengganu Wan Ahmad Hizan Wan Hassan.

Tan berkata, pihaknya juga berminat mencontohi pelaksanaan sekolah berprestasi tinggi dan sekolah kluster kecemerlangan di negara ini.

"Kami juga tertarik dengan sistem pembelajaran di Terengganu yang menggunakan e-book kerana ia memberi peluang kepada pelajar untuk akses kepada teknologi.

"Di Brunei, cuma ada satu sekolah yang menggunakan sistem pembelajaran seperti e-book ini tetapi kami menggunakan iPad dan baru dilaksanakan tahun lepas, mungkin di Brunei kita juga perlu memikirkan perkara sama," katanya.

Lawatan empat hari itu turut disertai Penolong Pengarah Nazir Brunei Ardinah Orang Kaya Maha Bijaya Othman dan 10 lagi nazir yang bertujuan memperkukuhkan hubungan jemaah nazir kedua-dua negara serta melihat sistem pendidikan di negara ini, khususnya di Terengganu.