Halaman

04 February 2014

i-BR1M beri manfaat kepada golongan kurang berkemampuan

Oleh: Noraini Jusoh

Lebih 7 juta penerima bakal mendapat manfaat melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijangka akan bermula pertengahan April ini.

Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat baru-baru ini mengumumkan buat pertama kalinya BR1M akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, disamping pemberian BR1M, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberikan kepada semua penerima BR1M.

Katanya, ia bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

“Kita sedia maklum penerima BR1M terutama mereka yang kurang berkemampuan tidak banyak pengetahuan dan pendedahan mengenai insurans.

“Malah, ada sesetengah ketua isi rumah berpendapat mengambil insurans itu satu pembaziran. Sedangkan sebenarnya insurans amat penting untuk masa depan keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meyempurnakan Perasmian Perpustakaan Desa Kampung Kesom, Kuala Terengganu, semalam.

“Melalui i-BR1M, banyak manfaat yang bakal diperoleh ahli keluarga sekiranya ketua keluarga meninggal atau hilang keupayaan untuk bekerja,” katanya.