Halaman

11 February 2014

Kemuncak kemelut T-Team- JDT




Oleh : Aida Abd Rahman


Ketegasan kerajaan negeri untuk membuktikan kebenaran insiden pergaduhan yang tercetus antara T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin awal bulan ini, sampai ke kemuncaknya apabila berlangsung majlis angkat sumpah, di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, malam ini.

Acara angkat sumpah di depan al-Quran itu diketuai penolong jurulatih, Azlan Johar sebelum diikuti dengan seorang pemain T-Team Khairan Ezuan Razali sempena Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu.

Menyaksikan detik penting itu, Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Terdahulu, Dato' Seri Haji Ahmad berkata, keputusan mengangkat sumpah itu timbul selepas tindakan pihak lawan yang turut membuat laporan polis dan pemain pasukan T-Team sendiri, Irfan Abd Ghani, membuat kenyataan yang bercanggah dengan kejadian sebenar.

"Saya megambil keputusan bersumpah ini supaya keadaan lebih jelas dan kita tetap mempertahankan maruah pemain dan seluruh rakyat Terengganu, bahawa insiden pemain kita ditumbuk itu benar-benar berlaku.

"Tindakan JDT dan juga Irfan itu sekali gus menjejaskan imej pemain kita yang dikatakan kita sudah berbohong," katanya.







10 February 2014

Benderam moden kini di pasaran.

TERIMA...Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu, Dato' Sabri Mohd Nor menyampaikan pembungkusan baru produk kuih benderam kepada usahawan wanita, Zalida Othman pada satu majlis yang diadakan di perkarangan rumah usahawan itu di Kampung Calok Kedai, Setiu hari ini.

Zalida yang mengusahakan kuih benderam sejak tiga tahun lalu dengan bantuan Risda itu menerima bantuan YPU untuk mengadakan satu pembungkusan baru produk benderamnya supaya ia kelihatan lebih menarik dan dapat di pasarkan ke pasaran lebih luas.

Dato' Sabri yang juga Adun Langkap itu, berkata sebelum ini pengusaha benderamg itu belum dikenali ramai kerana pembungkusannya kurang menarik tetapi dengan usaha yang dilakukan YPU, ia memberi satu pembaharuan kepada produk keluaran Zalida itu.
Kuih benderang.

"Satu suntikan baru kepada cara pembungkusan benderam ini dan ianya dijangka dapat menarik perhatian ramai untuk membelinya dan hasilnya pengeluaran benderam ini semakin meningkat. 

"Dan YPU akan sentiasa membantu darisegi pinjaman geran sehingga RM5 ribu dan geran itu ditanggung sebanyak 70 peratus dan 30 peratus akan ditanggung pengusaha. Selain itu YPU akan sentiasa memberi khidmat nasihat kepada Zalida," katanya.

Turut hadir ialah Eksekutif YPU,Razali Adis (kanan) dan Pegawai Risda Daerah Setiu, Zulkiflee Salleh (kiri) serta beberapa pegawai dari YPU dan Risda.- Aminudin Ismail
Sabri mencuba mengoreng benderang.

Wartawan bersiap menanyakan Sabri

Zalida ketika diajukan soalan daripada wartawan.
Sabri menjawab soalan daripada seorang wartawan.

 

59 sekolah sertai sukan MSSKTU di Gong Badak.

Semangat..seorang peserta membaca ikrar kejohanan.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI 1,122 peserta mewakili 18 buah sekolah menengah (SM) dan 41 buah sekolah rendah menyertai Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Terengganu Utara (KTU) yang diadakan di Trek Latihan Gong Badak, Kuala Terengganu, selama empat hari bermula semalam.

Pengurus Kejohanan, Zuriman Abdul Rahman berkata, sebanyak enam kategori sukan dipertandingkan iaitu lelaki bawah 12 tahun, 15 dan 18 serta wanita bawah 12, 15 dan 18 tahun.

Zuriman...sukan kali ke 45.
"Sukan ini diadakan bertujuan bagi mencungkil bakat bagi mewakili KTU dalam kejohanan sukan peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) yang akan diadakan nanti," katanya. 

Kejohanan sukan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman,pagi tadi. Dalam ucapannya, Bazlan mengharapkan KTU akan menjadi juara pada kejohanan sukan MSST nanti dan beliau akan memberi imbuhan sekiranya berjaya.

Katanya, melalui sukan, atlit boleh mempromosikan negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Hari ini dengan semangat Terengganu Nelang, kita telah berjaya melahirkan ramai atlit berkelibar terutamanya pelumba basikal. Dan dalam Sukma, kita beberapa kali menjadi juara, kita harap ianya akan berterusan pada masa hadapan." katanya.
Bazlan menyampaikan hadiah kepada wakil pemenang perbarisan.

SM Teknik berbaris masuk.

Antara jemputan yang hadir

Antara pasukan yang menyertai kejohanan.
Bazlan (dua kiri) sedang melihat perbarisan.

Antara guru yang bertugas.
SMK Jeram dengan aksi tersendiri.

Dengar..peserta mendengan ucapan Bazlan.

Band Sesma dahului perbarisan.

 

Angullia seindah namanya

Oleh: Noraini Jusoh

Sekiranya anda ingin bercuti di Terengganu, sebenarnya tidak sukar untuk mencari tempat penginapan di pusat bandar dan juga kawasan sekitar yang menepati pilihan selain berlatar belakangkan panorama pantai yang indah.

Antara pilihan pusat penginapan yang pasti menjanjikan kepuasan kepada yang mencintai kedamaian ialah di Angullia Beach House Resort yang terletak di Kampung Rhu Muda, Marang.

Terletak berhampiran dengan Pantai Peranginan Kelulut dan jarak dari bandaraya Kuala Terengganu cuma kira-kira 20 kilometer (km) sememangnya memudahkan pengunjung datang ke sini.

Lokasi penginapannya yang terletak di tepi pantai dan mengadap ke arah laut menjadi daya tarikan utama untuk pengunjung bersantai bersama insan tersayang.

Pelbagai kemudahan disediakan di sini. Antaranya, ‘Suloo’s Haven’ iaitu penginapan utama Angullia dilengkapi restoran yang berkonsepkan taman dengan pemandangan hijau tumbuh-tumbuhan tropika serta disertakan kemudahan wifi secara percuma.

Sekiranya ingin ‘lepak’ sambil menikmati hidangan snek pula, pengunjung boleh bersantai di ‘Vohra’s Deck’ iaitu kafe yang menyediakan pemandangan indah menghadap laut yang dibuka dari 4.30 petang sehingga 12 malam.

Untuk membeli makanan ringan dan minuman serta menyewa jaket untuk aktiviti pantai, anda boleh mendapatkannya di kedai mini yang disediakan iaitu ‘Vohra’s Mart.

Kemudahan barbeku, psrkir, dewan persidangan, dewan solat, taman permainan kanak-kanak turut disediakan.

Dengan segala kelengkapan dan kemudahan yang disediakan, Angullia Beach House Resort sememangnya menjadi pilihan orang ramai untuk mengadakan pelbagai jenis program seperti hari keluarga, bengkel atau seminar.

 Harga yang ditawarkan tempat penginapan di bawah pengurusan Encik Esa Suleiman Angullia,52, memang berpatutan iaitu serendah RM60 hingga RM250.

 Jika anda mahukan percutian seolah-olah berada di tengah pulau tanpa berbelanja lebih, penginapan di sini pastinya pilihan yang tepat.

 

Masjid perlu bebas daripada fahaman politik

Oleh: Suriati Ali 

 Jawatankuasa masjid di negeri ini di saran memastikan `rumah Allah’ bebas daripada pengaruh fahaman politik yang boleh membawa kepada sikap berpuak-puak dan pecah belah antara masyakat islam setempat.

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib, berkata umum mengetahui, masjid adalah tempat mulia yang boleh mengeratkan keharmonian dan kedamaian.

“Sekiranya ada unsur negatif di bawa ke masjid, seperti mempelawa membenci pihak lain, sangat tidak wajar dan di larang sama sekali dalam Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Jawatankuasa Masjid, di Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Seramai 1,989 ahli mambabitkan 117 jawatankuasa masjid di Kuala Terengganu menerima sijil perlantikan masing-masing.

 YB Ghazali turut memberitahu, semua pihak yang dilantik itu perlu menggembeleng usaha yang bersepadu bagi menjadikan masjid sebagai institusi agama yang di pandang mulia dan tinggi di kalangan umat Islam serta semua bangsa.

“Tidak hanya terhad dengan peranan itu, masjid juga menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah berasaskan al-Quran dan as-Sunnah serta nadi utama mempelbagaikan aktiviti yang membangun umat dengan amalan dan penghayatan budaya Islam, merangkumi ibadat khusus seperti sosial, ekonomi dan politik dalam landasan yang benar,.

 “Bagi melahirkan masyarakat Islam yang komited terhadap masjid, kerajaan giat mempelbagaikan aktiviti dan program pengimarahan kepada seluruh masyarakat ke arah Pembangunan Masjid Cemerlang,” katanya,.
Katanya, kita juga mahu menjadikan pengurusan masjid dan surau dalam Terengganu lebih teratur, cekap dan sistematik.

 “Soal kebersihan dan kesucian rumah Allah itu juga harus dititikberatkan khususnya kemudahan tandas di masjid yang berada di laluan utama dan jalan besar yang menjadi persinggahan ramai,” katanya.

 

09 February 2014

Kadet JPJ peringkat sekolah menengah perkenal tahun ini

Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di peringkat sekolah menengah di seluruh negara akan diperkenalkan tahun ini bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. 

Ketua Pengarah JPJ Dato' Seri Ismail Ahmad berkata pelaksanaannya dalam masa terdekat itu diharap mampu melahirkan pemandu dan penunggang muda berhemah, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata projek perintis program itu yang dilaksanakan di sebuah sekolah terpilih di setiap negeri masih memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan sebelum pelancaran di peringkat kebangsaan dilakukan.

 "Apabila projek perintis ini bersedia semuanya, ia akan dilancarkan kerana beberapa isu perlu diperbaiki dan kita masih perlu tiga hingga empat bulan sebelum dilaksanakan,"  katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penghayatan Bulan Disiplin dan penyampaian watikah pelantikan pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie.

 Ismail yang pernah bersekolah di SMK Padang Midin juga berkata sekolah berkenaan dipilih sebagai projek perintis penubuhan pasukan Kadet JPJ sebelum diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di negeri ini. 

Katanya penubuhan Kadet JPJ di sekolah-sekolah adalah baik bagi mendedahkan para pelajar mengenai asas peraturan dan undang-undang pemanduan secara berterusan, terutamanya ketika para pelajar berada di Tingkatan Empat dan Lima.

"Kita perlu beri pendidikan awal khususnya di peringkat sekolah menengah bermula dari Tingkatan Satu kerana apabila mereka dah masuk 16 tahun, pelajar ini sudah layak untuk memohon lesen motosikal B2," katanya.

Beliau berkata penekanan ke atas kesedaran keselamatan di jalan raya wajar diberi keutamaan kepada pelajar sebagai pembangunan dalaman kerana mereka adalah golongan paling ramai menunggang motosikal yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemalangan maut.

Menurutnya, penubuhan Kadet JPJ itu juga merupakan persiapan pelajar sekolah menengah sebelum menyertai Skuad Muda 1JPJ yang diperkenalkan Ogos tahun lepas.

Katanya penubuhan pasukan itu seperti juga Kadet Polis serta Kadet Bomba dan Penyelamat mampu meningkatkan ilmu dan kesedaran pelajar-pelajar berkaitan pemanduan, peraturan di jalan raya dan mekanikal kenderaan.

 

Bazlan, 50 penduduk bersih kawasan kampung.

BERTENAGA…Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman bersungguh ketika menyertai gotong rayong membersih beberapa kawasan di dua buah kampung di Dun itu, kelmarin.

Bazlan berkata, gotong royong yang bertujuan untuk menjadikan seluruh kampung di Dun itu dalam keadaan bersih dan terjaga turut disertai kira-kira 50 penduduk kampung.

Rehat..penduduk berehat selepas penat menebas.
“Gotong royong ini membabitkan dua buah kampung iaitu Kampung Gelong Gajah dan Kampung Hilir Maras. Beberapa kawasan kita sudah bersihkan termasuklah satu kawasan belukar yang akan ditanam tembikai secara berkelompok.

“Selepas ini kita akan membersih beberapa kawasan di kampung lain pula dan saya mengharapkan penduduk memberi kerjasama yang baik terhadap gotong royong ini supaya semua kampung di Dun Batu Rakit ini akan kelihatan bersih.

“Selain itu ia boleh mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk serta bagi memenuhi masa lapang pada hujung minggu dengan melakukan aktiviti berfaedah,” katanya.- Aminudin Ismail.

 

Tidak minat ulas mengenai pemain yang `lesap' : Azraai

Pengendali pasukan T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah hanya mahu mengulas mengenai para pemain yang turun menjalani latihan daripada menyentuh pemain kontroversi, Irfan Abd Ghani yang sehingga kini 'lesap'.

 Mohd Azraai berkata beliau lebih berminat kepada pemain-pemain yang turun menjalani latihan daripada berbicara mengenai Irfan, pemain yang menimbulkan kontroversi dalam insiden kelam di Larkin, Johor Bahru, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Irfan, pemain pertahanan T-Team yang dikatakan individu yang tahu mengenai kejadian di sebalik insiden semasa perlawanan Piala FA antara T-Team dengan Johor Darul Takzim (JDT) minggu lepas.

Menurutnya pemain berkenaan sehingga kini masih belum turun untuk mengikuti latihan dan panggilan yang dibuat kepadanya tidak dijawab.

"Saya rasa tidak payah panggil, saya rasa sebagai pemain profesional dia tahu apa tanggungjawab dia dan apa dia perlu buat.

"Jadi, kita tunggu dan lihat, selebihnya saya tidak mahu komen, terserah kepada pihak pengurusan," katanya.

Selain itu, beliau juga percaya pihak pengurusan sudah mempunyai perancangan dan tindakan selanjutnya yang akan dikenakan kepada pemain terbabit.

Kekecohan berlaku pada saingan Piala FA pusingan kedua dalam terowong menuju bilik persalinan pemain pada waktu rehat di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru, 1 Februari lalu apabila pemain T-Team dikatakan dikasari.

Susulan insiden itu, T-Team membuat keputusan menarik diri daripada aksi separuh masa kedua atas faktor keselamatan.


Bengkel hala tuju 2014-2018, perkasa sektor pelancongan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melaksanakan bengkel hala tuju pembangunan pelancongan dan kebudayaan bagi tempoh lima tahun untuk menghasilkan input terbaik memperkasakan sektor itu di Terengganu.

Program tiga hari yang menghimpunkan agensi dan penggiat pelancongan seluruh Terengganu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Pengurus Kanan Unit Pelancongan negeri, Haji Ishamudin Hashim, berkata hasrat dan sasaran utama bengkel itu bagi mencari pendekatan serta mekanisme terbaik bagi perancangan strategik portfolio pelancongan serta kebudayaan.

"Bengkel ini dijadikan medan perbincangan serta percambahan fikiran bagi mewujudkan hala tuju pembangunan pelancongan dan kebudayaan yang baru bermula 2014 hingga 2018, selain menambah baik idea-idea daripada hala tuju terdahulu.

“Perbincangan bengkel itu turut mmefokuskan perancangan strategik sektor ini bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Ishamudin berkata, perbincangan secara bengkel itu juga dapat menghasilkan input lebih baik dalam perancangan portfolio pelancongan dan kebudayaan. Menurutnya, bengkel berkenaan juga memfokuskan hala tuju untuk menjadikan industri pelancongan negeri sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

"Hala tuju memfokuskan dua teras yang utama, iaitu pertama, sektor pelancongan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri Terengganu, manakala kedua, kebudayaan, kesenian dan warisan sebagai penyumbang sektor pelancongan negeri.

“Bengkel hala tuju ini dipecahkan kepada empat matlamat, iaitu bagi melestarikan pembangunan dan infrastruktur pelancongan; memperkukuhkan penjenamaan pelancongan negeri melalui aktiviti, promosidan pembangunan produk pelancongan; Tasik Kenyir sebagai ikon pelancongan serta menjadikan Terengganu sebagai hab kebudayaan, kesenian dan warisan negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil pendekatan membangunkan industri pelancongan dengan memberi penekanan infrastruktur serta promosi yang berteraskan kekuatan dan keunikan produk.

Tambah beliau, pelancongan negeri juga mengutamakan pembangunan dan promosi kepada empat tumpuan, iaitu pulau dan pantai, Tasik Kenyir, Kuala Terengganu Bandar Raya Warisan Pesisir Air dan produk-produk pelancongan.

 

Orang ramai dipelawa sertai Program Pasca Bahasa Inggeris

Oleh: Suriati Ali

 Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) melalui Pusat Bahasa Terengganu akan menganjurkan Program Pasca Bahasa Inggeris sebagai langkah memantapkan penggunaan bahasa itu kepada masyarakat umum, terutama pelajar.

 Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program itu mempunyai dua sesi pembelajaran di mana sesi pertama berlangsung pada 12 Januari lalu dan sesi kedua pula akan bermula pada 13 Mac ini.

 Manakala kelas yang ditawarkan pula mempunyai empat kategori iaitu pendedahan `Malaysian University English Test’ (Muet);aktiviti temuduga; menulis laporan; latihan sebutan dengan betul; aktiviti `public speaking’ dan membuat persembahan di khalayak ramai.

“Apa yang ditawarkan itu bukan saja mempunyai kelebihan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah malah memberi maklumat berguna kepada masyarakat umum, termasuk suri rumah, golongan bekerja dan penuntut universiti.

 “Apa yang penting, mereka mahu belajar, selain mempunyai minat untuk membaiki kelemahan penulisan dan penggunaan bahasa itu. “Semua kategori kelas ditawarkan dikenakan yuran yang berpatutan iaitu semurah RM140 hingga RM450 bagi tempoh pembelajaran selama 40 jam,” katanya.

 Katanya, apa yang istimewanya, yuran yang dikenakan itu, termasuk makan tengahari, sarapan pagi serta nota. Kelas bermula antara jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

 “Penyertaan masih dibuka, setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 20 orang murid kerana lebih praktikal.

 “Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

 PPAT meminta orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti kelas yang tawarkan itu kerana terbukti memberi kesan positif berdasarkan pengalaman dan maklum balas daripada peserta terdahulu. Jika berminat sila hubungi 09-625 5452