Halaman

09 February 2014

Kadet JPJ peringkat sekolah menengah perkenal tahun ini

Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di peringkat sekolah menengah di seluruh negara akan diperkenalkan tahun ini bagi melahirkan generasi muda yang berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. 

Ketua Pengarah JPJ Dato' Seri Ismail Ahmad berkata pelaksanaannya dalam masa terdekat itu diharap mampu melahirkan pemandu dan penunggang muda berhemah, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata projek perintis program itu yang dilaksanakan di sebuah sekolah terpilih di setiap negeri masih memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan sebelum pelancaran di peringkat kebangsaan dilakukan.

 "Apabila projek perintis ini bersedia semuanya, ia akan dilancarkan kerana beberapa isu perlu diperbaiki dan kita masih perlu tiga hingga empat bulan sebelum dilaksanakan,"  katanya kepada pemberita selepas melancarkan Penghayatan Bulan Disiplin dan penyampaian watikah pelantikan pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Terengganu, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie.

 Ismail yang pernah bersekolah di SMK Padang Midin juga berkata sekolah berkenaan dipilih sebagai projek perintis penubuhan pasukan Kadet JPJ sebelum diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di negeri ini. 

Katanya penubuhan Kadet JPJ di sekolah-sekolah adalah baik bagi mendedahkan para pelajar mengenai asas peraturan dan undang-undang pemanduan secara berterusan, terutamanya ketika para pelajar berada di Tingkatan Empat dan Lima.

"Kita perlu beri pendidikan awal khususnya di peringkat sekolah menengah bermula dari Tingkatan Satu kerana apabila mereka dah masuk 16 tahun, pelajar ini sudah layak untuk memohon lesen motosikal B2," katanya.

Beliau berkata penekanan ke atas kesedaran keselamatan di jalan raya wajar diberi keutamaan kepada pelajar sebagai pembangunan dalaman kerana mereka adalah golongan paling ramai menunggang motosikal yang dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemalangan maut.

Menurutnya, penubuhan Kadet JPJ itu juga merupakan persiapan pelajar sekolah menengah sebelum menyertai Skuad Muda 1JPJ yang diperkenalkan Ogos tahun lepas.

Katanya penubuhan pasukan itu seperti juga Kadet Polis serta Kadet Bomba dan Penyelamat mampu meningkatkan ilmu dan kesedaran pelajar-pelajar berkaitan pemanduan, peraturan di jalan raya dan mekanikal kenderaan.