Halaman

11 February 2014

Maidam wujud PPD bantu golongan asnaf

Oleh: Suriati Ali

 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membina Pusat Pertumbuhan Desa (PPD), di Bukit Diman, Hulu Terengganu sebagai langkah membantu golongan asnaf di negeri ini  hidup berdikari.

 Pusat yang bakal dibina dalam tempoh terdekat di kawasan seluas 28.6 hektar itu membabitkan peruntukan kira-kira RM60 juta dan boleh menampung antara 200 hingga 300 peserta, selepas siap sepenuhnya akhir 2015 nanti.

 Projek yang diasingkan kepada tiga kumpulan itu bakal dihuni tiga golongan iaitu warga emas terbiar ditempatkan dibawah program al-Birru, gadis bermasalah dan berdepan dengan hukuman penjara (al-Islah) dan bagi penghidap HIV pula melalui program al-Tai’bin.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Dato’ Haji Rozali Saleh, pihaknya berasa terpanggil melaksanakan projek besar itu selepas melihat golongan tertentu, terutama warga emas, gadis bermasalah dan penghidap HIV sering dipinggir masyarakat.

 “Mereka ini sangat memerlukan bantuan sama ada berkaitan kewangan, tempat berlindung dan sokongan moral masyarakat setempat.

 “Kita perlu membantu golongan itu agar tidak terus dibelenggu masalah sedia ada, dan seterusnya mampu keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Jawatankuasan Masjid, di Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

 Dato’ Haji Rozali berkata, sebagai permulaan, pogram al-Birru akan dilaksanakan pada Mei ini di kawasan Masjid Tebing Tembah, Paka, Dungun membabitkan peruntukan RM8 juta.

 Katanya, kira-kira 50 hingga 60 peserta warga emas ini bukan saja akan diajar ilmu agama Islam, mengaji al-quran malah dibenarkan bekerja dengan membungkus makanan atau pakaian untuk dibekalkan ke sekolah mahupun asrama.

 “Tugas mudah yang dijalankan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kerana mereka diberi imbuhan untuk simpanan masing-masing,” katanya.