Halaman

09 February 2014

Orang ramai dipelawa sertai Program Pasca Bahasa Inggeris

Oleh: Suriati Ali

 Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) melalui Pusat Bahasa Terengganu akan menganjurkan Program Pasca Bahasa Inggeris sebagai langkah memantapkan penggunaan bahasa itu kepada masyarakat umum, terutama pelajar.

 Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program itu mempunyai dua sesi pembelajaran di mana sesi pertama berlangsung pada 12 Januari lalu dan sesi kedua pula akan bermula pada 13 Mac ini.

 Manakala kelas yang ditawarkan pula mempunyai empat kategori iaitu pendedahan `Malaysian University English Test’ (Muet);aktiviti temuduga; menulis laporan; latihan sebutan dengan betul; aktiviti `public speaking’ dan membuat persembahan di khalayak ramai.

“Apa yang ditawarkan itu bukan saja mempunyai kelebihan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah malah memberi maklumat berguna kepada masyarakat umum, termasuk suri rumah, golongan bekerja dan penuntut universiti.

 “Apa yang penting, mereka mahu belajar, selain mempunyai minat untuk membaiki kelemahan penulisan dan penggunaan bahasa itu. “Semua kategori kelas ditawarkan dikenakan yuran yang berpatutan iaitu semurah RM140 hingga RM450 bagi tempoh pembelajaran selama 40 jam,” katanya.

 Katanya, apa yang istimewanya, yuran yang dikenakan itu, termasuk makan tengahari, sarapan pagi serta nota. Kelas bermula antara jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengahari.

 “Penyertaan masih dibuka, setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 20 orang murid kerana lebih praktikal.

 “Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

 PPAT meminta orang ramai tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti kelas yang tawarkan itu kerana terbukti memberi kesan positif berdasarkan pengalaman dan maklum balas daripada peserta terdahulu. Jika berminat sila hubungi 09-625 5452