Halaman

11 February 2014

Kemuncak kemelut T-Team- JDT




Oleh : Aida Abd Rahman


Ketegasan kerajaan negeri untuk membuktikan kebenaran insiden pergaduhan yang tercetus antara T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin awal bulan ini, sampai ke kemuncaknya apabila berlangsung majlis angkat sumpah, di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, malam ini.

Acara angkat sumpah di depan al-Quran itu diketuai penolong jurulatih, Azlan Johar sebelum diikuti dengan seorang pemain T-Team Khairan Ezuan Razali sempena Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu.

Menyaksikan detik penting itu, Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Terdahulu, Dato' Seri Haji Ahmad berkata, keputusan mengangkat sumpah itu timbul selepas tindakan pihak lawan yang turut membuat laporan polis dan pemain pasukan T-Team sendiri, Irfan Abd Ghani, membuat kenyataan yang bercanggah dengan kejadian sebenar.

"Saya megambil keputusan bersumpah ini supaya keadaan lebih jelas dan kita tetap mempertahankan maruah pemain dan seluruh rakyat Terengganu, bahawa insiden pemain kita ditumbuk itu benar-benar berlaku.

"Tindakan JDT dan juga Irfan itu sekali gus menjejaskan imej pemain kita yang dikatakan kita sudah berbohong," katanya.