Halaman
14 February 2014
Nenek bersyukur dapat bantuan bina rumah baru
YB Muhamad Pehimi menyampaikan bantuan kewangan kepada Siti Aminah
Oleh: Mohammad Ishak
Impian nenek, Siti Aminah Abdullah,75, dari Kampung Gong Mat Som, dekat sini untuk memiliki rumah baru akan menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri menyumbangkan bantuan khas untuk membina baru selepas rumah asalnya musnah dalam kebakaran. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri,
Muhamad Pehimi Yusof berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan peruntukkan khas kepada mangsa kebakaran itu.
Katanya, bantuan itu bagi meringankan beban hidup yang dihadapi warga emas berkenaan yang tidak mempunyai suami dan dapat meneruskan kehidupan di rumah baru yang bakal dibina tidak lama lagi.
Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jetih, menyerahkan sumbangan RM25,000 kepada Siti Aminah di Kampung Gong Mat Som, dekat sini semalam.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi 26 Disember tahun lalu,ketika nenek berkenaan yang tinggal bersama empat cucunya berumur 3 dan 11 tahun hanya yang hanya sempat menyelamatkan diri ketika api sedang marak membakar rumah kayu peninggalan arwah suaminya.
“Semua peralatan sekolah yang baru dibeli musnah sama sekali dan tidak sempat diselamatkan apabila hangus dalam kebakaran,” kata nenek,Siti Aminah.
Siti Aminah berkata, ketika kejadian beliau berada di dalam rumah bersama cucunya, tiba-tiba dikejutkan oleh jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar yang melihat kepulan asap dari bahagian depan.
Katanya, disebabkan uzur beliau hanya merangkak keluar dari pintu belakang dan bersyukur kerana terselamat dalam kebakaran berkenaan.
“Saya mengarahkan keempat-empat cucu yang tinggal bersama saya keluar menyelamatkan diri dan syukur tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kedua ibu bapa cucunya tidak ada di rumah ketika kejadian kerana masing-masing pergi bekerja.
Menurutnya, kebakaran rumah peninggalan suaminya itu menyebabkan beliau mengalami kerugian RM160,00 apabila semua barang yang ada tidak dapat diselamatkan.
“Lebih malang semua peralatan sekolah yang dibelikan oleh ibu bapa cucunya untuk persekolahan yang bermula hangus,” katanya.