Halaman

24 April 2014

JPNT Anjur Pertandingan Pidato

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Pertandingan Pidato 1 Malaysia 2014 peringkat negeri di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.

 Pemangku Pengarah Jabatan itu, Mustaffa Abd Kadir, berkata pertandingan yang akan diadakan pada 29 April itu disertai 11 peserta terdiri daripada bukan Melayu iaitu India, Cina, Iban, Melanau dan Timor.

 Lima tajuk disediakan berkaitan isu semasa iaitu Kreativiti dan Inovasi Pencetus Kecemerlangan Bangsa; Transformasi Membentuk Negara Sejahtera; Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) Pemangkin Ekonomi Negara, Resionalisasi Subsidi Ke Arah Negara Yang Lebih Mampan dan Mengawal Kenaikan Harga Barangan Tanggungjawab Bersama.

Katanya, pertandingan yang dianjurkan setiap tahun bermula 2011 itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia dan memupuk serta menyuburkan semangat pepaduan dikalangan anggota masyarakat.

 “Pihak kami berharap pertandingan ini dapat memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu oleh pelbagai kaum dan kehidupan harian serta meningkatkan rasa kecintaan kepada negara.

 “Pertandingan kali ini menawarkan hadiah keseluruhan RM4500 dengan juara menerima RM1,500, kedua (RM1,000), ketiga (RM500) dan lima hadiah saguhati RM300 bagi setiap peserta,” katanya.

Pertandingan itu bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang.

 

23 April 2014

Zon Selatan Muncul Juara Bola MSSD Setiu.

KAMI JUARA...Pasukan Zon Setiu Selatan (ZSS) bergambar kenangan bersama guru mereka selepas dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Bolasepak Bawah 12 tahun MSSDS yang berlangsung di Padang SK Tayor, Setiu, hari ini.

Zon Setiu Selatan yang menampilkan beberapa pemain yang berkebolehan terpaksa bertarung sengit dengan lawanya di perlawanan akhir itu, pasukan Zon Setiu Utara (ZSU) di mana pada separuh pertama Zon Setiu Selatan hanya mampu mendapat satu gol.

Abdullah sampaikan medal kepada juara.
Bagaimana kecuaian barisan pertahanan Zon Setiu Utara menyebabkan ZSS mengambil kesempatan dengan menambah lagi satu gol sebelum ZSU membalas satu gol menjadikan kedudukan perlawanan berakhir dengan ZSS menang 2-1.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Guru Besar SK Batu 29 yang juga Naib Yang Di Pertua Majlis Guru Besar, Abdullah Awang.

"Perlawanan peringkat negeri(MMST) akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 15 Mei ini, beberapa pemain sudahpun disenaraikan untuk mewakili Daerah Setiu ke perlawanan itu nanti," kata urusetia perlawanan.- Aminudin Ismail

 

Felcra-Epic Jalin Kerjasama Jadikan Pelabuhan Kemaman Hab Baja Dan Produk Pertanian

Oleh: Noraini Jusoh

Felcra Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (Epic) bagi menjalin kerjasama menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab utama baja dan produk agrikultur dari dalam dan luar negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Mou itu memberikan satu nilai tambah baharu kepada pelabuhan Kemaman.

“Pelabuhan Kemaman berkemampuan menampung keperluan pelabur untuk membawa masuk kapal yang bersaiz besar dan mempunyai peralatan mencukupi bagi tujuan tersebut.

“Dengan adanya MoU ini, segala kemudahan yang terdapat di pelabuhan Kemaman dapat digunakan Felcra bagi membawa masuk barang berasaskan baja dan produk-produk untuk pertanian terutamanya dari negara luar terutama Rusia dan negara-negara lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Epic dengan Felcra di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Moktar Radin. Sementara itu, Bung Moktar berkata, pihaknya akan manfaatkan sepenuhnya kemudahan Pelabuhan Kemaman menerusi jalinan kerjasama ini.

“Kita akan membawa pelabur-pelabur luar negara dalam bidang baja, ternakan dan bahan-bahan perikanan yang lain dan akan menggunakan kemudahan ini sebagai pusat sehenti bagi pengedaran tempatan dan juga luar negara,” katanya.


 

Ahmad Said tenang, kekal tiada komen berhubung tukar MB

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang terus menjadi `tumpuan’ berhubung spekulasi yang bertiup kencang di media sosial mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi negeri sejak beberapa hari lalu, tetap tenang menangkis isu itu.

“Biarlah dia (penulis blog) membuat keputusan. Saya sudah katakan bahawa Terengganu 17-15, jadi dalam keadaan begitu, mengapa kita mahu mewujudkan keadaan yang tidak stabil dan sebagainya.

"Itu sahaja. Tidak perlulah dan jika dia pandai ulas dan tukang lantik (Menteri Besar) jadi biar dia buat keputusan (pertukaran). Saya tidak tahu dan saya katakan perkara ini tidak betul, penulis blog kata betul, saya kata betul, ada yang kata tidak betul, jadi nak buat macam mana. Kita orang politik ini, macam-macam spekulasi,” katanya di sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Epic Berhad, Encik Ramli Shahul.

Susulan isu berkenaan serta beberapa fitnah mengenai peribadi serta pentadbiran negeri yang hangat di media sosial sejak dahulu lagi, menyebabkan beliau tidak lagi mempercayai kenyataan menerusi medium itu.

“Sebab itu sekarang saya tidak mempercayai Facebook dan blog serta semua sekali (media sosial). Malah, saya sudah menutup akaun Facebook saya, tetapi masih ada dua, orang yang `klon’ nama saya, satu berdaftar di Amerika Syarikat dan satu lagi Singapura.

 “(Fitnah) saya berpeluk dengan Neelofa, berkahwin dan bersandinglah. Macam-macamlah. Kalau betul tidak mengapa, kita tiada masalah,” kata beliau sambil berseloroh bagi mengulas isu berkenaan.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tersebar di laman sosial dan blog, yang mengaitkan sumber yang boleh dipercayai daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak memetik sebagai berkata, bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

YPKT Perkenal Program Renang

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bakal memperkenalkan program renang melibatkan kanak-kanak Taska Permata Keluarga (TPK) dalam tempoh terdekat sebagai usaha memperkuatkan minda dan ketahan fikizal.

 Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, program tersebut mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam menyediakan program latihan asas kepada guru-guru taska yang terlibat.

 Katanya, kursus Latihan Kejurulatihan Asas Renang (TOT) selama empat hari itu telah bermula pada 6 hingga 9 April yang lalu, melibatkan seramai 20 orang guru pembimbing TPK di negeri ini.

“Kursus itu memberi pendedahan mengenai teknik asas renang yang betul kepada guru-guru, sebelum mereka dapat membantu dan membimbing kanak-kanak agar mampu berenang dengan betul dan selamat.

 “Perlaksanaan program renang itu, sebagai satu persediaan dan kemahiran diri kanak-kanak ia juga bersesuaian dengan cabaran hari ini di mana kemudahan permainan air disediakan di serata tempat termasuk di pusat rekreasi dan peranginan,” katanya.

 Beliau berkata, kursus TOT sebelum ini telah di laksanakan di pusat Akuatik Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dengan melibatkan seramai empat orang jurulatih dari MSN.

 “Kursus selama empat hari itu juga telah dilengkapkan dengan latihan praktikal di mana pelatih turut melakukan ‘microteaching’ kepada 20 orang kanak-kanak taska dari Taska Permata Keluarga, Batu Buruk,” katanya.

 

Kadar biasiswa sekolah agama negeri dinaikkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bakal menaikkan kadar biasiswa kepada pelajar sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) seluruh Terengganu, mulai bulan depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said berkata, tambahan kadar biasiswa kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima SMKA sebanyak RM20 menjadikan jumlah RM70 sebulan berbanding RM50 sebulan sebelum ini.

“Sementara pelajar Tingkatan Enam Bawah dan Atas (SMKA) juga bertambah daripada RM70 kepada RM90 sebulan,” katanya di sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Epic Berhad, Encik Ramli Shahul Hamed.

Untuk rekod, SMKA di negeri ini adalah SMKA Durian Guling, Marang; SMKA Nurul Ittifaq dan SMKA Wataniah, Besut; SMKA Sheikh Abdul Malek serta SMKA Dato' Haji Abas (SMKA Tok Jiring), Kuala Terengganu.

Sementara itu, Dato' Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mewartakan kawasan berkeluasan lebih 100,000 hektar di Rantau Abang, Dungun yang mempunyai pokok gelam sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal di Terengganu.

“Kawasan di sepanjang Rantau Abang yang mengandungi pokok gelam, kita gazetkan sebagai hutan simpan kerana kita dimaklumkan bahawa dahulu kita diberi sebahagian, tetapi sekarang kita mahu sepenuhnya kerana ini merupakan satu lagi keunikan yang terdapat di Terengganu.

 “Sekarang ini untuk mendapatkan kawasan hutan gelam yang sangat cantik dan menarik amat sukar sebab itu kita simpan untuk masa depan,” katanya.

Menurut Menteri Besar, keputusan mewartakan kawasan hutan simpan untuk masa depan itu bertujuan sebagai kawasan tadahan air, rekreasi, pendidikan serta sebagainya.



MB di program Sembang Santai Pemuda di Hotel Permai, Kuala Terengganu

Gambar oleh Zulkipli Putra
Dato'Seri Haji Ahmad Said ketika merasmikan Kaunter Keahlian dan Daftar Pemilih pada Program Sembang Santai Pemuda di Kuala Terengganu.






500 kadet Bomba berkhemah di Merbau Menyusut.



KENANGAN...sebahagian ahli Kadet Bomba Hulu Terengganu bergambar kenangan bersama Kem Komandan Pekhemahan Kadet Bomba Peringkat Negeri, Noor Khairee Abdul Rahman (berdiri, belakang) ketika menyertai perkhemahan itu yang diadakan di Pusat Perkhemahan Merbau Menyusut, Setiu, baru-baru ini. 

Perkhemahan yang disertai kira-kira 500 kadet dari seluruh negeri itu bertujuan untuk menguji ketahanan mental dan fizikal peserta selain untuk memilih wakil ke Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Kebangsaan di Sarawak nanti.

Antara khemah yang didirikan.
"Sebanyak lapan buah daerah menyertai perkhemahan ini di mana satu kontinjen diwakili 33 pelajar. Sepanjang berada di sini, pelbagai aktiviti diadakan, antaranya ialah pertandingan kawad kaki, kawad operasi, cabaran kadet, ikatan dan simpulan dan lain-lain.

"Perkhemahan ini berjalan lancar dan saya mengharapkan semua ahli kadet bomba yang menyertai perkhemahan ini supaya mendapatl banyak ilmu dan manfaat sepanjang berada di sini," katanya.-Aminudin.
Taklimat...beberapa peserta mendengar taklimat.

Bincang..Khairee (kiri) bersama beberapa ahli kadet Bomba.

 

22 April 2014

Semua sambut baik ucaptama MB

Oleh: Aminudin Ismail.

MAJLIS Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini menyaksikan kira-kira 2,000 jemputan hadir yang terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri, wakil UMNO Dun, Pengerusi JKKK, Badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai.

Tinjauan Teganukita pada majlis yang memberi tumpuan kepada ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Said itu, rata-rata hadirin memuji ucapan itu dan menganggap Ahmad adalah pemangkin untuk terus memakmur dan memajukan negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, ucapan MB itu perlu dihayati semua penduduk di negeri ini kerana ia membabitkan soal masa rakyat dan masa depan negeri supaya terus maju dan makmur.

"KRA negeri adalah satu panduan tepat untuk memastikan pelaksanaan program-program pembangunan negeri berjalan lancar. Dengan adanya KPI sebanyak 41 yang ditetapkan ini, ia mengikat kerajaan negeri supaya tidak lari dari perancangan asal yang dirumus dengan mengambil kira keperluan semua rakyat.

"Ini adalah satu komitmen kerajaan negeri dan menunjukan kesungguhan BN dibawah pimpinan Dato' Seri Ahmad Said untuk menunaikan janji PRU 13 lalu," katanya.

Alina..ucapan yang bagus.
Bagi Nor Alina Kamaruddin daripada JKKK Masjid Haji Said Marang berkata, ucapan Menteri Besar Terengganu itu adalah untuk pembangunan negeri ini.

"Ucapan MB tadi memang bagus, ia adalah untuk pembangunan masa akan datang. Harapan saya ialah supaya semua rakyat Terengganu terus memberi sokongan supaya negeri Terengganu terus maju di masa hadapan," katanya.

Seorang kakitangan kerajaan negeri, Ibrahim Othman, berkata ucapan MB itu melihat kepada keberhasilan utama negeri yang melibatkan produk-produk yang perlu diketahui.

"Sesuai dengan tema kerajaan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan negeri maka produk yang diterjermahkan kerajaan itu nampak membuahkan hasil dan natijahnya ia memberi keuntungan kepada rakyat semua," katanya.

Mohd Zakaria Pengerusi JKKK Alor Selising, Jerteh pula menyifatkan ucapan MB itu sesuatu yang amat baik.

Zakaria..tepat.
"Ucapan MB kita tadi memang bertepatan jadi bagi saya sebagai Pengerusi JKKK jadi saya amat-amat tertarik dengan ucapan MB itu tadi kerana ia begitu membanggakan semua pihak dan boleh dikatakan kesemua ucapan MB itu memberi kegembiraan kepada rakyat," katanya.

Seorang pegawai di SUK, Kamarul Hisham Abdullah pula menyifatkan ucapan Menteri Besar itu adalah yang terbaik dan meliputi semua aspek terutamanya dalam menjana ekonomi negeri supaya lebih kukuh dan berdaya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Zahari Endut dari Marang pula, berkata ucapan Menteri Besar pagi tadi adalah yang terbaik dan sesuatu yang patut dibanggakan semua pihak.

"Saya rasa setiap kenyataan yang diberi tadi akan diterima rakyat kerana ia begitu bernas dan berkesan untuk menawan hati penduduk di negeri ini. Yang paling menarik ialah soal pelaburan yang bertujuan untuk mengemaskinikan Terengganu," katanya.

Khairul...peluang pekerjaan.
Bagi Khairul Anwar Abdul Rahman dari Rhu Rendang, berkata ucapan MB itu meliputi semua aspek terutama soal membabitkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

"Diharap pelaburan yang begitu banyak itu akan memberi lebih peluang pekerjaan kepada golongan muda dan semua pihak perlu memberi sokongan kepada MB untuk terus menerajui negeri ini," katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Pemandu, Dato’ Seri Idris Jala dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.
Kamarul Hisham...sambut baik.
Ibrahim...membuahkan hasil.
Zahari..ucapan terbaik.

 

Terengganu Tarik Pelaburan Asing RM16.3 Bilion

Oleh: Suriati Ali

Terengganu berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM16.3 bilion sejak 2007 sehingga suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

 Melalui pelaburan itu katanya, lebih 20,000 peluang kerja diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, pembuatan, pelancongan, minyak dan gas.

 Beliau berkata, pelaburan itu termasuklah syarikat CJ dan Arkema yang bakal beroperasi di Taman Polimer Kertih pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM2.24 billion sekali gus telah meletakkan Terengganu sebagai destinasi pelaburan menarik bagi industri bioteknologi.

Katanya, langkah itu mampu menyediakan pelbagai peluang komersial kepada syarikat-syarikat bioteknologi terutama penggiat bioteknologi global ke negeri ini dalam tempoh terdekat.

 “Dengan faktor ini, beberapa syarikat asing dari Amerika Syarikat, iaitu Gevo Inc. telah memberikan komitmen pelaburan sebanyak RM1.65 billion untuk membangunkan loji pembuatan isobutanol dari biojisim selulosa.

Tidak terkecuali, syarikat Virdia juga turut menyatakan minat untuk melabur di Terengganu. “Sektor industri besi keluli juga dilihat sebagai pemangkin ke arah ekonomi negeri berpendapatan tinggi. Aktiviti pelaburan yang berskala besar ini turut menjadi agenda penting dalam pembangunan peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Pemandu, Dato’ Seri Idris Jala dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff bin Awang Ahmad turut memberitahu, dijangka memulakan operasi pada suku ke -3 tahun ini, syarikat Easten Steel Sdn. Bhd., kilang besi keluli yang terbesar di Malaysia ini turut dapat dimanfaatkan oleh Terengganu.

 “Dengan nilai pelaburan pemulaan sebanyak RM2 billion, ianya meningkat kepada hampir RM4 billion pada ketika ini menunjukkan betapa pentingnya industri besi keluli ini kepada masyarakat.

“HKS Mineral Sdn. Bhd. juga telah diluluskan bagi membangunkan kilang besi keluli di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong. Jumlah pelaburan yang bakal dilaburkan berjumlah RM 6.6 billion di kawasan seluas 1,000 ekar dan menawarkan sebanyak 1,300 peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan lembah silika. Sumber pasir silika yang dianggarkan lebih 50 juta tan metrik akan dibangunkan oleh Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. dan dapat memberi 600 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini khususnya.

“Pelaburan bernilai RM350 juta ini dijalankan di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu. “Dengan adanya industri silika ini, produk-produk seperti kraftangan turut dapat dihasilkan oleh rakyat yang cenderung kepada penghasilan kraftangan untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.