Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Ribuan rakyat mengunjungi majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Seri Iman kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu yang diadakan pada hari raya pertama.
Rumah terbuka yang bermula 10 pagi itu dihadiri lebih 10,000 tetamu pelbagai lapisan masyarakat dan kaum termasuk Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan pesara, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat biasa dari kampung-kampung.
Dato Seri Ahmad dan isteri To’ Puan Norliza berdiri berjam-jam tanpa jemu-jemu untuk tidak menghampakan pengunjung yang mahu bersalam dan menyampaikan ucap selamat hari raya kepada mereka berdua.
Terdapat juga tetamu yang mengambil peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Menteri Besar dan isteri sempena rumah terbuka itu.
Kehadiran pengunjung yang begitu ramai berikutan pendekatan mesra rakyat dan mudah didekati, bahkan mereka berasa terharu di atas layanan mesra yang ditunjukkan oleh Dato’ Seri Ahmad walaupun mereka datang jauh dari kampung.
Dato’ Seri Ahmad sendiri memantau keadaan agar pengunjung dapat menikmati makanan sekalipun dalam keadaan bersesak-sesak, bahkan bekalan makanan ditambah dari semasa ke semasa, termasuk ada yang digoreng serta merta untuk memastikan keranggupan bahan makanan dari jenis bergoreng.
Terdapat juga makanan istimewa disediakan iaitu dari bahan ubi gadung yang sedang dipopularkan di Terengganu.
Walaupun rumah terbuka itu sepatutnya berakhir jam 3.00 petang, tetapi di luar waktu itu masih ada lagi rakyat yang datang mengunjungi Menteri Besar Dato' Seri Ahmad dan isteri yang masih berada di situ untuk tidak menghampakan pengunjung.
TEGANUKITA