Halaman

15 June 2014

Perkaya belanja RM3 juta setahun untuk anak yatim

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Perkaya) Terengganu membelanjakan kira-kira RM3 juta setahun untuk kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.

Dato' Tengku Mahmud
Yang Dipertua Perkaya, Prof Dato' Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, daripada jumlah tersebut RM1 juta adalah sumbangan kerajaan negeri manakala selebihnya oleh Perkaya.

"Saya amat mengalu-alukan sokongan orang ramai dan amat berterima kasih kepada penyumbang yang tidak putus-putus datang terutama dalam bentuk barangan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Sumbangan Pakaian Raya Anak-anak Yatim Tahun Tiga dan Enam Sekolah Rendah Daerah Kuala Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, pihak Perkaya juga membelanjakan RM300,000 setahun bagi mengurus Sekolah Menengah Akademik Tahfiz (SMAT) yang terletak di Marang.

"SMAT telah ditubuhkan tahun lalu mempunyai 190 pelajar yatim yang sedang belajar dalam Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang memberi penekanan dalam bidang hafiz al-Quran dan akademik," katanya.

Menurutnya, Perkaya kini mempunyai empat buah asrama anak yatim iaitu di Marang, Besut, Beladau Kolam dan Jerangau, Dungun yang menempatkan 600 pelajar.

Tahun ini Perkaya memperuntukkan RM80,000 untuk membeli pakaian raya bagi diagihkan kepada 1,200 pelajar yatim seluruh negeri.

 

No comments: