Oleh: Suriati AliKewujudan Kapal latihan dan penyelidikan Research Vessel Discovery (RV Discovery) nyata dapat memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Naib Canselor UMT Dato' Prof Dr. Aziz Deraman, berkata membantu para pelajar dan penyelidik untuk melakukan penyelidikan mereka dengan lebih mudah, tepat, cepat dan dalam keadaan semula jadi tanpa perlu pulang ke daratan untuk menggunakan peralatan simulasi di makmal.
‘‘Untuk memahirkan penggunaan peralatan berkenaan, UMT mengadakan kerjasama dengan Keel University, Jerman dalam melatih kakitangannya agar kemudahan tersebut dapat digunakan dengan tepat,” ujarnya.
Selain itu tambahnya, UMT berharap RV Discovery dapat juga dimanfaatkan oleh pihak lain dalam melakukan pelbagai bentuk penyelidikan. Selain itu, hasil penyelidikan yang diperoleh dapat menjadi sumber rujukan terutamanya berhubung langkah-langkah pemuliharaan, pendidikan, penjanaan ekonomi dan lain-lain.
Pihaknya turut merancang untuk membuat pelayaran sebanyak dua kali setahun terutamanya untuk tujuan oseanografi termasuk ke perairan Sabah dan Sarawak.
“Kita akan turun ke laut untuk membolehkan para penyelidik menjalankan kajian mereka dalam bidang oseanografi secara lebih luas dan tanpa sempadan, sesuai dengan slogan UMT Teroka Seluas Lautan.
“Walaupun bidang penyelidikan oseanografi masih baru di negara kita, namun sebagai sebuah universiti yang memainkan peranan berasaskan marin dan akuakultur, kita berharap RV Discovery boleh dianggap satu titik permulaan kepada UMT untuk meletakkan ia sebagai institusi terulung di negara ini dalam bidang itu,” jelasnya.
Justeru, beliau juga berharap agensi-agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Geosains dan Agensi Nuklear Malaysia dapat turut serta berkongsi manfaat kewujudan RV Discovery.
“Kami sangat mengalu-alukan jabatan lain yang berminat untuk menggunakan kapal RV Discovery agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya.
Kapal yang dilancar Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah baru-baru ini bernilai lebih RM15 juta khusus dibina bagi penyelidikan oseanografi dengan kelengkapan terkini setanding dengan kapal penyelidikan luar negara dengan keupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika dan boleh berada selama dua minggu di lautan.
Kapal sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan, Kay Marine Sdn. Bhd. dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa.