Halaman

15 October 2011

Nuri Ceriakan SKSI

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Bank Rakyat telah berjaya menganjurkan Pertandingan Mewarna Kelab Nuri di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman baru-baru ini, sempena Karnival Kewangan Sekolah Berprestasi Tinggi peringkat negeri Terengganu.

Program itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan kerjasama dari rakan-rakan strategi utama seperti Bank Rakyat iaitu Adabi, Arora Sports, Nestle Milo, Felda Travel dan Takaful Ikhlas.

Selain pertandingan Seronoknya Mewarna, penganjur turut menyediakan acara menarik lain seperti Kuiz Kelab Nuri, Demonstrasi Pertandingan Bola Sepak Kelab Nuri Bank Rakyat, Pencarian "Junior Chef" Kelab Nuri & Adabi dan bersama artis jemputan Abang Ropie Cecupak.



Kehadiran Maskot Nuri telah menjadi tarikan utama karnival ini, kehadirannya bermesra dan bermain bukan sahaja dengan kanak-kanak malah dengan orang dewasa telah mencuit hati ramai pengunjung.

Tahun ini juga, buat julung kalinya diadakan pertandingan penabung terbanyak bagi menggalakkan lebih ramai lagi peserta menyertai pertandingan menabung.

Majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna Kelab Nuri ini disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar di Dewan PIBG SK. Sultan Ismail.



Hadiah-hadiah yang dimenangi merupakan baucer wang tunai simpanan dan barangan tajaan Kelab Nuri, serta hadiah iringan dari penaja-penaja seperti Adabi dan Ayamas Rasamas.

14 October 2011

Kerajaan Terengganu mendahului negeri lain dalam pembangunan pendidikan

Oleh: Mohammad Ishak


Idris menyampaikan e-book kepada murid tahun 4 di Dewan MDB Besut hari ini.

Rakyat negeri ini bertuah kerana sentiasa mendapat perhatian terutama dalam pembangunan pendidikan apabila kerajaan negeri begitu perihatin untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pengagihan e-book yang dilaksanakan kerajaan tidak terdapat di negeri lain menyebabkan pelajar negeri ini sentiasa kehadapan dalam celik teknologi maklumat (IT).

Katanya, pembelanjaan besar membababitkan lebih RM1 juta setiap tahun untuk menyediakan kemudahan e-book patut dipuji dan rakyat hendaklah bersyukur kerana mendapat kemudahan seperti itu sejak di tahun empat lagi.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, tuduhan sesetengah pihak terhadap usaha kerajaan menyediakan kemudahan e-book yang dianggap membazir dan merugikan adalah tidak benar kerana ia mampu meningkatkan kemahiran pelajar.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan e-book kepada 685 murid tahun empat dari sekolah Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, di Dewan Majlis Daerah Besut,Gong Kemuntong, Jertih, hari ini.

Idris berkata,ada pihak menuduh penggunaan e-book tidak memberi manfaat adalah tidak berasas sebaliknya jika semua ibu bapa faham dan tahun mengawal anak-anak menggunakannya ia memberi kebaikkan.

Beliau berkata, pengagihan e-book juga bukan untuk anak ahli Umno sebaliknya ramai juga ibu bapa dikalangan penyokong Pas turut mendapat kemudahan itu.

“Semua bentuk bantuan yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah satu kebajikan untuk rakyat yang sudal lama dipraktikkan, tetapi ada pihak hanya bercakap Negara Berkebajikan tetapi ia hanya tinggal slogan semata-mata,” katanya.


T-Team tidak mahu dabik dada

Oleh: Suriati Ali

T-TEAM tidak menganggap mudah pertemuan suku akhir kedua kempen Piala Malaysia 2011 menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Jurulatih, Yunus Alif berkata, kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah dalam perlawanan pertama Isnin lalu tidak boleh dijadikan ukuran.

"Kita masih ada 90 minit lagi untuk diharungi dan macam-macam boleh berlaku, tambahan pula Sabah sekarang berada pada prestasi terbaik dan boleh mengancam T-Team," katanya.

Yunus berkata, T-Team tidak mempunyai strategi tertentu untuk menghadapi Sabah kecuali meningkatkan semangat berpasukan.

Strategi tersebut ternyata berkesan pada aksi suku akhir pertama di gelanggang lawan Isnin lalu," katanya.

Beliau berkata, T-Team belum mahu mendabik dada malah akan tetap menghormati Sabah.
Menurutnya, T-Team ingin merealisasikan impian penyokong mereka untuk melihat pasukan itu terus berjaya dan seterusnya menjulang piala yang berprestij itu musim ini.

Pada pertemuan ini, bekas pemain kebangsaan, Tengku Hasbullah Tengku Hassan yang mengalami kecederaan di pangkal paha semasa pertemuan pertama Insin lalu mungkin akan direhatkan pada aksi kedua ini.

Begitupun, Yunus berkata, beliau tidak bimbang kerana T-Team mempunyai ramai pemain yang boleh mengisi tempat Tengku Hasbullah.

Sementara itu, Setiausaha Kerja T-Team, Zaini Abu Bakar berkata, pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan tidak akan menaikan harga tiket untuk perlawanan tersebut.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penyokong T-Team menyaksikan perlawanan tersebut.

Masalah banjir berakhir selepas MB ‘turun padang’

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Kini penduduk setempat tidak lagi rungsing memikirkan keadaan rumah mereka apabila hujan turun dengan lebat dan mereka boleh tidur dengan lena sepanjang musim hujan.

Minggu lepas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjengah ke Kampung Sungai Mas, Padang Kubu Kemaman untuk melihat sendiri keadaan kampung sekeliling yang saban tahun menghadapi masalah banjir kilat.

Menurut Pengerusi JKKK Sungai Mas, Mohd Rafi Ismail, 47, setelah Menteri Besar sendiri ‘turun padang’ dan melihat sendiri keadaan kampung itu, pihak ladang ladang terus mengambil tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sebelum ini pihak JKKK telah berulang kali naik turun ke pejabat berkenaan meminta supaya sungai digali dan dibesarkan bagi menggelak berlakunya banjir kilat, tetapi tidak diendahkan.

Malah, katanya, pihak berkenaan memberi pelbagai alasan, termasuk tiada peruntukan kewangan untuk mengupah tenaga kerja.

Beliau berkata, selepas lawatan Menteri Besar, keesokan harinya, pihak pengurusan TDM Plantation SDN BHD Ladang Jernih telah memulakan operasi mereka dengan kerjasama TDM.



Biarpun proses penggalian sungai baru 30 peratus dilakukan, masalah banjir telah dapat diatasi walaupun kebelakangan ini hujan turun dengan lebat.

Mohd Rafi berkata, sungai telah digali dan dibesarkan malah longkang-longkang juga telah diselenggara dengan baik dan membuatkan air sungai dapat mengalir dengan lancar.

“Keprihatinan Menteri Besar memantau kampung ini walaupun kawasan kampung ini bukan di bawah naungan kerajaan telah mengubah nasib penduduk setempat yang sebelum ini banyak kehilangan dan kerosakan harta benda.

“Malah beliau telah memperuntukkan kewangan kerajaan negeri untuk membina dua kolam tangkungan bagi menampung air hujan dari melimpah ke sungai,” katanya.

320 peserta sertai Kem Sukan Milo anjuran KRT Bandar Jertih

oleh: Mohammad Ishak

SERAMAI 320 peserta akan menyertai Kem Sukan “Play More Learn More” peringkat negeri Terengganu yang akan berlangsung sehari di Padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih, Besut, esok.

Kem anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih dan Nestle Product Sdn Bhd membabitkan tiga acara sukan iaitu bola sepak, bola jaring dan bola keranjang.

Setiausaha KRT Bandar Jertih, Abd Aziz Hassan berkata, kem berkenaan julung kali diadakan di negeri ini akan menampilkan peserta bawah 12 tahun membabitkan 16 sekolah rendah seluruh daerah Besut.

Katanya, pertandingan itu dibahagikan kepada empat kumpulan itu Kumpulan A Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Amer, Bukit Tempurung dan SK Pusat Jertih.

Manakala Kumpulan B ialah SK Jertih A, Alor Peroi, Kampung Baru dan Tok Motong. Bagi Kumpulan C , SK Kuala Besut 2, Seberang Jertih, Pelagat dan Alur Keladi. Kumpulan D ialah SK Bukit Kenak, Padang Landak, Lubuk Kawah dan Nyior Tujuh.

Menurutnya, sempena program itu juga pihak penganjur akan mengadakan klinik asas bola sepak, bola jaring dan bola keranjang yang akan diadakan selama 30 mint sebelum karnival sukan berkenaan berlangsung yang akan dikendalikan oleh 15 jurulatih bertauliah.

Abd Aziz berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada peserta peringkat akar umbi mempamerkan bakat dalam sukan berkenaan selepas mereka menerima latihan asas dari jurulatih terbabit.

Katanya, KRT Bandar Jertih beruntung kerana pihak Dina Sport memilihnya sebagai penganjur bersama kem berkenaan dan akan membuktikan keupayaan menganjur sukan terbabit.

“Kami juga akan menampilkan peserta pelbagai kaumakan yang mencerminkan semangat perpaduan sesuai dengan konsep 1Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu dijangka menarik perhatian penduduk setempat kerana berkemungkinan perlawanan akan berlangsung dalam suasana hujan berikutan keadaan cuaca tidak menentu di negeri ini sekarang.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh (gambar) yang juga selaku Pengarah Rukun Tetangga Daerah Besut, akan melakukan upacara penutup dan menyampaikan hadiah kepada pasukan yang berjaya.



13 October 2011

iHeal Medical lakar sejarah bedah jantung



Oleh FAUZI MOHD

HOSPITAL yang dibangunkan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT), iHeal Medical Service Sdn. Bhd. (iHeal Medical) melakar sejarah dalam menawarkan perkhidmatan perubatan apabila berjaya melakukan pembedahan jantung pertama hari ini.

Lebih bermakna, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri menyaksikan operasi pembedahan itu di Pusat membeli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB. Dr. A. Rahman Mokhtar.

Dato’ Seri Ahmad berkata, pembedahan itu diketuai sendiri oleh Pengarah Kesihatan hospital itu, Dr. David Khoo Sin Keat bersama pakar bius, Dr. Ariffin Marzuki serta enam kakitangan kesihatan lain.


Menurutnya, pasukan itu mengambil masa kira-kira empat jam untuk melakukan pembedahan penggantian injap jantung sebelah kiri kepada seorang pesakit wanita dari Melaka, Yap Nyok Lin, 50 tahun.

“Kejayaan pertama ini menjadi kebanggaan kepada kita. Kita antara pelopor dalam memberikan perkhidmatan kesihatan bukan sahaja di Terengganu malah di sekitar Lembah Klang melalui pelaburan anak syarikat negeri.

“Kalau dulu pesakit kronik dari Terengganu akan dirujuk ke hospital lain terutama di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tetapi sekarang kita boleh melakukannya di hospital ini," katanya kepada Teganukita di sini, hari ini.





Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Hospital dibangunkan oleh LTAWT yang menguasai 60 peratus kepentingannya sahamnya dan baki 40 peratus lagi oleh Biomedical Technologies Sdn. Bhd. dan pengasasnya iaitu Dr. David Khoo Sin Keat sendiri.

Sementara itu, Sin Keat ketika ditemui berkata, iHeal Medical menumpukan pelancong asing sebagai pelanggan utama khususnya dari Indonesia, Amerika Syarikat beberapa negara Asia Tenggara lain.




Beliau berkata, pelancong asing itu kerap ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana ia dianggap antara terbaik di rantau Asia Tenggara.

Sin Keat menambah: "Bagi rakyat tempatan, pusat ini berperanan mendidik mereka tentang penjagaan kesihatan khususnya pada peringkat awal kerana mereka, biasanya kurang mengendahkannya.

"Kami juga mengambil kesempatan ini bagi memperkasakan program pelancongan kesihatan oleh kerajaan dengan mensasarkan 70 peratus pelancong asing," katanya .

40 pelajar antarabangsa UUM sertai Program Khidmat Komuniti

Oleh: Mohammad Ishak


Pelajar antarabangsa UUM menyertai Program Khidmat Komuniti di Besut

Seramai 40 pelajar antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkampung di Kampung Limbongan, Besut, bagi mengenali budaya hidup dan sosio ekonomi penduduk luar bandar negeri ini.

Pogram Khidmat Komuniti anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa dengan kerjasama Majlis Daerah Besut (MDB) memberi peluang bukan sahaja kepada pelajar malah penduduk kampung terbabit

Ini kerana mereka terpaksa tinggal di rumah keluarga angkat masing-masing dan menjalani kehidupan harian selama empat hari mengikut cara hidup keluarga berkenaan.

Antara pelajar terbabit termasuklah dari Indonesia, Thailand, Bangladesh, Chad, Somalia dan Nigeria buat pertama kali tinggal dengan keluarga Melayu beragama Islam dan mereka tidak sedikit pun merasa kekok tinggal bersama keluarga angkat terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof merasmikan program berkenaan dan menyerahkan anak angkat kepada keluarga yang terpilih.

Naib Cancelor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihaknya memilih daerah Besut bagi menjayakan program itu kerana penduduknya mempunyai keunikkan cara hidup tersendiri.

Katanya, program itu yang mendapat kerjasama komuniti setempat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memudahkan penganjur melaksanakan pelbagai aktiviti dirancang.

Muhammad Pehimi pula berkata, pemilihan kampung itu sebagai tempat program adalah satu penghormatan dan penduduk sepatutnya bangga kerana dapat menjalani kehidupan bersama pelajar pelbagai bangsa di dunia.


Bajet 2012 bajet luar biasa


Tiga ahli panel program Diskusi Bajet 2012 mengakui bajet yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato’ Seri Najib Tun Razak baru-baru ini adalah luar biasa dengan menawarkan pelbagai insentif untuk rakyat berbilang kaum.

Program anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) menjemput Pensyarah Jabatan Matematik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mustafa Mamat; Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar, Ustaz Kamalruddin Omar dan Penasihat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT), Datuk Wan Albakri Wan Md. Nor bagi memperjelaskan pelbagai keistimewaan tentang bajet itu.

Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman bertindak selaku perantara majlis diskusi yang di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.

Lebih 200 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli-ahli politik dan pemimpin masyarakat turut mengakui apa yang hadir di program itu turut mengakui apa yang diperjelaskan ahli panel benar, telus, adil dan banyak membantu rakyat.

Prof. Dr. Mustafa, berkata Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen, Jumaat lalu jelas menunjukkan kepentingan dan kebajikan rakyat didahulukan serta kesungguhan kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat menghadapi cabaran global.

Katanya, pelbagai insentif seperti yang diumumkan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, akan membantu rakyat mengharungi kehidupan mereka pada masa ini di mana keadaan ekonomi dan politik agak bergolak dengan pelbagai usaha dilakukan pihak tertentu bagi mengugat kestabilan negara.

“Bajet 2012 adalah kesinambungan terhadap tindakan kerajaan untuk memakmurkan rakyat dan negara yang berpaksikan kepada pengukuhan ekonomi, pembangunan yang mampan, keadilan sosial dan pengagihan kekayaan negara merentasi sempadan politik,” katanya.
Datuk Wan Albakri, berkata pelbagai insentif yang diberikan kerajaan kepada sektor swasta akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Hadiah serta insentif dan subsidi yang bakal dinikmati rakyat pada tahun depan melalui bajet ini seperti pemansuhan yuran persekolahan, sekalius menjadikan pendidikan percuma bagi sekolah rendah dan menengah dan perumahan untuk rakyat, amat wajar bagi meringankan beban rakyat.

“Segala insentif dan subsidi kerajaan untuk rakyat seperti yang dibentang dalam Bajet 2012 hanya boleh dilakukan oleh kerajaan yang memiliki kemampuan dan mengutamakan kemakmuran rakyat serta negara,” katanya.


YIT anjur Majlis Khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menganjurkan Majlis Khatam al-Quran Kanak-kanak Tabika peringkat Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 22 Oktober ini.

Kira-kira 8,000 kanak-kanak tadika dijangka menyertai program tahunan yang bakal dirasmikan Menteri Besar, Dato, Seri Haji Ahmad Said itu.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Pelbagai persembahan sampingan diadakan, termasuk nasyid, dikir berbahasa Arab, bacaan al-Quran secara qira’at, bacaan Yasin serta perterjemahan dan penyampaian sijil.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata pihaknya bangga kerana program yang dianjurkan lima tahun berturut-turut itu bukan saja dapat meningkatkan jumlah penyertaan malah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

“Pada tahun lalu, seramai 7,000 kanak-kanak daripada empat tadika sama berjaya khatam al-Quran dengan sempurna,

“Pertambahan kanak-kanak khatam al-Quran tahun ini adalah di atas kesedaran ibu bapa terhadap pentingnya pembelajaran al-Quran dalam membentuk minda anak-anak sejak di awal usia lagi,” katanya.

Terengganu tekad tumpaskan Kelantan



Berbekalkan kelebihan dua gol ketika beraksi di gelanggang sendiri, Terengganu berazam untuk mencari gol awal pada pelawanan timbal balik di gelanggang lawan pada pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia di Kota Baharu, Jumaat ini.

Jurulatih Terengganu Irfan Bakti tidak mahu anak buahnya selesa dengan kemenangan 3-1 pada pertemuan sebelum ini dan mengamalkan corak permainan bertahan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Malah, beliau meminta para pemain supaya mencari gol awal bagi memudahkan skuad ‘Penyu’ menggapai impian untuk melangkah ke separuh akhir.

Disebabkan Terengganu kehilangan khidmat dua tonggak utama, Ismail Faruqi Asha'ri dan Mohd Zubir Azmi yang menerima kad merah pada perlawanan lalu, Irfan membuat percaturan baru bagi memastikan pasukannya menang perlawanan esok.

Terengganu berada pada kedudukan selesa untuk bertandang ke tempat lawan setelah berjaya mengalahkan Kelantan 3-1 pada pertemuan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, baru-baru ini.

Perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang itu turut dicemari dengan lima layangan kad merah iaitu tiga untuk Kelantan dan dua untuk tuan rumah serta 10 kad kuning.

"Apa yang pasti, kami tidak harus bertahan ketika beraksi di Kota Baharu sebaliknya kami harus mencari gol awal untuk keselesaan kami," katanya.

Irfan penuh yakin skuad bimbingannya akan melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini.