Halaman

20 March 2012

TOP IT keluar produk telefon pintar untuk pasaran dunia

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

TOP IT Industries Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri, mengorak langkah setapak ke depan apabila mengeluarkan alat telekomunikasi pertama dunia yang menggunakan perisian Windows 7 secara keseluruhan dan dilengkapi “GSM Voice’ dan kejuruteraan telephony.

Telefon pintar tersebut yang dinamakan Magic W3 akan mula dipasarkan untuk pasaran dunia mulai pertengahan tahun ini.

Buat permulaan, 500 unit telefon tersebut yang mengandungi fungsi hiburan & Multimedia, laman sosial, keupayaan navigasi (GPS), sidang video dan internet itu, dikeluarkan untuk pasaran Hong Kong dan Cina.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata telefon berkenaan yang bernilai kira-kira RM3,000 seunit akan turut dipasarkan ke Eropah di mana sasaran utama golongan profesional di seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat bangga dengan pencapaian tersebut dan berharap telefon tersebut akan mendapat pasaran meluas dalam masa yang singkat.

Majlis pelancaran telefon tersebut disempurnakan pada satu majlis di Primula Beach Resort, malam tadi.



Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, YB Haji Asha’ari Idris dan Dato’ Toh Chin Yaw serta beberapa wakil syarikat yang bertanggungjawab memasarkan telefon berkenaan.












19 March 2012

NCWO anjur kempen anti pemedagangan orang

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Kebangsaan Pertubuhan- pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) akan terus mempergiatkan kempen kesedaran Anti Pemedagangan Orang dan Anti Penyeludupaan Migran dalam usaha membantu kerajaan menangani isu berkenaan.

Naib Pengerusi NCWO Wilayah Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan) Senator Dato’ Maznah Mazlan berkata, NCWO memandang berat isu berkenaan dan ianya wajar dibanteras habis-habisan.

Katanya, masyarakat perlu diberi kesedaran untuk memberikan maklumat atau melaporkan jika mengetahui ada kegiatan mengeksplotasikan manusia di kawasan mereka.

``Ini kerana pemedagangan orang bukan hanya kepada aktiviti pelacuran sahaja, tetapi juga kepada perhambaan, mengemis dan mencuri organ,’’ katanya selepas menghadiri mesyuarat Pelancaran Kempen Anti Pemedagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, petang semalam.

Mesyuarat jawatankuasa peringkat negeri yang dihadiri ketua-ketua jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) itu di adakan di Wisma Darul Iman dan di pengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamed,

Senator Dato’ Maznah yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kempen tersebut mula dilancarkan oleh NCWO pada akhir tahun 2010 dan sehingga kini beberapa negeri telah melaksanakannya termasuk Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak.

Menurutnya, kempen peringkat Zon Timur akan diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man pada 29 Mac ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, melalui kempen tersebut diharapkan kesedaran dapat ditingkatkan terutama kepada orang awam untuk sama-sama membantu agensi kerajaan seperti Polis, Imigresen, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Tenaga Kerja dalam menangani isu berkenaan.





PPD dilantik bela kebajikan penduduk kawasan pembangkang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melantik Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (PPD) bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasan yang dimenangi Pas tetap terbela dan mendapat perkhidmatan terbaik.

Sehubungan itu, lapan DUN yang dikuasai pembangkang mempunyai PPD masing-masing iaitu Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (Ladang); Dato’ Che Mat Jusoh (Batu Buruk); Datuk Rosli Mat Hassan (Sura); Encik Yusof Awang Hitam (Manir); Haji Ismail Nik (Bukit Tunggal); Haji Nik Dir Nik Wan Ku (Rhu Rendang) dan Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah di DUN Wakaf Mempelam, diberi tugas memikul tanggungjawab itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata Kerajaan BN mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan melantik PPD berkenaan, bagaimanapun ada segelintir rakyat tidak menghargai setiap pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan itu.

“Sebab itu Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno melantik Pegawai Pembangunan DUN bagi menjaga kebajikan penduduk termasuk di DUN Wakaf Mempelam.

“Kalau kita hendak biarkan, kita biar begitu sahaja tanpa perlu melantik PP DUN. Bagaimanapun, kita mengambil tanggungjawab itu,” katanya sebagai mengulas pelbagai kebajikan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri di DUN Wakaf Mempelam termasuk usaha membangunkan 1,000 unit rumah mampu milik di kawasan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengagihkan e-Book kepada murid Tahun Empat di kawasan DUN Wakaf Mempelam, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, semalam (18 Mac).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin dan PPD Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin.

Menurutnya, bagi memastikan segala agenda pembangunan lancar, penduduk sepatutnya tidak lagi menyokong kepimpinan pembangkang yang terbukti gagal menjaga kebajikan penduduk walaupun sekian lama menguasai satu kawasan, sepertimana Pas yang sudah 33 tahun memenangi DUN Wakaf Mempelam.

Katanya, penduduk di kawasan yang dimenangi pembangkang perlu menilai semula bahawa segala pembangunan dan prasarana yang tersedia dan bakal dilaksanakan hanya mampu dibangunkan kerajaan BN.

“Saya tawarkan dahulu 1,000 unit rumah (mampu milik)..Lepas itu kita tengok macam mana, biar (BN) menang dulu. DUN ini sudah 33 tahun kalah. Kalau tidak mahu berubah, tidak akan berubah. Terpulang kepada orang di DUN Wakaf Mempelam untuk menentukannya.

“Setakat ini, apa yang wakil rakyat Pas ( Haji Abdul Wahid Endut) beri. Ada Abdul Wahid Endut dapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk dibawa (pembangunan) ke kampung.. kawasan dia? Apa yang dia dapat..hanya elaun sahaja.. Ahli Parlimen lagi..Adun lagi,” katanya.

Beliau berkata, permintaan bagi membangunkan 2,000 unit rumah mampu milik di kawasan itu hanya akan dilaksanakan sekiranya BN kembali memenangi kawasan itu pada PRU Ke-13 nanti.

Jalan Jeram dibuka akhir tahun ini

Oleh: Suriati Ali

Pembinaan projek jalan raya Jeram ke Kampung Tok Kong, Tepoh (fasa 1) sepanjang 2.2 kilometer (km) hampir 90 siap dan dijangka boleh dilalui pengguna akhir tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM250 juta bagi membina kemudahan itu supaya memudahkan orang ramai berulang alik ke bandar Kuala Terengganu.

Katanya, pembinaan jalan raya itu sudah lama ditunggu penduduk terutama bagi mereka terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas di Jambatan Sultan Mahmud.

“Diharapkan pihak berkaitan mempercepatkan projek ini supaya lalu lintas di kawasan itu lebih lancar walaupun tiba musim cuti perayaan dan cuti sekolah,” katanya kepada Teganukita.

YB Haji Muhammad Ramli turut memberitahu sebahagian daripada 60 pemilik tanah yang diambil balik kerajaan sudah pun dibayar pampasan, manakala selebihnya akan menerima secara berperingkat-peringkat.


Henti main politik kotor - MB

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta pemimpin parti pembangkang berhenti dari bermain politik kotor termasuk menghasut pelajar di luar negara supaya membenci kerajaan.

“Merekalah pengkhianat sebenar kerana telah meracuni pemikiran anak-anak kita yang berada di luar negara dengan memberi gambaran buruk tentang kerajaan,” katanya di majlis penyerahan e-Book kepada pelajar Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Encik Hashim Mohd Zin dan Pengawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Katanya, pemimpin pembangkang lebih mementingkan agenda politik mereka daripada memikirkan masa depan generasi muda yang semakin mencabar dalam dunia tanpa sempadan.

“Kerajaan keluar belanja ratusan juta untuk membiayai pelajaran mereka di luar negara, dengan harapan bila tamat pengajian dapat merubah kehidupan keluarga dan berbakti kepada negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sedih bila ada segelintir pelajar terpengaruh dengan hasutan pemimpin pembangkang malah secara terang-terangan menzahirkan protes kepada kerajaan seperti yang berlaku di Mesir tahun lalu.

Katanya, kerajaan belanja RM25 juta setahun untuk e-Book, ini tidak termasuk bantuan lain seperti ‘one off’ kepada pelajar yang dapat masuk universiti, pelajar cemerlang yang berjumlah RM350 juta setakat ini.

“Kerajaan BN sanggup melakukan apa saja untuk memastikan generasi pelajar terus mencipta kejayaan dalam pelajaran yang akan mengembirakan banyak orang termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat keliling,” katanya.





Teruja minum teh bersama Sultan Terengganu

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi
Gambar oleh Nurul Aziela Saberi

Majlis santapan teh bersama rakyat membuka ruang kepada seluruh warga Kemaman untuk bersalaman dan berjumpa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah.

Lebih kurang 1,000 rakyat dari daerah ini telah mengambil peluang dan tidak ketinggalan untuk menghadiri majlis jamuan teh yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Wan Adnan, Kerteh, Azman Mohamad, 47, berkata, kehadiran baginda pada majlis jamuan teh amat bermakna buat rakyat jelata kerana julung kali dapat menatap wajah Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah dari dekat.

Encik Azman hadir bersama isterinya, Rohani Abu Bakar, 45, serta lapan lagi ahli jawatankuasa JKKK Taman Wan Adnan dengan menaiki tiga buah kereta. Baginya, majlis santapan teh sedemikian menjadi salah satu cara terbaik untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat jelata.
“Sebaiknya program sebegini diadakan lebih kerap kerana rakyat sebenarnya sentiasa teruja untuk berdamping dengan pemimpin,” katanya.

Sementara itu, Kamariah Mohd Jusoh, 52, dari Kampung Telaga Papan, Kerteh juga mengakui kali pertama dapat bersua muka dari dekat dengan Sultan Terengganu dan berasa sangat teruja serta gembira kerana baginda tidak lekang dengan senyuman.

Majlis santapan berkenaan dihiburkan dengan iringan persembahan nyanyian sebelum baginda berdua berangkat pulang dan menamatkan lawatan selama dua hari ke daerah Kemaman.

Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.

Pada tengah hari sebelum menunaikan Solat Jumaat, Sultan Mizan turut menyempurnakan perasmian Masjid Kampung Bukit Kuang dan menamakan masjid tersebut sebagai Masjid Ar-Rahman sempena mengambil salah satu nama Tuhan.

Masjid tersebut yang dibina pada tahun 1996 dengan kos kira-kira RM3 juta di atas tapak seluas empat hektar di Kampung Bukit Kuang siap sepenuhnya tahun 1999 dan boleh menampung seramai 1,500 jemaah dalam satu-satu masa.


Nurussyahamah rangkul juara rancangan Adik-adikku musim ke-3

Oleh: Suriati Ali

Kejayaan adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 13, yang berjaya merangkul juara dalam rancangan Adik-adikku musim ke-3 di TV1, malam tadi, membanggakan rakyat Terengganu terutama ibu bapa peserta cilik itu.

Adik Nurussyahamah yang berasal dari Kampung Alur Keladi, Hulu Besut, berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, pakej umrah untuk dua orang, hadiah iringan, trofi dan sijil penyertaan.

Persembahan yang cukup menyakinkan itu membolehkan Adik Nurussyahamah berjaya mengalahkan empat peserta lain dalam pertandingan akhir itu.

Sebelum ini anak kepada pasangan Nurunnajmi Yaacob, 40, dan Sauzan Ibrahim, 39 pernah mengharumkan nama negara dan Terengganu dalam beberapa kejohanan dan pertandingan yang disertai.

Walaupun masih mentah, beliau mampu mewakili Malaysia ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, pada 26 Ogos tahun lalu dan layak menduduki tempat ketiga.

Beliau juga pernah menjadi johan membaca al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.





Anwar takut rahsia, skandal terbongkar

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menolak penyertaan pengendali portal ‘Malaysia Today’, Raja Petra Kamarudin pada satu pentas forum antarabangsa kerana takut pelbagai skandal dan rahsianya terbongkar.

Mengikut laporan akhbar hari ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bimbang maklumat yang dimiliki Raja Petra boleh menyebabkan forum tersebut yang dianjurkan Wikileaks tidak akan menyebelahinya, sekaligus membongkar pelbagai kemungkaran yang pernah beliau lakukan.

“Memang itu perangai sebenar Anwar. Beliau suka mencari publisiti murahan dan hanya berminat dengan laporan media yang menyebelahi kepentingan peribadinya,” kata bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari.

Sebelum ini, Raja Petra Kamarudin turut dijemput menyertai program itu yang bakal diadakan di Kent, England, bersama-sama Anwar bagi membincangkan isu politik semasa di Malaysia.

Bagaimanapun, mengikut laporan portal berita ‘Free Malaysia Today’, Raja Petra mendakwa pengguguran namanya daripada panel forum berkenaan dilakukan atas permintaan Anwar.

Inilah bukti terbaru betapa pemimpin pembangkang itu tidak berani berdepan dengan mereka yang sebelum ini mengenalinya secara lebih dekat, termasuk kegiatan beliau ‘di belakang tabir’.

Jika beliau berada di pihak yang benar, pentas ini boleh digunakan untuk ‘membersih nama’ beliau yang semakin tercemar dengan pelbagai kegiatan dan skandal.



Piala AFC : Terengganu galas harapan pada Forkey Deo

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu meletakkan harapan mereka ke atas penyerang import Francis Forkey Doe bagi membantu pasukan itu meraih kejayaan seterusnya dalam cabaran Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) esok.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, bermula 4.45 petang berdepan pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC.

Pengurus pasukan Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh berkata, skuad itu berharap Forkey Deo akan mempamerkan kebolehannya bagi menghasilkan jaringan untuk meneruskan cabaran dalam saingan Kumpulan F.

Malah beliau berkata pemain kelahiran Liberia itu yang sebelum ini dijadual mewakili pasukan negaranya ke kejohanan Liga Piala-piala negara Afrika telah mengenepikan hasrat semata-mata mahu memberi perhatian kepada pasukan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris.

"Kita amat berbangga dan kagum dengan semangat yang ditunjukkan Doe bagi membantu pasukan Terengganu dalam cabaran Piala AFC ini,” katanya.

Katanya perlawanan tersebut merupakan perlawanan kedua bagi Terengganu selepas menang 1-0 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An di tempat lawan pada perlawanan pembukaan 6 Mac lepas.


Semua rakyat, wakil rakyat ada hak dapat tanah

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai rakyat Terengganu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga berhak mendapat tanah yang dipohon daripada kerajaan negeri jika mematuhi syarat yang ditetapkan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terbaru Pesuruhjaya Pas negeri, Haji Abdul Wahid Endut bahawa pembangkang mempunyai bukti pemberian tanah kepada wakil rakyat.

Haji Mohd Abdul Wahid dalam sidang media sebelum itu, mendakwa kerajaan negeri mengurniakan tanah sebagai `habuan’ kepada wakil rakyat yang nama mereka tidak tersenarai untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Biar dia dedahlah…kita tiada masalah, kita sudah nyatakan bahawa wakil rakyat juga boleh memohon tanah macam rakyat biasa. Bukan tiada (wakil rakyat mendapat tanah), tetapi mesti ikut peraturan.

“Kita tiada masalah. Kita beri rakyat Terengganu untuk pohon tapak rumah ataupun tanah pertanian. Kalau tanah pertanian kita beri sampai dua hektar, kalau tapak rumah satu lot, tiada salahnya,” katanya ketika sidang media selepas mengagihkan e-Book kepada murid Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, semalam (18 Mac).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin dan Pegawai Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Katanya, wakil rakyat berkenaan berhak memiliki tanah berkenaan sebagaimana rakyat lain menerusi mesyuarat dan prosedur yang perlu termasuk mendapat kelulusan Pejabat Tanah dan Galian.

Malah, beliau menegaskan pemimpin Pas itu seakan tidak memahami dasar kerajaan yang memberi tanah kepada rakyat yang berusia 18 tahun ke atas termasuk 32 wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri) di setiap kawasan sebagai tanah anugerah.

“Bukan kita beri 20 ekar seorang kepada semua wakil rakyat. Di Johor pegawai tadbir dapat 10 ekar tanah. Dua..satu tapak rumah, satu tapak pertanian. Di Terengganu kita bagi dua hektar sahaja tapak pertanian. Pegawai tadbir pun dapat, wakil rakyat pun dapat kita bagi..tidak salah jika memenuhi syarat.

“Sudah beratus ribu kita luluskan tanah haram dalam tempoh empat tahun. Dalam tempoh tiga tahun kita selesaikan 9,000 kes tanah. Tapak rumah berapa ribu lot kita buat, tiada masalah. Mereka (Haji Abdul Wahid) sengaja hendak buat isu supaya rakyat marah kepada kerajaan,” katanya.