Halaman

27 October 2012

Pelajar DUN Jertih dapat basikal dan bag sempena Aidiladha



Oleh: Mohammad Ishak 

Kehadiran Aidiladha tetap menjadi ingatan kepada pelajar di Kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih apabila mereka menerima sumbangan basikal dan bag sekolah.sempena majlis Korban Perdana Peringkat DUN Jertih hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh turut dihadiri Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf,Mohd Nasir Hamzah.

Pada majlis itu sepuluh ekor lembu yang disediakan Pejabat Pejabat Pelyelaras DUN dan Karangkraf dikorban untuk diangihkan kepada fakir miskin sekitar DUN Jertih

Sempena majlis korban itu,Idris yang juga Pengerusia MARA kemudian menyampaikan basikal dan bag sekolah kepada pelajar terpilih serta mengagigkan daging korban.

Seramai 250 pelajar menerima sumbangan bag sekolah manakala 50 yang lain menerima basikal Selain itu, pelajar fakir miskin juga turut menerima sumbangan wang raya RM50 seorang sempena majlis korban itu.

Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Jertih dengan kerjasama Karangkraf dan Peti Undi Alur Lintah itu adalah kali kedua diadakan di situ selepas program pertama dijayakan dengan kerjasama akhbar Harian Metro pada 2010.

Idris menghargai tanggung jawab sosial yang dilaksanakan oleh rakan Media di negara ini kerana menganjurkan program korban yang membolehkan orang ramai khususnya golongan miskin turut menikmati faedah daripada program terbabit.

Pejabat Mufti Terengganu anjur seminar Fatwa dan Falak

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Mufti Negeri Terengganu akan menganjurkan Seminar Pendidikan Fatwa dan Falak di Dewan Sungai Tarom, Setiu pada 1 November depan.

Seminar itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Islam Terengganu (YIT), Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dan Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu serta Pejabat Agama Daerah Setiu itu dijangka disertai 1,000 peserta.

Seminar kali kedua pernah diadakan itu antara lainnya akan membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan astronomi dalam kerangka metodologi ilmu falak serta menyalurkan maklumat astronomi kepada segenap lapisan masyarakat.

Turut menyentuh tentang kefahaman mengenai isu-isu berhubung fatwa yang telah diputuskan oleh jawatankuasa fatwa dan membantu masyarakat dalam memahami isu akidah yang terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tiga orang panel pembentang akan dijemput sepanjang seminar berlangsung yang terdiri daripada Penolong Pegawai Fakulti Pengajian Kontemprari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Encik Ahmad Taufan Abdul Rashid.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Mohd Nidzam Abdul Kader. Pengersui Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri,

YB Haji Khazan Che Mat dijangka akan melakukan perasmian seminar berkenaan.

 

Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bakal rasmi Program Hafazan Muqaddam

Oleh: Suriati Ali

 Kira-kira 1,200 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di seluruh negeri ini akan menyertai Program Hafazan Muqaddam di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Program yang akan diadakan pada 3 November itu bakal dirasmikan Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

 Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata, jumlah itu meningkat berbanding 1,012 kanak-kanak yang menyertainya program sama pada tahun lalu.

Katanya, ketika mula diperkenalkan dulu iaitu pada 2007, seramai 250 kanak-kanak saja berjaya menghafaz 23 surah lazim, diikuti 455 orang (2008) dan 594 (2009) dan 753 kanak-kanak pada 2010.

“Jadual waktu hafaz enam kali sehari yang dipraktikkan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang mengambil masa lima hingga enam minit setiap sesi bacaan, mendorong peningkatan jumlah kanak-kanak hafaz al-Quran setiap tahun.

 “Setiap hari, antara waktu bemain dan aktiviti pembelajaran lain, mereka akan berehat sekejap untuk membaca Muqaddam dan cara begini diterima baik golongan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun,” katanya.

 Katanya, kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan dan mereka yang menunjukkan minat saja akan terpilih.

 “Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya.

 Katanya, YPKT mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun seterusnya.

 

Pendidikan jadi tanggungjawab, pelaburan menguntungkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu menjadikan pendidikan sebagai satu tanggungjawab dan pelaburan yang menguntungkan.

 Oleh sebab itu, sejumlah besar peruntukan diberikan melalui Program Terengganu Anjung Ilmu (PPAI) kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk melaksanakan pelbagai program sebagai sokongan dan nilai tambah kepada program sedia ada Kementerian Pelajaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha ini ke arah peningkatan kualiti pendidikan rakyat Terengganu yang berada di bangku sekolah yang ternyata membuahkan hasil melalui kejayaan cemerlang saban tahun yang ditunjukkan dalam pencapaian peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM.

“Kepekaan yang tinggi kerajaan negeri terhadap keperluan menguasai teknologi maklumat di kalangan murid-murid membuahkan idea kepada penggunaan e-book di Terengganu di mana kerajaan negeri menyediakan lebih 110,00 unit e-book iaitu mini laptop yang dilengkapkan dengan pelbagai perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa-doa dan amalan solat yang boleh digunakan oleh semua murid Tahun Lima di negeri ini,”.

“Inilah persediaan awal kepemimpinan kerajaan negeri untuk menghadapi gelombang perubahan dunia di masa akan datang yang lebih canggih dan pantas sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat,” katanya di majlis Karnival Pendidikan Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Terengganu juga menyediakan biasiswa , pinjaman dan pendahuluan kepada anak negeri yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan menerusi Yayasan Terengganu yang diamanahkan untuk menguruskan pemilihan dan pengagihan biasiswa kecemerlangan melalui pelbagai program pelajar cemerlang sama ada ke luar negara atau dalam negara.

 “ Inilah merupakan sumbangan Kerajaan Terengganu dalam memacu pendidikan negeri Terengganu agar lebih ramai ahli profesional dalam kalangan anak Terengganu dapat dihasilkan untuk membantu membangunkan Terengganu,” katanya.

Katanya, kepesatan pembangunan pendidikan yang mengalami proses reformasi yang pesat memerlukan penekanan yang seimbang di antara kecerdasan minda (IQ) dan Emotional Quotient (EQ). Beliau berkata, penguasaan EQ dapat memimpin murid-murid mengetahui emosi diri termasuk kebijaksanaan dalam mengawal gerak hati, kesabaran dan tindakan rangsangan terhadap suasana persekitaran.

 Selain itu, katanya murid-murid akan berupaya berkomunikasi dengan lebih baik seterusnya memotivasikan diri secara tegas dan yakin dengan perasaan diri.

 “Pencapaian dan kebolehan murid-murid yang mempunyai kecerdasan emosi akan lebih cemerlang. Malah, dalam keadaan perkembangan dunia dengan teknologi canggih serta persaingan hebat hari ini, IQ sahaja tidak mampu menjamin kejayaan seseorang.

 “Isu dan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan murid akhir-akhir ini memerlukan penekanan yang seimbang di antara kedua-dua aspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa pendidikan emosi dapat membebaskan diri murid daripada sikap negatif, rendah diri dan prasangka, seterusnya membolehkan murid membesar dan matang sebagai individu yang sihat dan berupaya menghormati diri dan idea orang lain di mana ia merupakan satu nilai tambah kepada usaha mengatasi gejala sosial remaja di peringkat awalan lagi.

 

26 October 2012

Persiapan Aidiladha tetap meriah dikalangan penduduk negeri ini.



Oleh: Mohammad Ishak 

Sambutan Aidiladha yang akan disambut oleh masyarakat Islam hari ini tetap meriah walaupun suasananyaa tidak sehebat sambutan Aidilfitri.

Penduduk daerah Besut tidak ketingglan membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Haji apabila orang ramai khususnya golongan wanita mengambil kesempatan membeli belah di Pasat Tani yang diadakan semalam.

Peluang itu digunakan oleh surirumah untuk membeli barang keperluan termasuk juadah bagi hidangan keluarga dan tetamu yang akan berkunjung ke rumah mereka sempana Aidiladha.

Tinjuan mendapati, gerai menjual kuih tradisional terutama ketupat dan lemang menjadi tumpuan dan pilihan pengunjung kerana ia antara hidangan wajib kepada penduduk daerah ini setiap kali menyambut Aidiladha.

Seorang pengunjung, Halimat Mat Ali, 47, berkata beliau lebih gemar menyediakan kuih tradisional seperti ketupat dan lemang kerana menjadi kegemaran keluarganya.

Katanya, berbesa dengan sambutan Aidilfitri mereka banyak menyediakan kuih moden dan biskut yang banyak dijual di pasar raya dan kedai menjual kuih.

Menurutnya,sambutan Aidilfitri tahun ini juga diraikan secara sederhana kerana keadaan cuaca tidak menentu dan kerap hujan menyebabkan sukar untuk bergerak.

Seorang peniaga, Ramlah Daud,50 berkata, dia menjalankan perniagaan menjual sayur dan kuih tradisional sejak lebih 15 tahun lalu.

Katanya, menjelang Aidiladha hasil jualan ketupat dan lemang serta kuah tradisonal lain agak meningkat berbanding hari biasa dan banyak permintaan daripada orang ramai.

“Saya bersyukur jualan amat laris dan pendapatan juga bertambah keranma ramai yang berkunjung ke gerainya untuk membeli belah,” katanya.

Sambutan Aidil Adha di Terengganu meriah

Hari Raya Aidil Adha disambut dengan penuh meriah di seluruh negeri ini dengan orang ramai mengadakan ibadat korban mengikut kemampuan masing-masing.

Para pembesar negeri bersalam dengan Tuanku Sultan Mizan ketika menyambut ketibaan Tuanku Sultan di Masjid  al-Muktafibillah Shah, Kuala Terangganu
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang, pagi ini.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, para pembesar negeri dan orang kenamaan turut menunaikan solat di masjid yang sama. Sultan Mizan turut berangkat ke Majlis Takbir Malam Raya Aidil Adha, di Istana Maziah malam tadi.



Selesai menunaikan solat, Sultan Mizan berangkat ke Makam Diraja dan menyertai majlis tahlil. Para pembesar negeri dan orang kenamaan turut hadir.

 

Hoki Terengganu di bawah pengurusan profesional tahun depan

Oleh; Esah Abdullah

Pasukan hoki Terengganu bakal diurus secara profesional mulai tahun depan dan pemainnya akan menikmati elaun sama dengan apa yang dikecapi oleh pemain bola sepak.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan bangga dengan kejayaan pasukan hoki negeri yang pertama kali bergelar juara Piala Tun Razak sejak diadakan 50 tahun lalu.

“Mulai tahun depan kita akan wujudkan team kita sendiri seperti team bola sepak dan membawa nama negeri untuk menyertai mana-mana kejohanan termasuk Liga Hoki Kebangsaan,” katanya di majlis Penyampaian Insentif kepada atlet hoki di Wisma Darul Iman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah’ Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Pengarah Sukan Negeri (MSN) Haji Zainal Abidin Husein dan Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Pada majlis itu Menteri Besar telah menyerahkan RM72,000 insentif kepada pasukan hoki di atas bergelar juara dan setiap pemain menerima RM3,000 seorang.

Sementara itu, Jurulatih Hoki Terengganu, Encik Nik Rozemi Nik Mohamad ketika ditemui di majlis itu melahirkan rasa syukur dan gembira di atas perhatian kerajaan negeri terhadap suka itu.

“Sudah tiba masanya sukan ini diurus secara professional dan diletakkan sebaris dengan sukan lain termasuk bola sepak,” katanya.

Katanya, dengan persetujuan kerajaan memberi insentif kejayaan dan memberi elaun kepada pemain, akan membangkitkan semangat golongan muda untuk menceburi sukan ini dan berharap ibu bapa juga memberi galakkan kepada mereka.

 “Tentunya insentif daripada kerajaan ini membangkitkan semangat yang berkobar kalangan pemain untuk memburu kejayaan seterusnya tahun depan,” katanya.

 

JaHEAT anjur kursus pelapis imam

Oleh: Suriati Ali

 Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) terus menganjurkan kursus Pelapis Imam Bilal Masjid Mukim sebagai langkah memperkukuhkan institusi masjid di Kuala Terengganu.

 Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Encik Mohd Ariffin Jusoh, berkata setakat ini pihaknya menerima 120 penyertaan membabitkan jemaah masjid di daerah itu.

 “Kursus sehari ini terbuka kepada mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan keutamaan kepada jemaah masjid yang berkelayakan.

“Kursus ini sebagai jalan pintas kepada jemaah masjid yang berminat untuk menjadi imam dan bilal sekiranya terdapat kekosongan jawatan,” katanya.

 Katanya, apabila menyertainya sesorang itu akan didedahkan dengan pelbagai ilmu dengan lebih mendalam sebagai langkah melahirkan imam dan bilal bertauliah.

“Kebanyakan mereka yang mendaftar itu sudah mempunyai pengalaman sebagai imam dan bilal di masjid kampung masing-masing.

“Dengan menyerai kursus yang dianjurkan ini, ilmu sedia ada dapat ditambah selain memperoleh sijil,” katanya.

Encik Mohd Ariffin turut memberitahu, apa yang menariknya, cara pengurusan jenazah turut dimuatkan ke dalam modul kursus bagi memberi pendedahan berkaitan itu.

 

Jalinan strategik JPNT-kerajaan negeri tuai hasil terbaik

Oleh: Aida Abd Rahman

Jalinan rangkaian strategik pendidikan antara Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dengan Kerajaan Terengganu melalui Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) membuahkan hasil yang amat membanggakan.

Hubungan baik itu membolehkan Terengganu meraih kejayaan demi kejayaan dalam peperiksaan awam, aktiviti kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin, berkata pihaknya ingin berkongsi kejayaan berkenaan melalui penganjuran Karnival Pendidikan Terengganu yang merupakan acara tahunan JPNT dengan kerjasama kerajaan negeri yang sebelum ini dikenali dengan nama Ekspo Pendidikan Negeri Terengganu.

“Ini merupakan tahun kedua kita menjenamakannya semula dengan nama Karnival Pendidikan Terengganu.

 “Malah, sejajar dengan hasrat dan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Transformasi Pendidikan Negara serta `Amalan Guru Penyayang’, usaha memberi penghargaan kepada murid-murid, guru-guru dan pengurusan sekolah yang berjaya menunjukkan prestasi terbilang dalam semua bidang pendidikan, diterjemahkan secara kolektif dalam karnival ini,” katanya di program Karnival Pendidikan Terengganu 2012, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Oktober).

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Encik Zakaria berkata, pelaksanaan karnival ini berkonsepkan pengiktirafan dan penghargaan kepada murid, guru dan pengurusan sekolah kerana kejayaan mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum serta mengharumkan nama Terengganu, di persada kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya menyahut usaha dan cabaran peningkatan kualiti sistem pendidikan kebangsan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 sebagai prasyarat utama memacu kemajuan Negara.

 Katanya, matlamat akhir pendidikan iaitu peningkatan `kemenjadian murid’ yang memerlukan semua warga pendidik melipatgandakan usaha melalui pelbagai anjakan dan aspirasi.

“Karnival ini diharapkan berupaya menyerlahkan potensi, meningkatkan penghormatan diri, daya fikir dan daya juang ke arah merealisasikan pembinaan watak murid yang seimbang dan harmonis sebagaimana hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Sebenarnya pendidikan berdepan dengan tugas besar untuk merealisasikan hasrat pembentukan modal insan aras tinggi. Warga pendidik yang menggelarkan dirinya profesional, bertanggungjawab menggalas agenda transformasi negara, memikirkan cara bagaimana menterjemahkannya dalam medan pendidikan yang diamanahkan kepada kita, dengan ikhtiar yang paling strategik, dengan kaedah yang paling inovatif dan dengan pendekatan yang paling berkesan,” katanya.

Beliau seterusnya mengambil peluang mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan  Dato’ Seri Haji Ahmad dan Dato’ Ahmad Razif kerana memberi kerjasama yang erat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Menurutnya, pelbagai bentuk sumbangan, dana dan kepakaran yang telah, sedang dan akan diberikan oleh kerajaan negeri dalam usaha memastikan warga pendidikan di Terengganu lebih bersemangat untuk merealisasikan agenda besar transformasi negara ke arah menuju Negara Maju menjelang 2020.

 

25 October 2012

MB iring sultan takbir di Istana Maziah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berangkat ke Majlis Takbir Malam Raya Aidil Adha, di Istana Maziah malam ini.

Para pembesar negeri dan orang kenamaan dijangka turut hadir pada majlis tersebut.

Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, dijadualkan menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid al-Muktafibillah Shah, Ladang, pagi esok.

Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud akan mengiringi baginda berdua menunaikan solat tersebut.