Halaman

27 October 2012

Pendidikan jadi tanggungjawab, pelaburan menguntungkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu menjadikan pendidikan sebagai satu tanggungjawab dan pelaburan yang menguntungkan.

 Oleh sebab itu, sejumlah besar peruntukan diberikan melalui Program Terengganu Anjung Ilmu (PPAI) kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk melaksanakan pelbagai program sebagai sokongan dan nilai tambah kepada program sedia ada Kementerian Pelajaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha ini ke arah peningkatan kualiti pendidikan rakyat Terengganu yang berada di bangku sekolah yang ternyata membuahkan hasil melalui kejayaan cemerlang saban tahun yang ditunjukkan dalam pencapaian peperiksaan awam seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM.

“Kepekaan yang tinggi kerajaan negeri terhadap keperluan menguasai teknologi maklumat di kalangan murid-murid membuahkan idea kepada penggunaan e-book di Terengganu di mana kerajaan negeri menyediakan lebih 110,00 unit e-book iaitu mini laptop yang dilengkapkan dengan pelbagai perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa-doa dan amalan solat yang boleh digunakan oleh semua murid Tahun Lima di negeri ini,”.

“Inilah persediaan awal kepemimpinan kerajaan negeri untuk menghadapi gelombang perubahan dunia di masa akan datang yang lebih canggih dan pantas sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat,” katanya di majlis Karnival Pendidikan Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Terengganu juga menyediakan biasiswa , pinjaman dan pendahuluan kepada anak negeri yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan menerusi Yayasan Terengganu yang diamanahkan untuk menguruskan pemilihan dan pengagihan biasiswa kecemerlangan melalui pelbagai program pelajar cemerlang sama ada ke luar negara atau dalam negara.

 “ Inilah merupakan sumbangan Kerajaan Terengganu dalam memacu pendidikan negeri Terengganu agar lebih ramai ahli profesional dalam kalangan anak Terengganu dapat dihasilkan untuk membantu membangunkan Terengganu,” katanya.

Katanya, kepesatan pembangunan pendidikan yang mengalami proses reformasi yang pesat memerlukan penekanan yang seimbang di antara kecerdasan minda (IQ) dan Emotional Quotient (EQ). Beliau berkata, penguasaan EQ dapat memimpin murid-murid mengetahui emosi diri termasuk kebijaksanaan dalam mengawal gerak hati, kesabaran dan tindakan rangsangan terhadap suasana persekitaran.

 Selain itu, katanya murid-murid akan berupaya berkomunikasi dengan lebih baik seterusnya memotivasikan diri secara tegas dan yakin dengan perasaan diri.

 “Pencapaian dan kebolehan murid-murid yang mempunyai kecerdasan emosi akan lebih cemerlang. Malah, dalam keadaan perkembangan dunia dengan teknologi canggih serta persaingan hebat hari ini, IQ sahaja tidak mampu menjamin kejayaan seseorang.

 “Isu dan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan murid akhir-akhir ini memerlukan penekanan yang seimbang di antara kedua-dua aspek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa pendidikan emosi dapat membebaskan diri murid daripada sikap negatif, rendah diri dan prasangka, seterusnya membolehkan murid membesar dan matang sebagai individu yang sihat dan berupaya menghormati diri dan idea orang lain di mana ia merupakan satu nilai tambah kepada usaha mengatasi gejala sosial remaja di peringkat awalan lagi.