Halaman

21 October 2012

iHEAL Terbang ke Palembang

Oleh FAUZI MOHD

iHeal Medical Services Sdn. Bhd. (iHeal Medical), projek usahasama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWT) kini melebarkan sayap perkhidmatan kesihatan ke Palembang, Indonesia.


Perkara itu dicapai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani iHEal Medical dengan Pemerintah Kota Palembang di Indonesia Jumaat lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika ditemui Teganukita berkata, pusat perubatan pakar yang beroperasi di Kuala Lumpur itu akan memberi perkhidmatan kesihatan khususnya rawatan penyakit jantung kepada pesakit dari Palembang.

“Sejak beroperasi pada Jun 2010, iHeal Medical telah menerima tujuh pesakit jantung dari Palembang termasuk seorang Ahli Parlimen yang membuat pembedahan dan rawatan berkaitan jantung selain pesakit Indonesia dari daerah-daerah lain.

“Menerusi MoU ini juga, pesakit jantung yang dirujuk ke rumah-rumah sakit di Palembang akan diterbangkan ke iHEAL untuk rawatan pakar yang terbaik,” katanya selepas majlis menandatangai MoU itu di Palembang, Indonesia.



Mou itu ditandatangani Pengarah Perubatan iHeal Medical, Dr. David Khoo Sin Keat dan Walikota (Dato’ Bandar) Palembang, Ir. Eddy Santana Putra dengan disaksikan Dato’ Seri Ahmad.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, bilangan warga Palembang dijangka bertambah susulan Mou itu serta kemudahan perkhidmatan penerbangan terus yang disediakan AirAsia dari Palembang ke Kuala Lumpur.



"iHeal sudah pasti akan merebut peluang ini kerana saya diberitahu rumah-rumah sakit di Palembang masih belum memiliki kepakaran dan kemudahan seperti yang terdapat di iHeal.

"Dengan kepadatan penduduk 1.7 juta orang di kota ini, saya tidak menolak kemungkinan di masa akan datang, kita akan meneliti untuk membina cawangan di sini atau bertukar tenaga doktor pakar," katanya.



Sejurus selepas itu, Dato’ Seri Ahmad dan rombongan turut melawat Rumah Sakit Umum Daerah Palembang Bari iaitu salah sebuah daripada 26 rumah sakit dan klinik yang terdapat di kota berkenaan.