Halaman

22 October 2012

Peniaga dipelawa buka gerai di Payang Walk

Oleh; Esah Abdullah

Peniaga atau orang ramai yang berminat ingin membuka gerai jualan dan juga pameran di ‘Payang Walk’ berpeluang berbuat demikian kerana masih ada ruang untuk diisi.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Encik Wan Mohd Sofian Wan Ishak berkata, lebih 50 gerai yang menjual pelbagai produk dan makanan telah beroperasi sejak lebih dua minggu lalu.

“Bagi fasa pertama ini, masih ada kekosongan untuk mereka yang berminat membuka gerai dan juga ruang pameran serta ruangan korporat. Keluasan gerai pameran adalah 10x40 dengan harga RM250 sebulan.

“Beroperasi tiga kali seminggu, iaitu Jumaat hingga Ahad bermula pada jam 6 petang hingga 1 pagi,” katanya.

 Menurutnya, jika fasa pertama mendapat sambutan, akan disusuli fasa kedua pula, malah bukan hanya beroperasi tiga hari seminggu, tetapi tujuh hari seminggu mampu dilaksanakan sekiranya mendapat sambutan dari orang ramai.

Katanya, selain gerai jualan, terdapat juga persembahan dan juga perkhidmatan urutan serta Terengganu River Cruise, (TRC) yang menyediakan perkhidmatan menyusuri sungai Terengganu.

Tambahnya, melalui program TRC itu, PPNT menyediakan dua bot penambang kayu tradisional bagi membawa pelancong menikmati keindahan sungai utama negeri itu.

 “Kita juga menyediakan perkhidmatan beca bagi mereka yang memerlukan, sama ada untuk mengelilingi kawasan Payang Walk, hentian beca di dataran Shahbandar, ke Masjis Puteh atau ke hotel penginapan dengan kadar tambang hanya RM15 sahaja,” katanya.