Halaman

21 October 2012

PPWNT anjur seminar

Oleh:Noraini Jusoh 

Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu (PPWNT) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam negeri (PPSPPA) telah menganjurkan seminar bertajuk ‘Ke Arah Alam Sekitar Yang Lestari’, semalam.

Seminar bermula jam 8 pagi hingga 1 petang itu telah diadakan di perkarangan balai raya kampung Tuan Mandak, Batu Enam.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Yang Berhormat Haji Ramli Haji Nuh, berkata, pada dasarnya seminar sebegini cukup asing kepada sesetengah ahli masyarakat.

“Penduduk kampung biasanya buang sampah merata-rata, begitu juga dengan peniaga di pasar Batu Enam,di sini. “Sehubungan itu, seminar hari ini yang mensasarkan golongan wanita khususnya sangat bagus dilaksanakan secara berterusan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar,” ujarnya dalam ucapan perasmian penutup majlis tersebut.

Katanya, sebagai masyarakat yang prihatin kita hendaklah membuang sampah ke tempat yang sepatutnya dan jadikan amalan kitar semula barangan terpakai sebagai rutin, untuk bersama menjaga kebersihan selain turut menjana pendapatan sampingan.

Sepanjang lima jam program berlangsung pelbagai acara menarik telah diadakan antaranya ceramah mengenai keselamatan kebakaran di premis yang telah disampaikan oleh Penolong Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Encik Mustafa Ishak serta wakil dari PPSPPA turut menyampaikan ceramah bertajuk pengurusan sisa pepejal dan program pengkomposan.

Orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang untuk melihat proses penghasilan baja organik melalui demontrasi dan praktikal secara “Hands-On” tentang proses pengkomposan sisa dan bahan terbuang.

Selain pertandingan mewarna disediakan untuk kanak-kanak sebagai acara sampingan, turut dibuka pusat belian barangan kitar semula komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus.

Difahamkan, menerusi pusat belian barangan kitar semula yang diperkenalkan oleh PPSPPA, sepanjang tahun lepas pihaknya telah berjaya mencatat kutipan kira-kira RM21,000.

Turut hadir, Pengarah PPWNT, Puan Hajah Norrani Abdul Rahman; Pengarah PPSPPA, Puan Hajah Fatimah Haji Ahmad dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga kecil Melayu Cawangan Kuala Nerus (Batu Enam), Encik Musaffa Ismail.