Halaman

21 October 2012

Khatam Quran sebelum masuk sekolah menengah

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan memastikan semua pelajar di sekolah rendah di negeri ini akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke tingkatan satu di sekolah menengah.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, komitmen pelajar terhadap pengajian al-Quran semakin menurun bila berada di sekolah menengah akibat tugasan sekolah yang semakin bertambah.

“Saya harap ibu bapa beri tumpuan dalam hal ini dan pastikan anak-anak mereka dapat khatam sebelum habis tahun enam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama pelajar kelas KAFA yang berjaya Khatam al-Quran.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

 Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail; wakil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Haji Ali Mohamad dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Rozali Salleh.


Menteri Besar melahirkan rasa bangga di atas pencapaian pelajar-pelajar kelas KAFA yang mampu membawa negeri ini muncul negeri terbaik untuk lima tahun berturut-turut.

“Kerajaan negeri terima peruntukan berjumlah RM36 juta setahun daripada JAKIM bagi pembiayaan kelas-kelas KAFA di seluruh negeri,” katanya.

Katanya, bayangkan berapa banyak yang dibelanjakan oleh Kerajaan Pusat untuk negeri-negeri bagi memastikan pendidikan agama generasi kecil ini terus subur dijiwa mereka.

Seramai 21,610 pelajar kelas KAFA berjaya khatam Quran tahun ini yang diadakan serentak lapan kawasan parlimen seluruh negeri dan daripada jumlah itu 1,600 pelajar telah menggunakan e-book.


Bagi Parlimen Besut, majlis khatam berlangsung di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja membabitkan 3,186 pelajar dan perasmi ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar.

Parlimen Setiu di Masjid Bandar Permaisuri (2,653 pelajar), Parlimen Marang, di Masjid bandar Marang (2,551), Parlimen Hulu Terengganu di Masjid Sultan Mahmud Kuala Berang (1,933), Parlimen Dungun di Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah (2,555) dan Kemaman di Masjid Sultan Ahmad (2,349) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera.

 “InsayaAllah, jika kerja-kerja pembaikan Stadium Sultan Mizan selesai, tahun depan kita akan himpunkan semua pelajar seluruh negeri untuk khatam serentak di stadium itu,” katanya.