Semua jentera Barisan Nasional (BN) terutama golongan muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir diminta bersama-sama memperkemaskan strategi bagi memastikan BN dapat merampas kembali DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.
Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam (gambar), berkata dia yakin hasil kerjasama semua disamping mendapat sokongan kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ia pasti berjaya.
“Bermula sekarang, marilah kita bersama-sama gandakan usaha dan buang sikap ego jika benar-benar serik berada di bawah `ketiak’ kepimpinan Pas di mana sehingga kini tiada sebarang pembagunan dilaksanakan.
“Kita perlu bekerja keras mendekati dan memberi penerangan kepada rakyat, terutama golongan muda yang mungkin tidak begitu menghayati apa yang diperjuangkan oleh pemerintah hari ini,” katanya pada Majlis Komunikasi Patriotik, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Katanya, semua pihak mesti akui PRU yang bakal ditempoh nanti adalah paling mencabar dan perlu tempuhinya dengan pelbagai persediaan.
"Jangan ada lagi istilah `cah keting’ sesama sendiri sebaliknnya perlu berjuang bermati-matian supaya kemenangan menjadi milik BN dan Umno,” katanya