Halaman

21 October 2012

Terengganu Pelawa Media Palembang Promosi TMT 2013

Oleh FAUZI MOHD

Hubungan baik antara Kerajaan Terengganu dan Pemerintah Kota Palembang wajar dipertingkat menerusi kerjasama dalam sektor pelancongan, kata Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said.



Menurut beliau, kedua-dua wilayah memiliki keunikan tersendiri yang boleh dipromosi bersama termasuk Terengganu yang begitu giat melancarkan kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, tahun depan.


“Saya mempelawa media di Palembang khususnya untuk berkunjung ke Terengganu bagi mempromosi produk pelancongan serta meneroka potensi yang ada.

“Untuk itu, Kerajaan Terengganu sedia membiayai kos lawatan itu bagi memberi peluang kepada beberapa media cetak dan elektronik di Palembang mengenali dan mempromosi Terengganu kepada rakyat di sini,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata demikian pada majlis makan malam bersama Dato’ Bandar Kota Palembang, Ir. Eddy Santana Putra di River Side Restoran, Sungai Musi, Palembang Khamis lalu.


Sementara itu, Ir. Eddy Santana dalam ucapannya berkata, Palembang kini sedang berusaha untuk menjadi sebuah bandar yang bersih dan selamat bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke kota berusia 1,329 tahun itu.

Katanya, Palembang yang merupakan kota tertua di Indonesia dirancang oleh pemerintah di republik itu untuk menjadi sebuah bandar pelancongan bersejarah.

“Banyak peninggalan daripada Kerajaan Srivijaya pada dahulu kala masih diterokai. Sebab itulah proses pencarian harta karun di sini sudah menjadi satu kerjaya yang cukup lumayan.

“Apa yang saya pelajari ketika melawat negeri Melaka di Malaysia, nilai sejarahnya cukup tunggi untuk sektor pelancongan di Palembang,” katanya sambil menyatakan hasrat akan berkunjung ke Terengganu pada masa akan datang.