Halaman

22 October 2012

Pasukan hoki Terengganu cipta sejarah ke final

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pasukan hoki lelaki Terengganu mencipta sejarah apabila mara ke pertandingan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak ke-50, selepas menundukkan juara bertahan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Hoki Kuantan, Indera Mahkota, semalam.

Terengganu yang berjaya mengekalkan rentak cemerlang sebagai kuasa sukan negara, akan beraksi menentang pasukan tuan rumah, Pahang dalam aksi final di stadium yang sama, jam 8.30 malam ini.

Sebelum itu, pasukan Pahang turut menewaskan lawannya Negeri Sembilan pada aksi peringkat separuh akhir dengan jaringan 3-2.

Pada aksi separuh akhir, pasukan Terengganu mengejutkan Kuala Lumpur dengan jaringan seawal minit ke-30 menerusi Faizal Saari.

Pertandingan sengit antara kedua-dua pasukan tersebut menyaksikan juara bertahan itu menyamakan kedudukan 1-1 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mohd Zahid Yusoff.

Terkejut dengan jaringan penyamaan itu, pemain Terengganu terus mengasak lawan bagi mencari gol kemenangan dengan melancarkan serangan demi serangan.

Kegigihan pemain Terengganu ternyata tidak sia-sia apabila gerakan cantik Mahinder Singh membuahkan hasil apabila dia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-60.

Kejayaan Terengganu mara ke final itu telah memahat sejarah kerana ini merupakan kali pertama pasukan ini berjaya mara ke pertandingan akhir dalam tempoh 15 tahun.

Peminat pasukan hoki Terengganu diminta datang ke Stadium Hoki Kuantan bagi memberi sokongan moral kepada pasukan kita dan diharapkan Terengganu menempa sejarah dengan muncul juara kejohanan ini.