Halaman

23 October 2012

Skuad hoki Terengganu bakal terima ganjaran

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Skuad hoki Terengganu yang menjuarai Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, malam tadi, bakal menerima ganjaran setimpal hasil kemenangan mereka, sekaligus mencipta sejarah mengungguli kejohanan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, YB Haji Rozi Mamat yang turut menyaksikan kejohanan itu, berkata bentuk ganjaran kepada skuad berkenaan akan dibincangkan dalam masa terdekat dan akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Saya sebagai mewakili kerajaan negeri merakamkan tahniah kepada semua pemain skuad hoki dan pengurusannya kerana muncul juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50.

“Ini merupakan kemenangan paling bersejarah kerana kita tidak pernah memenangi piala ini sejak ia dipertandingkan 50 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas majlis penyampaian piala dan medal kepada pemain.

Sultan Pahang yang turut berangkat menyaksikan pertandingan akhir antara pasukan Terengganu dan Pahang, berkenan menyampaikan piala dan medal kepada pemain.

YB Rozi berkata, kerajaan negeri akan memberi ganjaran yang setimpal dengan kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan pemain skuad hoki.

“Sebelum ini, Menteri Besar sering memberi ganjaran kepada semua atlet yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sukan.

“Saya yakin skuad hoki dan pengurusannya juga akan menerima ganjaran yang setimpal daripada kerajaan negeri kerana mereka menggalas tanggungjawab untuk mengharumkan nama negeri dengan sempurna,” ujarnya.

Sementara itu, kejayaan sebagai juara kejohanan tersebut membolehkan skuad Terengganu menerima habuan wang tunai RM10,000 serta piala pusingan dan medal.

Gol pertama Terengganu dijaringkan Mohd Firhan Ashari seawal minit pertama dan menyemarakkan pemain untuk beraksi garang seterusnya mendominasi permainan hingga tamat permainan.

Kecemerlangan penjaga gol Terengganu, Muhammad Hafizuddin Othman, menghampakan tuan rumah untuk memecahkan kebuntuan mendapatkan gol walaupun mereka turut mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Dua gol yang dijaringkan Faizal Shaari pada minit ke-41 dan Mohd Fitri Saari (minit ke-50) menutup terus peluang pasukan tuan rumah untuk mengalahkan pasukan Terengganu.