Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    4 months ago

24 October 2012

Terengganu bakal sertai Liga Hoki Malaysia musim depan

Pasukan hoki Terengganu gembira bersama Menteri Besar .
Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan Terengganu bergelar juara Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak ke-50, kelmarin menambah semangat Kerajaan Terengganu untuk membentuk satu pasukan yang lebih mantap bagi menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membayangkan cadangan membawa pasukan hoki ke peringkat lebih berprestij dapat dilaksanakan dengan jayanya bermula musim depan bersandarkan kejayaan menggenggam piala sulung kejohanan berkenaan, selain Terengganu juga terbukti sudah melahirkan ramai pemain hoki profesional di peringkat negeri dan juga kebangsaan.

“Sebagaimana saya sebutkan baru-baru ini, kita telah pun bersetuju untuk menyertai liga hoki peringkat kebangsaan pada tahun hadapan dan kita telah mengarahkan pihak terlibat supaya mendaftar serta memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak liga berkenaan kerana kita tahu bahawa liga ini biasanya disertai kelab-kelab seperti TNB, DBKL, UNiKL dan sebagainya.

 “Kita akan ada pasukan negeri (dalam LHM) kerana saya dapati bahawa Terengganu banyak melahirkan pemain hoki. Hari ini ramai di kalangan mereka berjaya menempatkan diri di peringkat kebangsaan dan mewakili Kelab Kilat, TNB termasuk juga Maybank dan sebagainya,” katanya di sidang media selepas melancarkan Karnival Pendidikan Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam (23 Oktober).

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Menteri Besar berharap Terengganu dapat membentuk satu pasukan yang mantap dan disegani lawan, sekali gus dapat menyaingi kelab-kelab hoki yang sudah menempa nama di negara ini termasuk TNB, KLHC, uniKL dan Sapura.

 “Jadi, kita perlu ada pasukan mewakili negeri ke Liga Hoki Malaysia. Ada pemain kita yang cemerlang tetapi tidak boleh mewakili kelab-kelab ini.

 “ Ini bermakna kita membiarkan bakat-bakat kita ada begitu saja. Justeru itu, kita perlu gabungkan mereka dalam satu pasukan supaya mereka terus aktif dan bertanding dalam liga hoki (LHM) pada tahun hadapan,” katanya.

 Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bukan hanya menumpukan kepada pelaksanaan untuk memajukan bidang sukan, malah turut memfokuskan semua bidang yang dapat memberi manfaat dan membantu menaikkan imej negeri serta negara.

 Beliau berkata, Terengganu sudah terbukti melahirkan ramai atlit berwibawa yang dicungkil bakat mereka menerusi penganjuran Sukan Malaysia.

 Menurutnya, atlit negeri ini juga paling ramai berjaya mewakili negara di pentas antarabangsa khususnya Sukan SEA di Indonesia tahun lalu dan Sukan olimpik London baru-baru ini di mana enam daripada 10 anak Melayu yang terlibat merupakan anak Terengganu.