Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berazam untuk mewujudkan komuniti usahawan Terengganu yang mantap dan akan menjadikan negeri sebagai hub usahawan pelbagai produk.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik (gambar) berkata, pihaknya sentiasa berusaha memberi suntikan semangat kepada usahawan di negeri ini untuk mengembangkan perniagaan dengan membawa beberapa tokoh usahawan berjaya di negara ini untuk memberi motivasi bagaimana cara merintis jalan ke puncak.
“Kita yakin sebagai satu-satunya yayasan di negara ini yang diwujudkan oleh kerajaan negeri khusus untuk melahirkan usahawan jutawan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di program Luncheon Talk bersama Datuk Maznah Hamid di Hotel Permai Kuala Terengganu.
Setakat ini katanya, YPU telah mewujudkan ruangan sahabat usahawan dan portal usahawan dalam usaha mendaftar seberapa ramai usahawan di negeri ini serta memberi peluang mereka mempromosikan produk masing-masing kepada umum.
Katanya, dalam bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri menyediakan peruntukan RM50 juta untuk pinjaman bagi perniagaan ‘online’ dan ia selari dengan kewujudan YPU e-Mall yang menyediakan kaedah jualan secara dalam talian dan peluang ini harus direbut oleh usahawan di negeri ini.
Tambahnya, YPU juga telah mengadakan beberapa perjanjian usahasama dengan pelbagai agensi di seluruh negara dan berharap peruntukan RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri di bawah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutama bagi pembiayaan pinjaman, kursus pembungkusan dan pemasaran merupakan sinar baru kepada usahawan untuk bergerak lebih aktif.
“Hasrat kita ingin melihat usahawan di negeri ini bukan setakat berlegar dalam negeri dan negara sahaja sebaliknya dapat pergi lebih jauh hingga menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Beliau seterusnya berharap, mereka yang telah berjaya tidak terus meninggalkan rakan-rakan yang lain sebaliknya harus sentiasa berganding serta meluaskan lagi jaringan perniagaan bersama-sama.
Berhubung dengan program Luncheon Talk, hampir setiap bulan diadakan dengan menjemput tokoh-tokoh usahawan terkenal dalam negara bagi membuka minda usahawan di negeri ini.
“Kita akan mengenakan sedikit bayaran kepada usahawan yang ingin menghadirinya dan setiap mereka yang ingin berjaya tentunya perlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit,” katanya.