Halaman

22 October 2012

Biar `patah hati' , kesetiaan tetap kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Masih ramai di kalangan ahli parti tetap menyokong dan bekerja bersama di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno walaupun pernah `patah hati’ selepas gagal memegang jawatan yang dicita-citakan dalam parti, kata Pengarah Strategik Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Dato’ Rosli Mat Hassan.

Beliau berkata, situasi itu membuktikan mereka merupakan pemimpin dan ahli parti yang berjiwa besar, tidak mengingkari janji dan lafaz ikrar sebagai ahli parti selain menyemat rasa cinta dan hormat yang menebal terhadap BN dan Umno.

“Mereka juga akur dan terhutang budi kepada parti dan kerajaan yang terbukti sudah banyak berjasa serta memberi faedah kepada seluruh umat Islam dan pelbagai kaum di negara ini sejak merdeka lagi,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, rasa kecewa itu lumrah dalam setiap organisasi dan mana-mana kumpulan terhadap individu yang menaruh harapan bagi mendapatkan apa yang diidamkan, namun kerana meletakkan kepentingan parti lebih utama, mereka berupaya menyerap kekecewaan itu dengan bekerja secara profesional.

 “Dalam satu organisasi besar, ia merupakan perkara biasa, tetapi kita berharap semua pemimpin dan ahli kembali bersatu di bawah satu bumbung dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi parti, bukan kerana kepentingan peribadi.

 “Perkara ini harus menjadi ikutan dan contoh kepada negeri lain, di mana kepimpinan parti peringkat bahagian sentiasa akur keputusan pucuk pimpinan dan bergerak seiring dalam memberi sokongan kepada kepimpinan tertinggi.

 Selain itu, Dato’ Rosli tidak menolak kadangkala wujud persepsi negatif terhadap parti disebabkan perasaan tidak berpuas hati terhadap sesuatu keputusan dan pandangan kerana kepentingan hendak menjadi calon, hendak dihargai serta dihormati semua ahli.

 “Dalam hal ini kita berharap walaupun mereka meletakkan kepentingan peribadi satu perkara yang penting, pada masa yang sama mereka masih lagi menjadikan parti sebagai asas utama perjuangan.

“Saya yakin dan percaya, pemimpin dan ahli parti yang setia pada parti keramat ini akan bekerja dan memberi komitmen padu pada parti tanpa mengira siapa yang mengepalai mereka,”katanya.