Halaman

24 October 2012

Insentif RM72,000 kepada atlet rangkul juara hoki Piala Tun Razak

Kerajaan negeri menyampaikan ganjaran RM72,000 kepada skuad hoki Terengganu selepas muncul juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak.
Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju memberi insentif RM3,000 kepada setiap atlet hoki Terengganu selepas kejayaan melakar kejuaraan di pentas final, Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan, malam kelmarin.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ganjaran berjumlah RM72,000 itu sebagai penghargaan kerajaan kepada pemain dan barisan pengurusan yang berjaya membawa balik piala itu ke negeri ini selepas 50 tahun memburunya.

“Kejayaan ini amat membanggakan kita dan ini mengambarkan anak-anak Terengganu mampu mencipta kejutan walaupun ini bukan sukan pilihan kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan, Dato' Haji Mazlan Ngah; Pengerusi jawatankuasa Belia dan Sukan negeri YB Haji Rozi Mamat dan Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Presiden Hoki Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. 

Menteri Besar berkata, mulai tahun depan kita akan mewujudkan pasukan sendiri yang diurus secara profesional dan akan menyertai Liga Hoki Kebangsaan yang sebelum ini hanya disertai oleh Kelab-kelab dari agensi kerajaan dan swasta.

 “Usaha ini adalah untuk memastikan bakat-bakat pemain tidak terpendam begitu sahaja, kerana rugi jika mereka tidak menyertai apa-apa pertandingan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Sehubungan itu, pemain akan didedahkan dengan menyertai pelbagai kejohanan dan perlawanan persahabatan untuk menambah stamina mereka.

“Setakat ini, terdapat lima orang atlet dari negeri ini yang mewakili negara dan berharap setelah kita mempunyai pasukan nanti lebih ramai muncul pemain yang boleh bermain dengan pasukan negara,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya meminta Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid supaya berurusan secara terperinci dengan pihak hoki kebangsaan untuk mengetahui syarat-syarat penyertaan Liga Hoki Kebangsaan bagi memastikan Terengganu dapat menyertai liga itu kelak.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada semua pemain dan pengurusan kerana telah mengharumkan nama negeri dalam acara hoki di negara ini.