Halaman

21 October 2012

Jentera Umno dinasihat usah peteh calon

Oleh: Aida Abd Rahman dan Amirullah Othman

Kemenangan Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong bukan disebabkan parti pembangkang itu kuat, tetapi ia berpunca daripada kelemahan sikap ahli Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri yang mengkhianati parti yang mengakibatkan DUN itu jatuh ke tangan pembangkang.

Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Supritendan Ridzuan Abdul Aziz, berkata pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, Pas menang di Dun Bukit Payong dengan hanya majoriti kecil membuktikan wujudnya unsur pengkhianatan di kalangan ahli Umno yang sanggup mensabotaj parti disebabkan mereka tidak suka kepada calon yang dikemukakan oleh parti.

“Sepatutnya, perkara sebegini tidak timbul jika rasa cinta yang kuat kepada parti dan terus berjuang tanpa mengira siapa calon mewakili Barisan Nasional kerana natijahnya sangat buruk jika kemenangan memihak kepada pembangkang.

“Oleh itu, saya menasihatkan kepada semua pengundi buatlah yang terbaik untuk generasi yang akan datang sebagai kesinambungan supaya mereka dapat menikmati apa yang kita kecapi hari ini,” katanya di majlis Komunikasi Patriotik anjuran unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan DUN, Encik Zaidi Muda dan Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong.

Seramai 200 orang jentera parti daripada 23 cawangan dalam Dun Bukit Payong hadir di program itu.

Superitendan Ridzuan berkata, pihaknya sentiasa memantau setiap pergerakan jentera parti dalam usaha memastikan tiada anasir tidak sihat berlaku khususnya ketika penamaan calon, kempen dan juga proses pilihan raya.

Katanya, sebarang bentuk provokasi dan salah laku yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah akan mengakibatkan sesiapa sahaja berdepan dengan tindakan mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati jentera parti di seluruh Terengganu menunjukkan kerjasama yang sangat baik termasuk Dun Bukit Payong khususnya di kalangan jentera Wanita.