Halaman

24 October 2012

PPAT anjur pameran foto

Oleh: Norani Jusoh 

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menganjurkan pameran foto sempena 50 tahun program Peace Corps di Malaysia di ruang legar perpustakaan awam negeri, bermula semalam.

Bertemakan “An Enduring Bond: 50th Anniversary of the Peace Corps in Malaysia: A Photo Exhibition” gambar-gambar yang dipamerkan menonjolkan semangat sukarelawan rakyat Amerika yang datang ke Malaysia untuk berkhidmat di bidang pertanian, pendidikan dan teknologi bermula tahun 60-an.

Selain itu, aktiviti-aktiviti 17 peserta program English Teaching Assistants (ETAs) yang telah ditempatkan di sekolah terpilih di Terengganu sejak Januari lalu turut dipamerkan di pameran tersebut.

Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Paul W. Jones, berkata menerusi program ETAs, beliau berbangga dengan graduan negaranya yang dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dalam usaha membantu pelajar di Terengganu menguasai bahasa Inggeris.

“Menerusi program Peace Corps, diharap kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat akan terus terjalin dan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena majlis perasmian pameran foto tersebut, semalam.

Di majlis yang sama, peserta ETAs turut diraikan sempena menghargai jasa mereka berkhidmat di bidang pendidikan di Terengganu yang bakal berakhir November ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah PPAT, Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.