Halaman

25 October 2012

T-Team melangkah ke fasa baru tahun depan

Menteri Besar ditemani SUK Terengganu menjawab pertanyaan wartawan pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman.
Oleh; Esah Abdullah

Pasukan T-Team akan melangkah ke fasa baru apabila bakal diuruskan secara profesional oleh seorang pengurus merangkap jurulatih yang didatangkan khas dari luar negara tahun depan.

 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, langkah ini diambil untuk memberi keberkesanan terhadap corak permainan yang diuruskan oleh orang yang sama iaitu pengurus merangkap jurulatih malah bersama bermain di padang.

 “Setakat ini kita telah mengenalpasti beberapa pemain yang boleh mengalas tanggungjawab itu termasuk bekas penyerang Liverfool, Robbie Fowler,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, sebelum menerima pemain berkenaan mereka perlu menjalani ujian kecerdasan bersama pasukan sebagaimana yang ditetapkan oleh T-Team dalam usaha mencari penyerang untuk membantu pasukan pada musim depan.

Sehubungan itu, T-Team juga turut mengintai beberapa pemain import dari beberapa negara termasuk England serta pemain kelahiran Ghana, Derek Boateng, 29.

“Dengan kehadiran beberapa pemain ternama bersama pasukan T-Team diharap dapat menarik penonton untuk memenuhi bangku stadium musim depan,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini kehadiran penoton di stadium amat mengecewakan biarpun ketika itu T-Team beraksi dalam separuh akhir Piala Malaysia musim lalu ketika menentang Selangor dan berharao senario itu akan berubah.