Halaman

25 October 2012

JKM utama keperluan anak yatim

Oleh: Noraini Jusoh 

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa mengutamakan keperluan anak-anak yatim Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi terutamanya berkaitan dengan pendidikan mereka.

Penghuni Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi merakam kenangan bersama Serikandi.
Penyelaras Kanak-Kanak Daerah, Monira Sulaiman berkata, JKM bertanggungjawab memantau pusat jagaan ini dan memberikan sejumlah peruntukan kepada penjaga rumah kebajikan itu khusus untuk keperluan harian dan persekolahan penghuninya.

Ketua Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Haji Abu Bakar Awang berkata, pusat jagaan ini mula beroperasi pada tahun 1993 dengan satu blok yang telah disumbangkan oleh seorang insan prihatin yang menempatkan 16 orang penghuni.

“Lima tahun kemudian, satu blok lagi bina juga atas sumbangan insan yang baik hati,” ujarnya yang telah menabur bakti menjaga anak-anak yang kurang bernasib baik ini bersama dua keluarga lagi sejak 1 Mei 1999.


Katanya, buat masa ini, 20 anak yatim terdiri daripada keluarga miskin dan keluarga bermasalah ditempatkan oleh JKM di pusat jagaan ini.

“Walaupun tidak tinggal dengan keluarga kandung atau saudara mara, mereka tidak pernah kekurangan kasih sayang dan pendidikan kerana saya dan penjaga yang lain menganggap mereka seperti anak sendiri dan memberikan pendidikan agama yang sempurna.

“Buat masa sekarang, nasib 12 anak lelaki dan lapan perempuan ini juga tidak akan terabai kerana segala keperluan harian dan pendidikan mereka sentiasa mendapat sumbangan daripada JKM, lembaga pelawat, NGO, serta orang perseorangan.

“Saya berharap sumbangan ini akan berterusan agar masa depan anak-anak ini terbela,” ujarnya ketika ditemui Teganukita sempena lawatan isteri Menteri Besar ke Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, semalam.

Menurut Haji Abu Bakar lagi, sejak penubuhannya, pusat jagaan ini telah berjaya menjadikan bekas penghuninya sebagai seorang jurutera, guru dan ada yang masih menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Harapan saya kepada penghuni disini cuma satu iaitu rebutlah peluang yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri sendiri dan hargailah jasa orang ramai kepada mereka,” katanya.