Halaman

25 October 2012

Kerajaan agih RM100,000 untuk guru, pelajar dan sekolah cemerlang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi mengiktiraf kebolehan dan kemampuan guru, pelajar serta sekolah seluruh Terengganu yang mencapai keputusan terbaik dalam setiap peperiksaan awam, kurikulum dan kokurikulum di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

 Peruntukan itu diagihkan kepada 358 penerima anugerah mengikut 36 kategori di Majlis Karnival Pendidikan Terengganu, Anugerah Kecemerlangan Pendidikan, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Oktober).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengkitirafan itu merupakan satu usaha untuk meningkatkan lagi potensi diri dan kemampuan guru, pelajar serta pejabat pelajaran daerah sehingga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi memperkasakan sektor pendidikan negeri.

“Agenda menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu dapat dicapai menerusi pelbagai usaha memperkasa pendidikan melalui pengiktirafan kepada murid dan guru yang berjaya mempamerkan keterbilangan dalam bidang pendidikan.

 “Kita berharap bahawa kejayaan yang dapat dicapai selama ini dapat terus kita pertahankan sampai bila-bila..Insya-Allah,” katanya di sidang media selepas melancarkan program itu. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin.

Kesemua penerima anugerah menerima sijil dan wang tunai di majlis yang bertemakan `Guru Penyayang, Murid Berkualiti’.