Halaman

23 October 2012

Sembilan program warnai Tasik Kenyir sempena TMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Encik Wan Mat Amin
Tasik Kenyir bakal menjadi medan penganjuran sembilan program pelancongan berkonsep kegiatan sukan, fotografi dan rekreasi sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Encik Wan Mat Amin Wan Daud berkata program sempena TMT itu mampu menarik lebih ramai pengunjung dari seluruh dunia ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar itu.

" Sepanjang TMT 2013 nanti, Ketengah mahu menonjolkan keindahan alam semula jadi tasik itu supaya dapat diteroka sepenuhnya oleh pengunjung terutama pelancong luar, selain mereka dapat menimba pengalaman baru, sekali gus membantu mempopularkan destinasi terkemuka itu di negara asal mereka pula,"katanya.

Daripada sembilan program yang bakal dilaksanakan termasuk pembuka tirai acara, Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir yang melibatkan lima siri, iaitu pada 10 hingga 11 Februari, 8 hingga 9 Mac, 12 hingga 13 April, 13 hingga 14 September dan terakhir, pada 22 hingga 23 November 2013.

Katanya, di tasik yang terbina hasil pembinaan Empangan Kenyir pada 1985 itu juga akan diadakan acara Kenyir Lake International Triathlon diadakan pada 10 Mac, diikuti Pertandingan Memancing 'Boat On The Road' pada April dan Festival Kenyir yang dijadualkan pada 16 hingga 20 Mei.

 Seterusnya, Kejohanan Power Boat Kenyir, Kenyir Motocross Challenge, Pertandingan Raja Serama Tasik Kenyir sepanjang Jun, diikuti Pertandingan Melukis dan Fotografi Tasik Kenyir pada 1 hingga 31 Ogos sebelum diakhiri dengan acara Kenyir Cup pada penghujung tahun.